Dakwa DNAA tiada dalam Islam boleh dipertikai

Dakwa DNAA tiada dalam Islam boleh dipertikai

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merujuk kepada isu discharge not amounting to acquittal (DNAA) yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan ia tiada dalam Islam.

Kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah tidak tepat serta boleh dipertikaikan.



Undang-undang berkaitan hukum jenayah Islam dilaksanakan di mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia setakat bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis yang lain.

Undang-undang ini terdiri daripada undang-undang substantif (berkaitan kesalahan-kesalahan) dan juga undang-undang prosedural (berkaitan tatacara).

Badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ini dan ia berkuat kuasa hanya ke atas orang Islam yang melakukan kesalahan di negeri berkenaan.

DNAA atau dilepaskan tanpa dibebaskan merupakan konsep yang diamalkan dalam undang-undang prosedur jenayah. Konsep ini menetapkan bahawa orang kena tuduh (OKT) dilepaskan buat sementara waktu atas permohonan pihak pendakwaan.



OKT terbabit boleh didakwa semula atas pertuduhan berkenaan pada masa hadapan.

Dalam konteks mahkamah syariah, DNAA ini diperuntukkan secara nyata dalam Seksyen 103 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] yang memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 103. Pendakwa bolehlah berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat.

(1) Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu; dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.



(2) Pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika mahkamah mengarahkan sedemikian.

Peruntukan seperti Seksyen 103 Akta 560 ini terdapat dalam semua enakmen/ordinan prosedur/tatacara jenayah syariah negeri-negeri (kecuali di Kedah, ia diperuntukkan dalam seksyen 104).

Peruntukan ini juga adalah sama dengan peruntukan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah [Akta 593] yang digunapakai di mahkamah sivil.

Berkait rapat dengan prinsip maslahah



Akta 560 merupakan undang-undang yang diluluskan parlimen pada 27 Mac 1997 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 1997. Akta ini merupakan satu undang-undang model yang diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, iaitu sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk menggubal model undang-undang Islam sebagai usaha penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara.

Penggubalan Akta 560 telah dibuat dengan teliti bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa pelaksanaan undang-undang Islam dan yang paling penting, tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpendapat pandangan yang mengatakan bahawa konsep DNAA yang diperuntukkan dalam undang-undang prosedur/tatacara jenayah syariah di Malaysia tidak selaras dengan hukum jenayah Islam adalah tidak tepat.

Undang-undang prosedur/tatacara adalah berhubung rapat dengan prinsip maslahah yang perlu mengambil kira keadaan dan pendekatan semasa pelaksanaan sesuatu undang-undang agar ia menepati objektif syarak dalam pentadbiran keadilan.



Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Nizaam al-Qadha’ fi al-Syari’aat al-Islamiyyah ada menyatakan bahawa hakim boleh menggugurkan sementara dakwaan bagi membolehkan pendakwa mengemukakan semula saksi-saksi atau keterangan.

Jika keputusan pengguguran kes oleh hakim bukan atas sebab kegagalan pihak pendakwa mengemukakan keterangan, maka pihak pendakwaan masih lagi boleh meneruskan pertuduhan berkenaan dengan mengemukakan saksi-saksi dan keterangan baru.

Prinsip ini adalah menetapi konsep DNAA, iaitu tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan dan pertuduhan berkenaan boleh diteruskan semula di hadapan mahkamah di masa hadapan.

Dr Abdul Kadir Audah di dalam kitab al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islamiyy menyatakan prinsip umum bahawa pemerintah diberi kuasa yang agak terbuka dalam mana-mana kesalahan takzir untuk memaafkan tertuduh pada semua peringkat prosiding mahkamah.



Prinsip inilah yang terkandung dalam peruntukan berkaitan DNAA di mahkamah sebagaimana Seksyen 130 Akta 560 dan Seksyen 254 Akta 593.

Rujukan kepada Kanun Prosedur Jenayah Qatar (No 3, Tahun 2004), terdapat juga peruntukan yang serupa di bawah seksyen 13 berkenaan kuasa mahkamah memberhentikan prosiding atas apa-apa sebab yang dibenarkan oleh undang-undang pada mana-mana peringkat.

Justeru, DNAA merupakan konsep yang telah diterima pakai dalam sistem perundangan semasa di Malaysia dan negara-negara luar, di mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah.

Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.

MOHD NA’IM MOKHTAR ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dakwa DNAA tiada dalam Islam boleh dipertikai

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kak KM maki suami langgar kereta kesayangan? (Video)

Abah pilih dia ceraikan mak dan anak-anak sekali

Azhar Ali kembali ‘Scam’ jadi Perdana Fellow Di MITI?

Aisar Khaled payung ‘rider makanan’ motosikal baharu selepas motorsikal lama disita JPJ [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker