Najib Razak bukan banduan, masih boleh bertanding PRU-15

SHAH ALAM – Biarpun Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd, namun bekas Perdana Menteri ke-6 berkenaan boleh menarik nafas lega kerana masih layak menjadi calon jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Ini berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara, memutuskan untuk ‘menggantung’ sabitan semua kesalahan Ahli Parlimen Pekan terbabit, sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan nanti.

Justeru, Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, melahirkan ‘kerisauan perundangan’ apabila media melaporkan hakim juga membenarkan penggantungan sabitan kes terhadap Najib sehingga rayuan kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan nanti.

Haniff Khatri menegaskan, jika laporan media berkenaan betul dan Mahkamah Rayuan memang memutuskan untuk menggantung sabitan ke atas Najib sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan, maka ia mempunyai dua implikasi besar.



“Pertama, walaupun Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kita masih tidak boleh memanggil bekas Perdana Menteri itu sebagai pesalah (banduan) dari segi perundangan, di atas penggantungan sabitan itu.

“Kedua keputusan itu juga memberikan kesan besar kepada pemakaian Perkara 48 Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna jika Parlimen dibubarkan pada hari ini atau esok atau dalam masa terdekat, maka Najib masih layak menjadi calon untuk bertanding jika PRU15 diadakan, walaupun Mahkamah Persekutuan belum mendengar rayuannya,” katanya ketika menghubungi wartawan Sinar Harian Premium pada Selasa.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, dengan perkembangan terbaharu berkenaan Najib kini berada dalam keadaan dan zon lebih selesa berbanding semasa selepas keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini.

Untuk rekod, sebelum ini Mahkamah Tinggi, menggantung keputusan pelaksanaan hukum penjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta bagi membolehkan rayuannya didengar oleh Mahkamah Rayuan.



“Keputusan itu membolehkan kita memanggil Najib sebagai ‘pesalah’ dan jika PRU diadakan sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan maka Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh menjadi calon.

Saya bersumpah atas nama Allah – Najib

“Bagaimanapun, jika betul Mahkamah Rayuan memberikan penggantungan kepada semua sabitan kesalahan ke atas Najib seperti dilaporkan media massa, maka bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan lebih baik kerana dia boleh bertanding jika PRU diadakan dalam masa terdekat,” katanya.



Berikutan itu, Haniff Khatri berharap pihak pendakwaan dapat meneliti dan membuat keputusan tepat sama ada memfailkan rayuan atau tidak ke atas keputusan Mahkamah Rayuan menggantung sabitan dan hukuman kes Najib.

“Walaupun, Najib berhak membuat rayuan ke atas semua keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya tetapi pihak pendakwa raya pun boleh berbuat demikian berhubung pelaksanaan penggantungan hukuman penjara, denda dan sabitan kes,” katanya.

Najib berhak mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk membebaskan dirinya daripada semua pertuduhan berkenaan sama seperti penjenayah biasa, kata Haniff Khatri

Ditanya mengenai status kedudukan Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, Haniff Khatri berkata, perkara itu tidak berbangkit selepas Najib menfailkan rayuannya di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat selaras dengan Perkara 48 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.



Terdahulu, Haniff Khatri berkata keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib menunjukkan segala tohmahan dan kekhuatiran orang ramai kononnya Hakim akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak supaya membuat keputusan membebaskan bekas Perdana Menteri ke-6 adalah tidak berasas sama sekali.

Haniff Khatri juga berharap keputusan berkenaan akan memberi gambaran kepada orang awam bahawa mahkamah adalah suatu badan bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak daripada Parlimen mahu pun badan ekskutif.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada tahap ini Najib berhak mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk membebaskan dirinya daripada semua pertuduhan berkenaan sama seperti penjenayah biasa.

“Semua penemuan oleh Mahkamah Rayuan juga menunjukkan segala bentuk kenyataan Najib di media sosial dari semasa ke semasa tidak dianggap atau diterima untuk digunakan sebagai asas oleh mana-mana pihak untuk melompat dari kerusi untuk membela tuduhan jenayah terhadap Najib berkenaan.



Pada masa sama, Najib juga diberikan hak penggantungan hukuman penjara dan denda sama seperti diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan muktamad.

Malah, Najib tidak perlu membayar RM210 juta denda dikenakan terhadapnya biarpun beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan hari ini.

“Memang dari sudut perundangan saya sudah beberapa kali bercakap mengenai hukuman denda yang perlu dikenakan syarat tambahan. Namun, kita kena menghormati keputusan dibuat Hakim Mahkamah Rayuan yang bijaksana dan pasukan pendakwaan yang melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin,” katanya.

Najib Razak bukan banduan, masih boleh bertanding PRU-15

 


https://mykmu.net/2021/12/08/najib-razak-menjunjung-prinsip-keadilan-dan-kebebasan-mahkamah/

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker