Air mata Loca B berderai anak tak diiktiraf warganegara

Air mata Loca B berderai anak tak diiktiraf warganegara

“Apa yang anak saya boleh buat dengan dua kewarganegaraan?”

Demikian teriak penyanyi rap wanita, Loca B dalam nada teresak-esak mempersoalkan mengapa anak sulungnya, Yusuf Alexander yang sudah menetap di negara ini sejak kecil, namun masih berstatus bukan warganegara.

Ujar Loca atau nama lengkapnya, Nabilah Hani Azali, dia khuatir dengan masa depan anaknya di negara ini memandangkan usahanya untuk mendapatkan hak warganegara tertangguh selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

“Selepas (berusia) tujuh tahun, adalah mustahil untuk Yusuf mendapatkan kewarganegaraannya.

“Yusuf akan menginjak usia enam tahun (pada 2022). Saya cuma risau dengan masa depannya dalam negara ini. Saya cuma mahu dia terus bersama saya.

“Patutnya, Yusuf terus dapat hak kewarganegaraannya waktu saya lahirkan dia. Tak patut jadi susah begini untuk dia tinggal dengan saya di negara ini.

“Waktu dia masih bayi, saya patut punya hak untuk pindahkan saya punya kewarganegaraan kepada anak saya,” getus pemenang Anugerah Juara Lagu ke-35 menerusi lagu Gila itu.

Kata Loca lagi, kalau kaum lelaki sewenang-sewenangnya boleh memindahkan hak kewarganegaraan kepada anak mereka, mengapa tidak kaum wanita diberi peluang dan ruang yang sama.

“Kita tinggal di negara di mana kerajaan suka untuk mendiskriminasi golongan wanita. Kerajaan berasa okey untuk menidakkan hak saya sebagai wanita di negara ini.

“Apabila (Yusuf) besar nanti, dia yang akan pilih sendiri negara mana yang dia nak (kekalkan warganegaranya). Sekarang ini waktu dia kecil, apa sahaja yang dia boleh buat?” ujar Loca.

Terang Loca yang pernah menyambung pelajaran di Universiti Southampton, England lagi, dia mengajak orang ramai untuk prihatin akan keadaan wanita-wanita lain yang senasib dengan dirinya.

“Fikir juga tentang orang lain yang hidup tak ‘blessed’ macam saya. Tiada rezeki macam saya. Fikirkanlah ibu-ibu yang setiap kali nak kena perbaharui visa.

“Ingat murah nak buat visa, kalau terlepas kena bayar RM500 hingga RM700. Dulu saya tiada (banyak) duit gila sakit nak perbaharui visa tiap-tiap tahun RM150 tapi tetap, semua itu duit dan melibatkan masa,” katanya.

Menerusi luahan rasa hati yang dimuat naik dalam satu video berdurasi dua minit 37 saat tersebut, Loca turut menyatakan visa anaknya sudah tamat tempoh pada Jun lalu.

Malangnya, Jabatan Imigresen masih tidak memberikan temujanji baharu buatnya sekali gus menyulitkan keadaan.

“Nak perbaharui visa kalau dah berkahwin sekali lagi, kalian perlukan surat hak penjagaan anak. Kena pergi mahkamah untuk dapatkan surat itu.

“Tarikh mahkamah saya sepatutnya Jun tapi dah kena tangguh banyak kali disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maknanya di sini, saya tak boleh perbaharui visa anak sampailah dapat surat hak penjagaan,” katanya.

Difahamkan, Yusuf yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang tidak diketahui identitinya dilahirkan di United Kingdom.

Loca kemudian berkahwin dengan ahli kumpulan K-Clique, Muhd. Azree Shah Awang Zamree (Tuju) pada Mac 2021 dan dikurniakan seorang lagi cahaya mata bernama Bintang Aiko.

Terdahulu, media melaporkan, pemberian hak kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berstatus warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional. K Online

Air mata Loca B berderai anak tak diiktiraf warganegara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mat Sabu tegur Anwar hina kerajaan disokong ulama, sekali Azalina mencelah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker