Sedih kantung rahim kosong

Sedih kantung rahim kosong

Harapan seorang wanita untuk menimang cahaya mata pertama selepas enam bulan berkahwin tidak kesampaian apabila dia disahkan mengalami blighted ovum atau kantung kosong.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku empat tahun lalu itu, wanita terbabit dikenali sebagai Nur Syaza berkata, ujian kehamilan di rumah mengesahkan dia sedang hamil.



Katanya, beberapa hari kemudian, dia mengalami muntah dan sakit perut secara berterusan.

“Pada ketika itu, saya sangkakan ia adalah masalah biasa dihadapi oleh ibu mengandung.

“Bagaimanapun apabila saya bertanya kepada sepupu, dia tidak mengalami perkara itu ketika sedang hamil. Saya akui risau namun masih berfikiran positif,” katanya.

Menurutnya, apabila kandungannya berusia lapan minggu, dia pergi ke klinik untuk membuat imbasan.



“Ketika ujian ultrasound dijalankan, saya gembira apabila dapat melihat kantung rahim.

“Bagaimanapun doktor beritahu tiada janin di dalam kantung rahim itu,” katanya.

Nur Syaza berkata, pada ketika itu, dia terus berasa sebak menahan kesedihan berikutan impiannya untuk melahirkan cahaya mata sulung musnah.

“Doktor menjelaskan kandungan saya tiada perkembangan positif dan kes ini dipanggil sebagai blighted ovum berikutan kerosakan kromosom dan genetik ketika pembentukan awal janin.



“Saya diminta jangan bersedih kerana ini adalah kejadian normal dan banyak kes seperti ini berlaku,” katanya.

Menurutnya, keesokkan hari, dia sekali lagi ke hospital dan masih mengharapkan keajaiban berlaku namun tetap mendapat keputusan yang sama.

Nur Syaza mengakui ada yang mengaitkan kehilangan janin itu dengan perkara mistik termasuk diambil jin atau bunian.

“Tetapi untuk kes ini, saya yakin ia disebabkan blighted ovum. Saya tidak menyalahkan sesiapa,” katanya.



Bagaimanapun, Nur Syaza bersyukur pada Ogos 2018, dia disahkan hamil buat kali kedua dan imbasan bayi menunjukkan kandungan berada dalam keadaan normal.

“Pada 3 Mac 2019, saya selamat melahirkan puteri sulung,” katanya.

Setiap malam mimpi pelik

Apabila disahkan sedang hamil anak kembar, Nur (bukan nama sebenar) cukup teruja dan gembira.



Lebih menggembirakan ini adalah kehamilan anak sulung selepas enam bulan mendirikan rumah tangga.

Beberapa kali imbasan yang dijalankan mengesahkan Nur mengandung anak kembar.

Namun, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila pemeriksaan yang dijalankan di hospital empat bulan kemudian mendapati dia hanya hamil seorang anak.

Nur berkata, ketika disahkan hamil pada November 2017, dia tidak mengalami sebarang alahan teruk.



“Bagaimanapun, hampir setiap malam saya bermimpi didatangi dua individu berpakaian kuning dan seorang mak bidan.

“Saya lihat mak bidan itu akan memeriksa perut sebelum berlalu pergi. Begitulah yang berlaku setiap hari,” katanya.

Pada mulanya, dia mengabaikan sahaja mimpi itu kerana beranggapan ia hanyalah mainan tidur namun mula tidak senang duduk apabila bermimpi sama hampir setiap hari.

“Sehinggalah sehari sebelum saya pergi ke hospital untuk membuat imbasan kandungan berusia empat bulan, saya bermimpi bidan itu menyambut bayi saya.

“Selepas menunjukkan wajah bayi yang tidak berapa jelas, mak bidan bersama dua individu itu terus berlalu pergi. Saya terus tersedar dari tidur dan menangis sambil memegang perut,” katanya.

Menurutnya, pada keesokan hari selepas pemeriksaan dijalankan, doktor mengesahkan dia hanya hamil seorang anak.

“Sejak itu saya sudah tidak dikunjungi tiga ‘individu’ terbabit.

“Ketika melahirkan anak, doktor terkejut apabila mendapati terdapat satu lagi kantung yang tiada bayi,” katanya.

Nur berkata, hanya selepas anaknya berusia dua tahun, dia bermimpi didatangi dua individu berpakaian kuning yang menunjukkan seorang kanak-kanak sedang leka bermain.

“Kemudian apabila anak berusia hampir tiga tahun, saya bermimpi anak kecil yang mempunyai iras seperti anak sulung,” katanya.

Menurutnya, hanya keluarga terdekat sahaja yang mengetahui kisah ini kerana bukan semua orang boleh menerimanya.

“Saya terima kejadian ini dengan hati yang terbuka kerana semua ini adalah ketentuan Allah,” katanya.

Kehamilan tidak selalu berakhir dengan kelahiran

Berita mengenai kehamilan adalah perkhabaran menggembirakan terutama kehamilan pertama bagi pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

Namun, kehamilan tidak selalunya berakhir dengan kelahiran bayi, sebaliknya ada wanita berasakan bahawa dia sedang hamil kerana mempunyai gejala atau tanda kehamilan, tetapi hakikatnya tiada janin di dalam rahim.

Perunding Sakit Puan dan Pakar Kesuburan Metro IVF Sdn Bhd, Dr Wong Wen Hao berkata, keadaan ini dikenali sebagai kehamilan palsu atau nama saintifiknya pseudocyesis.

“Berdasarkan kajian, keadaan ini kerap berlaku kepada wanita yang berada dalam kumpulan umur reproduktif terutama dalam lingkungan usia 20 hingga 39 tahun.

“Keadaan ini lazim berlaku di negara membangun kerana tekanan terhadap wanita untuk mempunyai anak jauh lebih tinggi berbanding dengan negara maju.

Menurutnya, setakat ini punca kehamilan palsu masih tidak jelas.

“Salah satu teori menyatakan bahawa pseudocyesis berlaku disebabkan faktor tekanan psikologi yang mengakibatkan ketidakseimbangan hormon dalam badan.

“Contoh tekanan yang mungkin mengakibatkan keadaan ini termasuk masalah kesuburan, keinginan untuk hamil, kehilangan keupayaan untuk hamil seperti selepas pembedahan pemandulan, pembuangan rahim atau keguguran berulang,” katanya.

Beliau berkata, antara gejala kehamilan palsu termasuk wanita akan mengalami situasi seperti wanita hamil lain iaitu tiada haid atau kitaran haid tidak teratur, merasakan ada pergerakan janin serta pening dan muntah.

“Gejala ini boleh bertahan selama beberapa minggu, sembilan bulan atau bahkan selama beberapa tahun.

“Terdapat sebilangan kecil wanita dengan kehamilan palsu berjumpa doktor atau ke hospital dengan rasa sakit seperti hendak bersalin,” katanya.

Dr Wong berkata, seseorang wanita yang percaya bahawa dia sedang hamil terutama untuk tempoh beberapa bulan sebelum mengetahui keadaan sebenar boleh mengalami impak psikologi besar.

Tiada diceritakan dalam al-Quran, hadis

Proses penciptaan bayi dalam rahim ibunya adalah antara tanda kekuasaan Allah.

Perubahan yang berlaku terhadap janin sehingga akhirnya menjadi seorang bayi yang sempurna sifat kejadiannya adalah perkara ghaib yang tidak diketahui oleh manusia secara terperinci.

Malah, ia tidak akan sama sekali mampu ditandingi oleh manusia meskipun dengan bantuan kemudahan teknologi semasa.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Shahrizal Nasir berkata, dalam isu ‘kehilangan’ janin atau kandungan dalam rahim ibu, tidak ada pengkisahan seumpamanya yang dimaktubkan dalam nas sahih daripada al-Quran dan hadis.

“Justeru, adalah sebaiknya perkara ini dirujuk kepada pihak yang pakar dalam bidang perubatan sakit puan.

“Kepercayaan kepada perkara yang tidak dijelaskan dalam al-Quran dan hadis boleh mengundang seseorang terjebak ke dalam perbuatan syirik kerana meyakini adanya kuasa yang dapat ‘merosakkan’ perjalanan ketetapan Allah,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, syaitan akan mendampingi manusia dan tidak akan berpaling daripada mengganggu melainkan jika manusia sentiasa mengingati Allah.

“Sebenarnya panduan ini bukanlah bertujuan untuk memperbesarkan peranan syaitan dan jin dalam mengganggu manusia, sebaliknya ia sepatutnya difahami sebagai satu petunjuk bahawa Allah sahajalah yang berkuasa melindungi manusia daripada sebarang kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa diajar memohon perlindungan kepada Allah sejak sebelum terciptanya zuriat mereka.

“Inilah perkara yang perlu menjadi perhatian setiap ibu bapa. Malah, tatkala bayi dilahirkan, Rasulullah mengajarkan doa untuk memohon perlindungan buat anak-anak yang masih kecil,” katanya. HM

Sedih kantung rahim kosong


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Arab Saudi dikecam netizen, konsert Bieber halal, Tabligh haram

‘Saya pakai lagi seksi keluar dengan suami’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker