Mansuh pencen ahli politik: Ada MP anggap pakar ekonomi hipokrit

Mansuh pencen ahli politik: Ada MP anggap pakar ekonomi hipokrit

Cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan ahli parlimen tidak disambut baik oleh sesetengah ahli parlimen dengan menganggap langkah tersebut tidak adil.

Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balas dari 26 daripada 222 ahli parlimen dari blok pembangkang dan kerajaan, namun hanya dua daripada mereka – Teresa Kok (Seputeh) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) rela untuk mendedahkan identiti masing-masing.



Kok yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berpendapat ahli parlimen juga berkhidmat sama seperti penjawat awam yang lain dan wajar mendapat pencen seperti mereka.

Dia memberi contoh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen sejak 1969 – sebelum bersara pada 2022 – walaupun bukan secara berterusan.

Selain Lim, satu lagi contoh diberikan Kok ialah veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang memulakan khidmatnya sebagai wakil rakyat di Kelantan pada 1969.

“Kami (ahli parlimen) juga penjawat awam. Saya telah berkhidmat sebagai MP selama 23 tahun, sepenuh masa.



“Jika dibandingkan dengan kebanyakan penjawat awam, kami juga bekerja keras seperti mereka dan kebanyakan MP berkhidmat siang dan malam – termasuk pada hujung minggu.

“Ini semua adalah satu khidmat awam.
“Lainlah kalau kamu nak cadangkan supaya hapuskan skim pencen kepada semua (termasuk penjawat awam). Kalau tak kenapa nak sasarkan kepada ahli politik sahaja?” soalnya.

Bagaimanapun, bekas menteri itu memberi pengecualian buat ahli parlimen yang mempunyai lebih daripada satu skim pencen selepas menyandang beberapa jawatan.

“Saya tak setuju bagi mereka yang dapat banyak sangat pencen,” katanya.



Pada 20 Sept, bekas penasihat ekonomi perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid menyarankan agar semua menteri dan ahli parlimen ‘diajar’ untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.

Selepas pencen dimansuhkan, Muhammed berpendapat mereka wajar dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain.

Dia menjadikan langkah kerajaan sebelum ini membenarkan pencarum mengeluarkan wang masing-masing dari KWSP sebagai kesilapan terbesar dalam sejarah negara kerana menjerumuskan ramai orang ke kancah kemiskinan.

Anggap Muhammed tak adil



Pakar ekonomi itu berkata, walaupun begitu kesempitan hidup dihadapi rakyat tidak dirasai oleh menteri dan ahli parlimen kerana mereka mendapat banyak kelebihan.

Bahkan Muhammed menyarankan agar menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dihukum kerana membenarkan pengeluaran tersebut.

Sementara itu seorang ahli parlimen yang enggan didedahkan identitinya berkata dia tidak menyokong idea Muhammed memandangkan jawatan ahli parlimen bukanlah pekerjaan tetap dan berterusan.

“Jawatan MP bukan kerja tetap, tanpa jaminan pekerjaan (akan berterusan). Dan pencen bukannya akan dapat selepas seseorang itu tidak lagi menjadi MP, tetapi dia perlu menunggu sehingga berusia 55 tahun.



“Saya rasa dia (Muhammed) seorang yang hipokrit apabila mencadangkan idea sebegitu.

“Tanya dia berapa banyak yang negara dapat jimat dengan menggantikan KWSP dengan skim pencen?” soal ahli parlimen yang kini berkhidmat untuk penggal kedua itu.

Menurutnya, beban terbesar ditanggung kerajaan adalah pencen untuk penjawat awam tetapi Muhammed enggan menyentuh manfaat yang dinikmati oleh mereka kerana mendakwa ia hanya akan memakan diri sendiri.

“Habis tu kenapa dia (Muhammed) tak berikan nasihat sedemikian kepada perdana menteri terdahulu (Dr Mahathir Mohamad) ketika dia jadi penasihat ekonomi perdana menteri?” katanya.



Seorang lagi ahli parlimen dari blok kerajaan yang meminta untuk tidak dinamakan berkata perkara yang dihadapi ketika ini adalah jauh lebih kompleks berbanding membangkitkan isu pencen ahli politik.

Ahli parlimen penggal pertama itu juga menekankan tentang kepentingan kajian mengenai selok-belok dan kerumitan jawatan awam yang akan dijalankan.

“Ia bukan satu isu yang boleh ditangani dengan penyelesaian yang sama untuk semua,” katanya kepada Malaysiakini.

Pencen bertingkat-tingkat

Wan Ahmad Fayhsal pula secara peribadi bersetuju dengan cadangan Muhammed dan berpendapat ia wajar dibahaskan di parlimen untuk mendapatkan persetujuan semua pihak.

“Sebabnya, saya tak nafikan Dr Muhammed tu bagus tapi bukan semua ahli parlimen kaya.

“Ramai antara mereka datang daripada golongan guru, jadi mereka tinggalkan banyak pekerjaan asal mereka.

“Saya bukan kata tak setuju, saya secara peribadi setuju, tapi saya tak pasti macam mana rakan-rakan yang lain.

“Ia (keputusan ni) perlukan (persetujuan) kolektif – persetujuan daripada ahli parlimen lain. Kalau perlu, bawak untuk dibincang dan dibahaskan,” kata ketua Pemuda Bersatu itu lagi.

Cadangan Muhammed bagaimanapun disambut baik oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberitahu jumlah pencen yang diperolehi ahli politik jauh lebih banyak daripada penjawat awam yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
“Saya setuju 100 peratus dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik… termasuk (ke atas) saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda (lebih besar) daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun. Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup.

“Pencen yang (dapat) bertingkat-tingkat pula. Menteri, MP, Adun… macam-macam jawatan. Wajar cadangan letak (ahli politik) di bawah KWSP sama seperti rakyat biasa,” tulisnya di media sosial. Mk

Mansuh pencen ahli politik: Ada MP anggap pakar ekonomi hipokrit

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dia raba dada saya – Sarimah

Tuduhan PM peliwat, laporan polis di seluruh negara ke atas Radzi

Tudung Nelydia Senrose terbang?

Caprice dakwa Bapa Mondy kena ‘payung’

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker