Selepas 100 hari, ini lima kementerian paling cemerlang



SEMPENA 100 hari petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian-kementerian, dua badan penyelidik bebas iaitu Ilham Centre dan O2 Research mengupas dan menilai prestasi lebih 20 portfolio kabinet Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berikut ialah lima kementerian dengan rekod paling cemerlang hasil penilaian dua badan penyelidik itu.

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara kementerian yang diduga dengan pelbagai rintangan angkara Covid-19, namun dalam 100 hari ini KKM bersama nakhoda baharu menunjukkan prestasi luar biasa.

Ini termasuklah peraturan ketat tanpa kenal parti baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), DAP atau PKR semua perlu patuh SOP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Hasilnya pasca PRN Melaka, tiada lonjakan ketara kes Covid-19 seperti mana PRN Sabah.

Empat kementerian lain yang turut menunjukkan prestasi cemerlang ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.




KEMENTERIAN KESIHATAN

Menteri: Khairy Jamaluddin Abu Bakar (UMNO-BN)

Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bersatu-PN)

Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang (PBS-GPS)

Khairy Jamaluddin (kanan) selaku Menteri Kesihatan berjaya melengkungkan graf penularan Covid-19 yang pada satu ketika merekodkan lebih 20,000 kes jangkitan.
Khairy Jamaluddin (kanan) selaku Menteri Kesihatan berjaya melengkungkan graf penularan Covid-19 yang pada satu ketika merekodkan lebih 20,000 kes jangkitan.

 

ILHAM CENTRE: Ulasan kami ringkas dan mudah. Kementerian ini cemerlang dan bergaya.




Selain berkeupayaan mengendalikan proses vaksinasi rakyat dengan pantas dan berkesan, kehadiran Khairy dalam kementerian ini seolah-olah memberi rahmat kepada sistem kesihatan negara.

Pernah suatu ketika sistem kesihatan awam hampir lumpuh disebabkan kadar jangkitan Covid-19 yang meningkat melebihi 20,000 kes sehari, Khairy atau lebih dikenali KJ ternyata berjaya meredakan kegusaran petugas barisan hadapan di hospital.

Beliau berjaya menyegerakan bantuan peralatan perubatan, alat bantuan pernafasan dan katil pesakit yang disalurkan segera kepada hospital-hospital yang kritikal mendepani lambakan pesakit Covid-19.

Selain itu, kejayaan kementerian memudah cara urusan pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 juga wajar diberikan pujian.Paling penting, kaedah penyampaian maklumat KJ yang mantap dan berinformasi, sama ada melalui sidang media mahu pun pada sidang Parlimen, berjaya meredakan segala kegusaran rakyat.

Beliau juga dilihat menampilkan imej segar dan kurang kontroversi berbanding menteri sebelumnya.




RATING: 9/10

O2 RESEARCH: Tidak perlu ulas lanjut, KJ sememangnya cemerlang dengan komitmen beliau diterjemahkan sejak memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Lebih membanggakan, kejayaan beliau bersama kementerian meningkatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia kepada tahap optimum sehingga mendapat pengiktirafan media antarabangsa wajar diberi pujian melambung.

Kesannya lebih jelas apabila kes jangkitan Covid-19 kini merudum dengan hanya mencatatkan sekitar 6,000 kes sehari, berbanding angka lebih 20,000 kes sewaktu KJ mula-mula mengambil alih jawatan menteri.

Selain itu, keputusan tegas KJ dan kementerian menetapkan SOP PRN Melaka yang begitu ketat juga memastikan episod penularan gelombang ketiga Covid-19 sewaktu PRN Sabah tahun lalu tidak berulang di Melaka.




RATING: 9/10

KEMENTERIAN KEWANGAN

Menteri: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Senator)

Timbalan Menteri I: Mohd Shahar Abdullah (UMNO-BN)

Timbalan Menteri II: Yamani Hafiz Musa (Bersatu-PN)

Keputusan Ismail Sabri mengekalkan Tengku Zafrul (tengah) dalam pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dianggap strategi bijak kerana imej beliau dilihat bersih dan berpengalaman dalam hal kewangan selain bijak dalam mengesampingkan soalan kontroversi berkaitan isu kewangan negara.
Keputusan Ismail Sabri mengekalkan Tengku Zafrul (tengah) dalam pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dianggap strategi bijak kerana imej beliau dilihat bersih dan berpengalaman dalam hal kewangan selain bijak dalam mengesampingkan soalan kontroversi berkaitan isu kewangan negara.

 

ILHAM CENTRE: Saya nampak imej positif kementerian ini berjaya ditonjolkan menerusi perwatakan tenang dan berhemah Tengku Zafrul sewaktu membentangkan usul Belanjawan 2022 selain menjawab persoalan dibangkit ahli-ahli Parlimen berhubung kedudukan kewangan semasa negara.

Paling menarik, Tengku Zafrul yang didakwa kurang cakna dengan kualiti kehidupan golongan berpendapatan rendah (B40) selain dianggap sering menyebelahi institusi perbankan, berjaya mengetepikan persepsi negatif berkenaan.Hal ini dapat dilihat meneruskan kesediaan beliau mengadakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh yang penting sebelum penyediaan inti pati Belanjawan 2022 dilaksanakan.

Pada masa sama, Tengku Zafrul turut memenuhi tuntutan rakyat yang mengharapkan agar kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar, i-Citra dan terbaharu, i-Sayang diluluskan kerajaan pada saat mereka terkesan teruk akibat krisis pandemik.

Meskipun Tengku Zafrul dilantik sewaktu penubuhan kerajaan PN, keputusan Ismail Sabri mengekalkannya dalam pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia dianggap strategi bijak kerana imej beliau dilihat bersih, berpengalaman dalam hal kewangan selain bijak dalam menepis soalan kontroversi terkait isu kewangan negara.

Sebagai contoh, beliau memberikan penjelasan yang tuntas dan penuh berhemah apabila diasak ahli-ahli Parlimen blok pembangkang berkaitan isu pembelian kenderaan Toyota Vellfire kepada jemaah menteri selain isu paling kontroversi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pemberian ‘hadiah’ hartanah bernilai RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

RATING: 7/10

O2 RESEARCH: Kementerian Kewangan kami letakkan kepada prestasi tinggi kerana dalam masa 100 hari pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, Tengku Zafrul banyak memperkenalkan perkara baharu dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Sebelum ini, tidak pernah dalam sejarah negara apabila Kementerian Kewangan mengeluarkan satu dokumen kaji selidik bagi mendapatkan pandangan umum sebelum pelaksanaan Belanjawan 2022 dilaksanakan.

Namun pengalaman sebagai seorang ahli korporat dan nakhoda kepada salah sebuah syarikat bank terbesar di Malaysia memastikan Tengku Zafrul berusaha mendapatkan sebanyak mungkin pandangan dan suara rakyat di peringkat akar umbi bagi memastikan peruntukan Belanjawan 2022 tidak tersasar.

Pada masa sama, kepercayaan rakyat kepada Tengku Zafrul secara umum masih lagi kuat dan perkara itu dibantu menerusi pengalaman beliau sebagai seorang ahli perbankan dan tokoh korporat yang berjaya.

Beliau juga sanggup turun padang mendengar suara dan rintihan banyak pihak terutama dalam menangani tuntutan pengeluaran akaun satu dan dua KWSP bagi meredakan kesulitan rakyat.

Secara keseluruhannya, Tengku Zafrul berjaya memainkan peranannya dengan baik dan mengekalkan stabiliti kewangan negara dalam memastikan bahtera diterajui Ismail Sabri berada pada landasan yang betul.

RATING: 9/10

KEMENTERIAN DI JABATAN PERDANA MENTERI (PARLIMEN DAN UNDANG-UNDANG)

Undi 18 berjaya dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Undi 18 berjaya dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

 

Menteri: Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB-GPS)

Timbalan Menteri: Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Bersatu-PN)

ILHAM CENTRE: Berbeza sewaktu kerajaan PN apabila portfolio kementerian yang dipegang Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat amat panas dan sering terpalit dengan kontroversi, Wan Junaidi dilihat berjaya mengendalikan kementerian dengan tenang dan berhemah.

Selain itu, pengalaman luas beliau dalam sistem demokrasi berparlimen juga terbukti apabila kementerian memberikan respons pantas dan berinformasi dalam isu berkaitan pelaksanaan PRN Melaka dan Sarawak selain memberi ruang KKM mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka yang lebih ketat.

Pada masa sama, Wan Junaidi juga sentiasa memberi maklum balas mengenai status inti pati perjanjian memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Kerajaan yang ditandatangani oleh kerajaan Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam persidangan Parlimen.

Sebagai contoh, Wan Junaidi dan Mas Ermieyati sendiri sudah mengumumkan pelaksanaan kaji selidik pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti bagi mendapatkan pandangan rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus menunjukkan keseriusan kementerian dalam memenuhi agenda transformasi politik yang dipersetujui melalui MoU berkenaan.

Bahkan, Wan Junaidi juga berjaya memberi respons baik kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak berhubung status pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menitikberatkan kepentingan rakyat dua negeri Borneo berkenaan.

RATING: 9/10

O2 RESEARCH: Ada beberapa isu digunakan sebagai KPI kementerian ini iaitu keupayaannya melaksanakan segala inti pati terkandung dalam perjanjian MoU antara kerajaan dan pembangkang.

Dalam mewujudkan transformasi politik dan Parlimen, Ismail Sabri dan PH bersetuju untuk melaksanakan Akta Anti Lompat Parti, mempercepatkan pelaksanaan Undi18, memperkenalkan akta mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri selama dua penggal serta menyelesaikan perjanjian MA63.

Berdasarkan tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, Wan Junaidi bukan sahaja telah menyelesaikan pelaksanaan Undi18 yang diperkenalkan seawal 1 Januari 2022.

Bahkan beliau dilihat memahami kepentingan perjanjian MA63 untuk diselesaikan segera dan komitmen itu ditunjukkan melalui usaha Wan Junaidi yang meminta kebenaran Dewan Rakyat bagi melanjutkan sesi perbahasan sidang Parlimen selama tambahan dua hari.

Bagi pelaksanaan akta mengehadkan tempoh Perdana Menteri, Wan Junaidi juga sudah memberi komitmen akan mengkaji pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) itu dengan segera.

Cuma ada satu lagi janji kerajaan melalui inti pati MoU Ismail Sabri-PH yang belum diselesaikan iaitu Akta Anti Lompat Parti 2021 dengan beberapa ahli Parlimen blok kerajaan seperti Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meminta supaya ia segera dilaksanakan.

Namun, kementerian itu dilihat sudah memulakan inisiatif melaksanakan kaji selidik pelaksanaan akta itu bagi mendapatkan pandangan umum dan saya yakin perkara itu mampu diselesaikan Wan Junaidi dan Mas Ermieyati mengikut garis masa ditetapkan.

RATING: 7.5/10

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

Menteri: Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (MCA-BN)

Timbalan Menteri: Datuk Henry Sum Agong (PBB-GPS)

Ka Siong (kanan) melawat mangsa yang terlibat dalam kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung berhampiran stesen KLCC di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.
Ka Siong (kanan) melawat mangsa yang terlibat dalam kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang bertembung berhampiran stesen KLCC di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.

 

ILHAM CENTRE: Sebenarnya tidak banyak perkara yang boleh diulas terhadap kementerian ini dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Ismail Sabri.

Namun, apabila isu Dasar Kabotaj Negara menjadi kontroversi sehingga mewujudkan inisiatif debat di antara Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, perdebatan itu sudah menjadi persaingan politik antara Presiden MCA dan tokoh DAP berkenaan.

Seolah-olah isu Dasar Kabotaj Negara dijadikan medan kedua-dua pemimpin berkenaan untuk merebut sokongan pengundi Cina, lebih-lebih lagi debat antara Ka Siong dan Guan Eng diadakan begitu hampir dengan tarikh pelaksanaan PRN Melaka.

Cuma apabila PRN Sarawak bakal diadakan pada 18 Disember hadapan, terdapat kebimbangan dalam kalangan pengundi negeri itu yang bekerja di Semenanjung untuk pulang mengundi.

Berikutan itu, Ka Siong perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan isu ini menjadi liabiliti kepada kemampuan beliau pada kemudian hari.

RATING: 6/10

O2 RESEARCH: Sekiranya penilaian dibuat berdasarkan aspek keberkesanan sesuatu keputusan dibuat, kami boleh mengandaikan Ka Siong sebagai seorang yang tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan tidak mudah dipengaruhi sesiapa.

Sama ada persaingan beliau dengan Guan Eng dalam isu perdebatan Dasar Kabotaj Negara memberi kelebihan kepada kementerian, kami berpandangan masih terdapat perkara kontra dalam soal itu.

Hal ini kerana Dasar Kabotaj Negara masih terlalu awal untuk dinilai sama ada pelaksanaannya merupakan satu kejayaan dan kesilapan dalam industri perkapalan.

Namun, Ka Siong sentiasa dianggap seorang yang tegas dalam setiap keputusan dibuat selain mempunyai keperibadian utuh dalam mendepani sesuatu isu.

Sebagai contoh sebelum ini, dalam isu pemandu mabuk, beliau secara proaktif mengambil inisiatif segera untuk memperkenalkan dasar yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pelaku kesalahan berkenaan.

Berdasarkan faktor itu, Ka Siong menunjukkan prestasi baik kerana beliau dilihat sebagai pemimpin berkeupayaan dan boleh diharap.

RATING: 7.5/10

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Menteri: Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu-PN)

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (UMNO-BN)

Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin (Bersatu-PN)

Biarpun sebelum ini terpalit dengan kontroversi berhubung kartel polis, Hamzah (dua dari kiri) bagaimanapun berjaya memastikan KDN melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, terutama melibatkan penguatkuasaan SOP Covid-19 sewaktu tempoh PKP.
Biarpun sebelum ini terpalit dengan kontroversi berhubung kartel polis, Hamzah (dua dari kiri) bagaimanapun berjaya memastikan KDN melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, terutama melibatkan penguatkuasaan SOP Covid-19 sewaktu tempoh PKP.

 

ILHAM CENTRE: Bila menyentuh berkenaan KDN, tidak dinafikan isu pendedahan kartel polis yang menawarkan kenaikan pangkat sebagai ganjaran pemberian rasuah merupakan antara perkara kontroversi menjadi perhatian umum terhadap kementerian itu.

Ditambah dengan hubungan Hamzah dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dikatakan agak tegang susulan dakwaan campur tangan pihak tertentu dalam pentadbiran polis, imej kementerian sedikit sebanyak agak terpalit dengan kontroversi demi kontroversi yang timbul.

Bagaimanapun, dari aspek pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan undang-undang, Hamzah dilihat berjaya memastikan KDN melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, terutama pada saat polis diberi peranan untuk menguatkuasakan undang-undang yang melanggar SOP Covid-19 sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Fasa Pemulihan Negara.

Selain itu, Hamzah juga tegas dalam memastikan aspek kawalan sempadan tanah air diberi penekanan utama selain memastikan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) diambil tindakan segera bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19.

RATING: 6/10

O2 RESEARCH: Kami melihat Hamzah benar-benar memastikan sistem penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan sebaiknya dan mengikut SOP ditetapkan, terutama pada saat krisis Covid-19 sedang memuncak.

Selain itu, kami menghormati beliau yang sentiasa cakna dalam menjaga kebajikan anggota polis dan bekas polis yang telah bersara.

Sebagai bukti, kementerian berjaya mewujudkan pelbagai bentuk bantuan kepada anggota polis yang dikerahkan bertugas membantu petugas barisan hadapan yang lain di sepanjang pandemik.

Namun pelbagai persoalan dibangkitkan oleh pihak tertentu iaitu bagaimana polis digunakan oleh kerajaan untuk tujuan tertentu.

Kami melihat perkara itu bukan isu besar, sebaliknya kejayaan kementerian membendung kehadiran PATI selain mematahkan pelbagai aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan sebagai sesuatu yang harus diraikan.

RATING: 8/10

Selepas 100 hari, ini lima kementerian paling cemerlang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib Razak bukan banduan, masih boleh bertanding PRU-15



Leave a Reply

Your email address will not be published.