Emas gagal digadaikan untuk Aidilfitri, Tauke emas di Kelantan kekurangan tunai

 

Ramai pemilik barang kemas hampa apabila hasrat mereka untuk menjual emas bagi mendapatkan wang belanja sempena Aidilfitri tidak mendapat sambutan dalam kalangan peniaga ekoran nilai logam berharga itu yang tinggi ketika ini.

Lebih parah apabila tiada langsung pelanggan yang ingin membeli emas hingga menyebabkan pemilik premis di Pasar Besar Siti Khadijah kekurangan wang sebagai simpanan.



Pemilik Kedai Emas Noris, Norsyazwani Ismail, 38, berkata, harga semasa emas mencecah RM268 segram menyebabkan ramai pelanggan datang untuk menjual barang kemas sejak awal Ramadan lalu kerana terdesak untuk beraya.

“Saya tiada pilihan selain terpaksa menolak permintaan antara 15 hingga 20 pelanggan sehari untuk menjual emas.

“Modal yang ada hanya untuk menjual emas baharu dan bukan beli. Harga emas baharu ketika ini RM272 segram dan pelanggan tak mahu beli walaupun Syawal bakal menjelang beberapa hari lagi,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Norsyazwani, bia­sanya wanita Kelantan akan membeli emas dalam kuantiti banyak sempena Aidilfitri walaupun pada harga tinggi.



Sementara itu, pemilik Mah Kampong Kito, Farisha Najwa Rosli, 28, berkata, kebanyakan kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah terpaksa menolak membeli emas terpakai apabila jualan emas baharu di premisnya agak sendu berikutan harga semasa tinggi sejak awal Ramadan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai peniaga kedai emas tiada aliran tunai yang baik untuk membeli emas terpakai daripada pelanggan.

“Apabila tiada pelanggan emas baharu, peniaga kedai emas tiada wang tunai yang mencukupi untuk membeli barangan kemas terpakai selain akan mengakibatkan berlaku lambakan.

“Kami faham pelanggan memerlukan wang tunai untuk me­nyambut Hari Raya Aidilfitri, namun peniaga emas juga tersepit apabila ramai yang datang untuk menjual emas,” katanya.



Farisha Najwa berkata, situasi jualan emas sempena Aidilfitri pada tahun ini berbeza berban­ding tahun lalu apabila kebanyakan pelanggan dapat berbelanja menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Menurutnya, disebabkan tiada aliran tunai yang baik, ramai pelanggan datang untuk menjual emas mereka daripada membeli barangan kemas pada tahun ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga kedai emas, Noraini Ismail, 29, berkata, buat masa ini, dia hanya membuat sistem barter iaitu menukar emas terpakai milik pelanggan yang mempunyai nilai yang sama dengan harga emas baharu.

Menurutnya, dia membuat kaedah itu apabila tidak lagi membeli barangan kemas terpakai sejak seminggu lalu.



Dalam pada itu, seorang suri rumah, Roslina Abu Bakar, 45, berkata, dia kecewa apabila dua buah premis menolak permintaannya untuk menjual dua utas gelang tangan.

“Saya amat memerlukan wang kerana masih belum membeli barangan keperluan Hari Raya ­Aidilfitri termasuk baju raya empat orang anak.

“Saya ingatkan dapat modal RM3,000 rupa-rupanya peniaga tidak mahu membeli emas terpakai ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Azli Ismail, 40, berkata, dia terkejut apabila ada beberapa premis di Kota Bharu menolak untuk membeli emas terpakai meskipun ramai yang sudah membuat tawaran kepada mereka.



Menurutnya, dia yang datang dari Pasir Mas ke Kota Bharu untuk menjual sebentuk cincin emas milik iste­rinya tidak me­nyangka situasi itu berlaku beberapa hari sebelum Syawal.

“Nasib baik ada satu kedai yang terima,” katanya

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);



KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kenapa Ogy tampar Tya Ariffin?

Ibu maafkan kau Sol, tapi….

Amelia sertai Miss Universe Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker