Selain Mahkamah Persekutuan, Pengampunan Agong adalah jalan terakhir

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan notis rayuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah beliau dalam kes menyeleweng dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Penasihat Undang-Undang, Shaiful Azhar Ahmad berkata, langkah memfailkan notis tersebut merupakan perkara paling penting bagi mengelakkan hak Najib untuk merayu gugur.

Menurutnya, beberapa prosedur perlu dipatuhi mengikut peraturan Mahkamah Persekutuan selepas notis rayuan tersebut difailkan.

“Pihak yang merayu perlu mengemukakan notis rayuan dan mahkamah akan meneliti prosedur yang telah ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan. Selepas prosedur itu lengkap, Mahkamah Persekutuan akan menetapkan tarikh pendengaran rayuan.

“Proses perbicaraan tetap sama seperti di Mahkamah Rayuan dengan pihak pembelaan dan pendakwaan akan membentang kes dan rayuan untuk didengari di peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian.Pada Rabu, panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Rahman bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib pada 28 Julai 2020.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kedudukan terhadap bekas Presiden UMNO itu dikekalkan.

Shaiful Azhar juga menjelaskan, sukar untuk menganggarkan tempoh perbicaraan tersebut kerana perkara itu ditetapkan oleh pihak mahkamah atau ketua hakim.

“Setiap kes perlu mengikut turutan kerana mungkin ada kes yang telah masuk dahulu kecuali kes tersebut sangat penting kepada negara dan ketua hakim mungkin memerintahkan untuk dipercepatkan tetapi itu kes yang terpilih sahajalah,” kata beliau.

Najib terus berjuang, tidak sesekali akan mengalah

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemungkinan tiada keterangan baharu boleh dikemukakan oleh Najib dalam proses perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

“Mengikut prinsip asas, memang tidak boleh kerana Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hanya mendengar rayuan keputusan mahkamah di bawah.

“Kecuali Mahkamah Persekutuan berpendapat ada keterangan baharu yang perlu diambil kira dan jika tidak diadili akan menjejaskan keadilan.

“Dalam keadaan ini, pihak berkenaan boleh memohon kebenaran mahkamah untuk mengemukakan keterangan baharu.

“Kemudian, terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk membenarkan atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Shaiful Azhar menerangkan sekiranya Mahkamah Persekutuan tetap mengekalkan hukuman tersebut, Najib perlu menjalani hukuman yang telah ditetapkan termasuk membayar denda RM210 juta.

“Jika gagal membayar jumlah denda tersebut, maka hukuman penjara akan ditambah. Dalam masa sama, status beliau sebagai Ahli Dewan Rakyat juga akan terlucut.

“Ada lagi peruntukan untuk beliau memohon pengampunan (Yang di-Pertuan Agong) kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan ada peruntukan tersebut. Itu merupakan jalan terakhir yang boleh dilakukan oleh Najib,” kata Shaiful Azhar.

Selain Mahkamah Persekutuan, Pengampunan Agong adalah jalan terakhir


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib Razak bukan banduan, masih boleh bertanding PRU-15

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker