‘Dari barat ke timur’ yang akan bebaskan Palestin

‘Dari barat ke timur’ yang akan bebaskan Palestin

oleh Zin Mahmud

Semasa demonstrasi pro-Palestin di seluruh dunia, antara ungkapan popular yang dilaungkan ialah “from the river to the sea” yang bererti “dari sungai ke laut” atau “dari segara ke laut”.



Apa yang dimaksudkan ialah tanah yang berada di tebing Sungai Jordan hingga ke Laut Mediterranean. Gaza adalah kawasan di pantai Laut Mediterranean dan Tebing Barat atau West Bank berada di tebing Sungai Jordan.

Gaza dan Tebing Barat ialah wilayah yang hendak dijadikan negara Palestin. Maka ungkapan itu bermaksud pembebasan wilayah-wilayah itu daripada pendudukan Israel dan diwujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dalam gagasan penyelesaian dua negara (two state solution), Israel dan Palestin.

Oleh kerana Gaza dan Tebing Barat itu terpisah dan di antara mereka ialah wilayah Israel, maka ungkapan itu juga boleh bermakna penyelesaian satu negara (one state solution) iaitu Palestin dan Israel menjadi satu negara yang demokratik, sekular dan bukan apartheid.

Palestin-Israel dijadikan negara pelbagai kaum dan agama, Yahudi dan Arab serta beragama Yahudi, Islam dan Kristian. Semua warga negara setaraf dan dilayan saksama.



Pada tahun 1970-an bagaimanapun pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam ucapannya di suatu sidang Liga Arab menyatakan ungkapan “dari lautan ke teluk”. Ucapan beliau itu kini beredar dalam media sosial. Apa yang dimaksudkan ialah tanah yang berada di pantai Lautan Atlantik hingga ke negara-negara di Teluk Parsi.

Negara yang berada di pesisiran Lautan Atlantik ialah Maghribi dan negara-negara Teluk ialah Kuwait, Bahrain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Negara besar yang berada di sekitar Teluk Parsi ialah Arab Saudi, Iraq dan Iran. Namun, apa yang dimaksudkan dengan “dari lautan ke teluk” oleh Gaddafi ialah dunia Arab. Dari Maghribi di barat hinggalah Oman di timur iaitu melalui negara-negara Algeria, Tunisia, Libya, Mesir, Sudan, Jordan, Syria, Arab Saudi, Yaman, Oman, UAE, Iraq, Kuwait, Bahrain dan Qatar.

Walaupun Teluk Parsi atau adalah nama rasmi antarabangsa, iaitu nama yang diberikan oleh British pada zaman imperialis, tetapi negara-negara Arab tidak mengiktirafnya. Ini kerana Parsi itu bermaksud bangsa Iran. Mereka memanggilnya Teluk Arab.

Maka dunia Arab ini tidak termasuk Iran. Takrif negara Arab adalah bahasa kebangdaannya adalah Arab.



Oman tidak termasuk dalam negara-negara Teluk Parsi/Arab itu kerana ia tidak berada di di situ. Oman mempunyai teluk sendiri iaitu Teluk Oman yang turut mempunyai pesisiran dengan Iran.

Impian yang belum menjadi realiti

Maka Palestin adalah sebahagian daripada dunia Arab ini walaupun ia sedang diduduki oleh Israel. Gaddafi kata selagi dunia Arab tidak bersatu, mereka tidak akan dapat bebaskan Palestin. Maksud beliau, dunia Arab kena bersatu dengan penegasan bahawa segala harta Arab iaitu minyak adalah milik semua orang Arab dan jika dibahagikan dengan baik, tidak ada negara Arab yang ketinggalan, malah akan maju dan mampu mengalahkan Israel dan mampu membebaskan Palestin.

Itulah yang dimaksudkan dengan “dari lautan ke teluk” yang dapat bebaskan Palestin. Maknanya apabila dapat memajukan bangsa Arab dengan keadilan sosial merentas negara, maka satu angkatan tentera yang bersatu baru dapat mengalahkan Israel walaupun negara Zionis disokong oleh Amerika dan Eropah Barat.



Apa yang diserukan oleh Gaddafi itu hanyalah impian yang tidak dicapai pada realiti. Negara-negara Arab berbalah sesama sendiri kerana bimbang mereka kehilangan kuasa dan kekayaan. Kepentingan negara disamakan dengan kepentingan elit berkuasa. Demokrasi tidak dapat dilaksanakan, jauh sekali untuk menyatukan seluruh dunia Arab.

Tidak semua negara Arab yang ada kekayaan minyak. Kesemua negara-negara Arab teluk, termasuk yang mempunyai penduduk sedikit, kaya raya. Libya, Iraq dan Sudan juga mempunyai kekayaan minyak. Di kalangan negara Arab, Mesir mempunyai penduduk paling banyak tetapi minyaknya sedikit. Kemiskinan ketara di Mesir, Sudan, Yaman, Tunisia, Algeria dan Maghribi. Ketidakstabilan politik mendatangkan parah yang lebih berat. Negara-negara Arab tidak mampu bersatu untuk bebaskan Palestin.

Fahaman penyatuan dunia Arab atau nasionalisme pan-Arab popular pada tahun 1950-an hingga 1970-an. Ia merupakan gagasan dari pemikiran kiri, sebab itu turut ia disebut sebagai nasionalisme kiri, maknanya ia turut dipengaruhi idea-idea sosialisme.

Aliran nasionalisme ini ditampilkan oleh Presiden Mesir, Gamal Nasser. Gaddafi adalah pendokong kuat gagasan ini. Selain itu ia turut didukung pemimpin-pemimpin Syria dan Iraq. Cumanya, Syria dan Iraq turut memegang fahaman Baathisme, suatu pemikiran nasionalisme yang diasaskan oleh pemikir politik, Michel Aflaq. Sementara Gaddafi pula mempunyai ideologi tersendiri yang diungkapkan melalui Buku Hijau.



Untuk langkah pertama penyatuan Arab, Mesir dan Syria menubuhkan Republik Arab Bersatu (UAR) pada tahun 1958. Bagaimabapun usaha ini gagal apabila Syria keluar UAR pada tahun 1961. Mesir mengekalkan nama UAR untuk dirimya hingga tahun 1971. Syria pula mengambil nama Republik Arab Syria.

Pada tahun 1959, ketika UAR masih menguasai Gaza, tokoh komunis Cuba asal Argentina yang terkenal di peringkat antarabangsa, Che Guevara telah melawat Gaza. Beliau datang melalui jalan darat dari Kaherah dan disambut besar-besaran oleh penduduk Gaza.

Kunjungan beliau telah menaikkan semangat dunia Arab dan ia dianggap sebagai meluaskan perjuangan Palestin daripada isu serantau kepada dunia. Negara-negara komunis iaitu Soviet Union, Eropah Timur, Yugoslabia, Albania, China, Cuba, Korea Utara dan Vietnam turut memihak pada Palestin.

Perpaduan dunia



Ibu kota Gaza ialah Kota Gaza atau Gaza City. Wilayah Gaza pula itu secara rasmi bernama Gaza Strip. Dalam bahasa Arab ia dipanggil Qatie Ghazah. Dalam bahasa Melayu dahulu pernah dipanggil sebagai Semenanjung Gaza dan Genting Gaza. Kini ia hanya dipanggil sebagai Gaza. Dalam Bahasa Indonesia ia dipanggil sebagai Jalur Gaza.

Ketika Israel ditubuhkan di atas bumi Palestin pada tahun 1948, ia tidak meliputi Tebing Barat dan Gaza. Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis berada di bawah pentadbiran Jordan dan Gaza diletakkan di bawah pentadbiran Mesir. Pada tahun 1949, ekoran kegagalan negara-negara Arab membebaskan Palestin, Israel menakluk Baitulmaqdis. Dalam perang tahun 1967 (yang digelar Perang Enam Hari), Israel menawan Tebing Barat dan Gaza.

Pada tahun 1995, Mesir melepaskan Gaza dan Jordan melepaskan Tebing Barat untuk dijadikan negara Palestin yang merdeka. Tetapi sehingga kini Israel tidak juga undur.

Apabila pentadbiran Pihak Berkuasa Nasional Palestin (PNA) ditubuhkan pada tahun 1993 ekoran Perjanjian Oslo (Oslo Accord), pengasas perjuangan Palestin, Yasser Arafat memilih Kota Gaza sebagai pusat pentadbirannya. Kini pusat pentadbiran PNA ialah di Ramallah, Tebing Barat. Tetapi dalam perjuangan Palestin, mereka tetap mahukan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin merdeka.

Tetapi Israel telah lama memindahkan ibu kotanya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada tahun 1949, iaitu ketika ia menawan bandar itu, setahun selepas Israel ditubuhkan. Israel mengisytiharkan keseluruhan Baitulmaqdis, iaitu Baitulmaqdis Timur dan Barat adalah ibu negara Israel. Baitulmaqdis Barat adalah asalnya sektor orang Yahudi sementara Baitulmaqdis Timur adalah sektor Arab, iaitu orang Palestin, Islam dan Kristian. Di situlah terdapatnya Masjid Al-Aqsa.

Tebing Barat bermaksud kawasan yang terletak di sebelah barat kepada Sungai Jordan. Ada Tebing Barat, mestilah ada Tebing Timur. Kini Tebing Timur menjadi negara Jordan. Pada zaman British, selepas Perang Dunia Pertama, ia bernama Transjordan yang bermaksud wilayah merentas Sungai Jordan. Transjordan ini merupakan sebahagian daripada wilayah Mandat Palestin atau Palestine Mandate. Ia merupakan wilayah yang diserahkan oleh Liga Bangsa-bangsa atau League of Nations kepada Britain.

Oleh kerana Empayar Uthmaniah atau Ottoman menjadi sekutu Jerman dan Austria-Hungary yang kalah Perang Dunia Pertama, maka wilayah-wilayah mereka dirobek-robek untuk diserahkan kepada negara-negara pemenang iaitu Britain, Perancis, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Walaupun selepas Perang Dunia Kedua, Amerika, Britain dan Perancis mahu menentukan arah tuju negara-negara Arab itu. Mereka mendukung Raja Fuad di Mesir, Raja Faisal I di Syria, Raja Faisal II di Iraq dan Raja Idris di Libya. Barat sememangnya hendak nenguasai “dari lautan ke teluk” dan membolehkan Israel menguasai bumi Palestin “dari sungai ke laut.”

Tetapi satu persatu, Mesir, Syria, Iraq dan Libya jadi republik apabila tenteranya merampas kuasa. Namun republik-republik ini gagal menyatukan dunia Arab. Mesir adakan perjanjian damai dengan Israel. Syria amat lemah kerana perang saudara. Iraq ditakluk oleh Ametika. Libya terbahagi dua. Maka “dari lautan ke teluk” hanya menjadi impian dalam lipatan sejarah.

Tetapi kali ini “dari sungai ke laut” tidak bergantung pada “dari lautan ke teluk”. Pembebasan Palestin tidak bergantung pada penyatuan dunia Arab kerana ia tidak akan berlaku. Perpaduan dunia, dari barat ke timur yang akan membebaskan Palestin. Mk

ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

‘Dari barat ke timur’ yang akan bebaskan Palestin

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Achey guna populariti anak demi lariskan bisnes?

Penyertaan dalam FD3 macam sampah, ini kata Ryan Bakery

Nabil gurau ‘face shaming’ pulak kali ini

Leona dikecam nampak lurah, Azhar Sulaiman ‘back up’

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker