Siasatan dapati pembantu rumah dirogol oleh Paul Yong

Siasatan dapati pembantu rumah dirogol oleh Paul Yong

IPOH: Seorang pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong telah merogol pembantu rumahnya.

Pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintenden Yap Siew Cheng berkata, kenyataan itu adalah berdasarkan siasatan yang dilakukannya ke atas kes berkenaan.

“Saya tidak bersetuju kerana hasil siasatan saya mendapati mangsa telah dirogol oleh tertuduh,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.

Siew Cheng yang juga saksi ke-23 berkata, hasil siasatan pihaknya juga mendapati semua maklumat yang diberikan mangsa termasuk dari segi tarikh dan masa juga adalah seragam.

Malah katanya, siasatan dan semakan juga telah dilakukan dengan syarikat telekomunikasi dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI).

“Siasatan mendapati masa dan tarikh yang dimaklumkan oleh mangsa adalah ‘tally’,” katanya.

Terdahulu, Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika soalan balas telah mencadangkan kepada Siew Cheng bahawa tertuduh tidak merogol mangsa dan wanita itu hanya mereka-reka cerita kerana ingin kembali ke negara asal dan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

Siew Cheng juga tidak bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa siasatan yang dijalankannya adalah bersifat berat sebelah kerana gagal menyiasat isu-isu yang dibangkitkan tertuduh bahawa mangsa mungkin mempunyai masalah mental dan tertuduh telah dianiaya.

Katanya, dia telah menjalankan siasatan lengkap daripada pelbagai sudut termasuk merakam kenyataan saksi, siasatan di tempat kejadian dan semakan di syarikat telekomunikasi.

“Saya tidak setuju kerana saya telah menjalankan siasatan dengan lengkap sehingga mendapat arahan untuk tuduh (di mahkamah),” katanya.

Sementara itu ketika disoal peguam Salim Bashir sama ada mangsa ada menulis dalam diari bahawa dia telah diganggu atau diperkosa majikannya, Siew Cheng berkata, tiada tulisan berkaitan perkara itu dijumpai di dalam dairi berkenaan.

Siew Cheng bagaimanapun mengesahkan kepada Salim bahawa mangsa ada menulis frasa dalam diari bertarikh 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol itu, dalam dialek Indonesia yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai “tunggu dan lihat f ** k”.

Sehingga hari ini, seramai 23 saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk dua saksi terlindung iaitu mangsa dan individu yang membawanya membuat laporan polis.

Hakim Datuk Abdul Wahab menetapkan 29 Oktober ini untuk hujahan bertulis dan 16 November depan pula bagi mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Utusan

Siasatan dapati pembantu rumah dirogol oleh Paul Yong


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mat Sabu tegur Anwar hina kerajaan disokong ulama, sekali Azalina mencelah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker