“Nasib Baik” Bukan kebetulan, Tapi Ketentuan Tuhan

“Nasib Baik” Bukan kebetulan, Tapi Ketentuan Tuhan

Perkataan ‘kebetulan’ sebenarnya tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan kita, terutama umat Islam kerana semua perjalanan hidup ini adalah ketentuan dari sang Pencipta.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Usuludin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Ahmad Munawar Ismail, sememangnya telah menjadi budaya dan adat kita orang Melayu khususnya sentiasa mengungkapkan perkataan ‘mujurlah’ atau nasib baik awak ada’ dan sebagainya secara spontan. Namun jauh di sudut hati, mudah-mudahan mereka tidak memaksudkan untuk menyekutukan Allah dengan mempercayai sesuatu yang lain.



Menurut Dr. Ahmad lagi, apabila kita mengungkapkan perkataan sedemikian maka hukumnya tidaklah menjadi masalah jika iktiqad atau akidahnya tidak berubah. Apa pun segalanya bergantung kepada niat, kalau sekadar kata-kata sahaja, tidak bermaksud di hati, ia tidak menjadi hal yang besar.

Akan tetapi jika di hatinya yakin bahawa ‘kebetulan’ itu tiada kaitan dengan Allah, maka dikira syirik kepada Allah. Tidak menjadi masalah bukan bererti boleh dituturkan sesuka hati, perlu juga berjaga-jaga agar mengurangkan sebutan sedemikian. Seeloknya tukarlah dengan kata-kata yang lebih baik, seperti Alhamdulillah, malah si penutur juga akan mendapat pahala.

Dr. Ahmad turut menerangkan, perkara itu jelas berbeza dengan keadaan di mana kita menyebut “nasib ada bomoh tu, kalau tidak, habislah aku,” ungkapan ini sejelasnya memang tidak dibolehkan dan hukumnya telah syirik.

Ini kerana pengungkap telah meletakkan pergantungan kepada manusia, bukan kepada Allah semata. Tambahan pula, sifat bomoh itu sendiri, kebanyakkannya telah melakukan sesuatu mensyirikkan Allah.



Tegasnya lagi, sepatutnya sebagai seorang hamba, kita wajib meyakini bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan dari Ilahi. Berusaha untuk menerimanya walaupun buruk mana dan yakinlah bahawa ada hikmah yang tersembunyi.

Sebetulnya, tiada ketentuan buruk atau kebetulan di sisi Allah, kerana pandangan dan rasa Allah itu tidak sama dengan pandangan dan rasa manusia.

Kadang-kadang, kita beranggapan bahawa Allah tidak adil kepada kita, kerana menetapkan kita dengan ketidak beruntungan dalam bermacam hal, tetapi pada Allah, mungkin itu yang terbaik untuk kita.

Sungguh! Dia lebih mengerti tentang hambaNya. Contohnya, saban hari kita memohon diberikan kesenangan harta olehNya, kita kadang-kala merungut kerana masih dalam kemiskinan meskipun telah beramal padaNya, tetapi kita tidak tahu, mungkin Allah memelihara dari perasaan riak dan takabbur bila kaya? Bukankah ujian kesenangan itu lebih susah dari ujian kemiskinan?”



Keadaan yang sama, bila kita diuji dengan tsunami, kita sering bersungut, bala apa yang Allah ingin turunkan, ramai yang menderita akibat dari kejadian alam tersebut. Padahal, Allah itu bersikap adil kepada kesemua makhluk ciptaannya, termasuk bumi ini.

Tsunami adalah cara untuk menstrukturkan kembali bumi agar lebih seimbang, mungkin itu sahaja caranya. Malah, kadang-kadang kita manusia, bila ditimpa ujian, baru ramai yang tersedar, mensyukuri dengan nikmat yang pernah dapat, bukankah itu hikmah tersembunyi?

Justeru dalam keadaan apa pun, yakinlah semuanya atas ketentuan Allah yang Maha Esa kerana hanya Dialah asbab kita hidup di dunia dan kerana Dialah juga apa yang baik atau buruk berlaku dalam pandangan kita.

Apa yang penting jaga pertuturan dan jangan sampai kita menafikan kekuasaan-Nya dan menafikan segala ketentuan dari Nya. Sedangkan daun yang jatuh pun adalah ketentuan Tuhan bukan kebetulan, inikan pula yang berlaku kepada manusia. Wallahu a’lam. Utv



“Nasib Baik” Bukan kebetulan, Tapi Ketentuan Tuhan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buat kerja, jangan bagi alasan – Tok Mat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker