Aksi terakhir Messi bertukar kontroversi
Aksi terakhir Messi bertukar kontroversi

Abidjan: Apabila Benin dan Burkina Faso berlepas ke Buenos Aires untuk mengharungi perlawanan persahabatan menentang Argentina, termasuk aksi terakhir bintang sensasi Lionel Messi, ia kelihatan seperti impian menjadi kenyataan buat pemain yang jarang berpeluang beraksi menentang kelompok elit bola sepak dunia.
Namun, realitinya jauh berbeza apabila pengurusan perjalanan dan perlawanan itu disifatkan sebagai kucar-kacir oleh seorang anggota delegasi Benin kepada AFP.
Penerbangan ke Buenos Aires mengambil masa beberapa hari, bukannya beberapa jam. Hotel penginapan pula tidak menyediakan air panas, manakala kemudahan latihan disifatkan tidak memuaskan.
Lebih mengecewakan, persatuan bola sepak negara Afrika yang dijemput tidak menerima sebarang keuntungan daripada perlawanan berkenaan, yang berpotensi menjana pendapatan berjuta-juta dolar menerusi hasil perlawanan dan hak penyiaran televisyen, menurut sumber itu.
Sebelum perlawanan, akhbar milik kerajaan Benin di Cotonou, La Nation menyambut peluang itu dengan penuh keterujaan, berharap pasukan berkenaan dapat “memperkenalkan Benin kepada seluruh dunia”. Persatuan bola sepak negara itu juga menyifatkan pemilihan berkenaan sebagai satu “keistimewaan”.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- RUU Makanan 2026: Perlu Tegas, Adil, Tidak Bebankan Peniaga Mikro – Manndzri
- Pembangunan Kulai Mesti Beri Manfaat Pada Rakyat
- ‘Good Old Days’ Tidak Memadai, BN Perlu Tunjuk Apa Selepas Ini – Khairy
Saya akan memberitahu Messi, ‘Anda ialah dewa’. Dia pemain terbaik dunia,” kata pertahanan Benin, Mohamed Tijani, kepada media Argentina ketika mengulas pemain legenda nombor 10 negara itu.
Bagaimanapun, skuad Cheetahs tewas 3-0.
Walaupun tiada amalan standard dalam penganjuran perlawanan persahabatan profesional antarabangsa, pasukan kecil Afrika lazimnya bergantung kepada agensi untuk menguruskan perlawanan di tempat lawan dan tidak semestinya memperoleh keuntungan daripada aksi berkenaan.
“Persatuan bola sepak Afrika menerima tawaran seperti ini kerana segalanya diuruskan. Mereka tidak perlu mencari lawan atau mengendalikan penganjuran perlawanan persahabatan sendiri.
“Namun, memang benar urusan perjalanan dan penginapan tidak mencapai standard sewajarnya,” jelas seorang pakar bola sepak Afrika yang enggan namanya didedahkan.
Perlawanan persahabatan Burkina Faso pula bertukar menjadi satu kekecohan.
Sehari sebelum sepak mula, skuad Stallions masih terkandas di Maghribi selepas penerbangan sambungan mereka ke Buenos Aires dibatalkan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- KPT Sasarkan 80 Peratus Kursus Ijazah Sarjana Muda Integrasi Elemen AI
- Agenda Malaysia Biru Buka Lebih Banyak Ruang Kepada Generasi Muda – Rizam Ismail
- Agenda Malaysia Biru: GST Wajar Dikembalikan Jika BN Diberi Mandat – Wee Ka Siong
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Penganjur akhirnya mendapatkan pesawat pada saat akhir, namun skuad senior Burkina Faso yang berang enggan menaikinya. Akibatnya, negara itu terpaksa menghantar pasukan bawah 23 tahun dalam keadaan tergesa-gesa.
Pemain muda berkenaan tiba hanya beberapa jam sebelum perlawanan dalam keadaan keletihan akibat perbezaan zon waktu, sebelum dibelasah 7-0 oleh Argentina, finalis Piala Dunia tahun ini.
Berang dengan kejadian itu, pemerintah tentera Burkina Faso, Ibrahim Traore, mengadu bahawa bola sepak negara berkenaan berada dalam “keadaan menyedihkan” dan mengancam untuk mengambil “keputusan besar” bagi “memperbaiki keadaan”.
“Tingkap antarabangsa seterusnya pada November semakin hampir.
“Jika hubungan antara pihak berkepentingan tidak berubah, kita berisiko berdepan masalah sama sekali lagi, malah akibatnya mungkin lebih buruk,” kata pegawai Persekutuan Bola Sepak Burkina Faso, Ibrahim Dianda, menerusi Facebook.
Peminat kini mahu mengetahui pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden memalukan itu.
Adakah persatuan bola sepak Afrika yang menerima tawaran berat sebelah berkenaan menjadi puncanya?
Atau Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), yang dituduh sesetengah pihak mengambil kesempatan daripada reputasi tinggi pasukan negara itu serta penampilan Messi, eksport paling terkenal Argentina yang masih hidup, bagi memaksimumkan pendapatan?
Walau apa pun motif di sebalik penganjuran itu, AFA berdepan masalah kewangan, siasatan pengubahan wang haram serta presidennya, Claudio Tapia, yang disyaki mengelak cukai.
Di Argentina, beberapa akhbar dan saluran media sosial memperlekehkan perlawanan berkenaan dengan menggunakan istilah “chatarra”, yang merujuk kepada aksi murah dan berkualiti rendah.
Pasukan Messi turut menentang Mauritania, yang menduduki tangga ke-110 ranking FIFA, dan Zambia, di tangga ke-91, dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia tahun ini. Argentina masing-masing menang 2-1 dan 5-0.
Pasukan itu juga meraih bayaran lumayan bernilai beberapa juta dolar apabila berkunjung ke Luanda pada November 2025 bagi perlawanan persahabatan sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Angola.
Bantuan gol dan jaringan daripada pemenang Ballon d’Or lapan kali itu membantu Argentina mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan Afrika berkenaan.
Susulan kemarahan di Burkina Faso berhubung layanan terhadap pasukan kebangsaan mereka, penganjur perlawanan, Eurodata Sport, mengeluarkan kenyataan ringkas yang dikongsi AFA dalam talian, dengan menegaskan pihaknya sudah “memenuhi komitmen kontrak”.
Eurodata Sport bagaimanapun enggan memberikan maklum balas terhadap permintaan komen AFP.
Aksi terakhir Messi bertukar kontroversi
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kepentingan Rakyat, Masa Depan Negeri Sembilan Jadi Keutamaan – Ismail Lasim
- RM2.1 Bilion: Wang Diluluskan, Tapi Tak Sampai KKDW?
- RUU Makanan Perlu Lindungi Pengguna, Peniaga Kecil Secara Adil – Suhaimi
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.