Man Kidal diisytihar muflis

Man Kidal diisytihar muflis

Ibarat jatuh ditimpa tangga, satu persatu dugaan mendatangi hidup gitaris tersohor, Man Kidal, 58, sejak beberapa tahun lalu.

Pernah didaftarkan sebagai asnaf sementara oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas hilang mata pencarian akibat pandemik COVID-19, Man Kidal diuji lagi apabila diisytiharkan muflis oleh mahkamah, minggu lalu.



Sebelum ini, Man Kidal dilapor menanggung kerugian RM400,000 berikutan penangguhan penganjuran konsert mega, Ultimate Experience Projek Gerakkan Ilmu Laksana Agendamu (G.I.L.A).

Berkongsi kepayahan hidupnya sekarang, Man Kidal atau nama sebenar, Abdul Rahman Mahmood berkata, beliau diisytiharkan muflis gara-gara kegagalan melunaskan pembiayaan sebuah kereta jenama mewah, kira-kira enam tahun lalu.

Bagaimanapun, Man Kidal enggan memperincikan isu pinjaman kenderaan mewah itu bagi mengelak masalah tidak diingini pada kemudian hari.

“Saya tidak mahu perkara ini jadi isu pada kemudian hari, tak seronok pula. Saya ibaratkan perkara ini bukan rezeki saya.



“Saya diumumkan bankrap, minggu lalu dan hutang atas kereta terbabit adalah kira-kira RM340,000.

“Saya sudah bincang mengenai bayaran. Setiap bulan ada jumlah yang perlu saya bayar. Paling tidak pun, saya perlu bayar 50 peratus untuk membersihkan nama saya.

“Jika saya mahu ke luar negara, saya kena selesaikan deposit dahulu.

“Itu syarat kerajaan, apa boleh saya buat? Saya kena akur, saya cakap kepada peguam pun tak guna.



“Saya yang salah, kalau pergi ke mahkamah pun, mahkamah tak ‘beli’ (penjelasan),” katanya pada sidang media Konsert Kolaboraci Three To Rock yang menyaksikan dirinya berganding dengan pemuzik dan penyanyi rock hebat dari Indonesia, Malaysia dan Singapura di sini, semalam.

Konsert Kolaboraci – Three To Rock akan berlangsung di SMESCO Convention Hall, Jakarta, Indonesia pada 25 November depan.

Biarpun berdepan satu persatu ujian, Man Kidal bersyukur rezekinya murah selepas fasa peralihan endemik dan pembukaan semula industri kreatif.

“Memang satu demi satu ujian dihadapi. Tahun lalu, saya dijangkiti COVID-19 dan kemudian, isteri kena jalani pembedahan.



“Apa-apa pun, saya bersyukur Allah bagi saya ‘show’. Rakan seperti anggota Search membantu saya dengan bagi saya ‘show’.

“Dapatlah saya tampung perbelanjaan dan ‘cover’ balik (komitmen kewangan) sedikit demi sedikit,” katanya.

Ditanya apakah beliau masih menerima bantuan LZS, Man Kidal merancang melepaskan status sebagai asnaf sementara.

“Disebabkan kerugian hampir setengah juta (isu Konsert G.I.L.A) itulah LZS terpaksa bantu saya.



“Tetapi saya fikir, sampai tahun ini sahaja (pengisytiharan asnaf sementara), tahun depan, tidak lagi.

“Malulah hendak ambil. Iyalah, saya sudah boleh bekerja sekarang dan tidak sepatutnya saya ambil (bantuan LZS),” katanya.

Man Kidal berkata, selagi diberi kudrat untuk bekerja dan muzik dianggap dunianya, beliau mahu terus bekerja dan mencari rezeki.

“Ini kerja saya sampai bila-bila. Saya buat semua ini kerana minat. Tetapi, saya tetapkan rezeki di tangan Allah.



“Alhamdulillah, Allah masih beri saya rezeki untuk bernafas,” katanya.

Bagaimanapun, Man Kidal mengakui keupayaan diri mula terbatas dengan peningkatan usia.

“Saya tidak nafikan disebabkan faktor usia, saya bukannya kuat lagi. Apatah lagi selepas dijangkiti COVID-19, saya cepat letih.

“Dahulu, saya boleh tak tidur selama tiga hari atau seminggu, tapi sekarang kalau tak tidur satu hari, saya sudah pening.

“Jadi, sekarang saya makan vitamin untuk tambah tenaga,” katanya. BH

Man Kidal diisytihar muflis


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nelayan dakwa dihina dengan perkataan ‘Melayu bodoh, otak udang’

Kembar Najib dan Mahathir

Tayang gambar penyanyi K-Pop depan Kaabah (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker