Dunia ajaib Fairy Meadows

PERJALANAN 4 jam lalu antara jalan berbahaya di dunia nyata berbaloi selepas disajikan kawasan perkampungan indah memukau.

Dunia ajaib Fairy Meadows

Keindahan panorama dan keunikan budaya masyarakat Pakistan tidak dapat dinafikan lagi, selain menjadi antara tarikan utama menggamit kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Keistimewaan itu turut mendorong penulis dan rakan berkelana 10 hari secara kembara beg galas ‘backpacker’ ke bumi Pakistan hujung Mei lalu.



Ada banyak pilihan syarikat penerbangan untuk terbang ke negara itu namun kami memilih Pakistan Airlines.

Penerbangan mengambil masa lima jam 30 minit dari Kuala Lumpur ke Islamabad bagaikan tidak terasa selepas melalui pemeriksaan imigresen yang ‘ramah’ di Lapangan Terbang Islamabad.

Mereka jelas mengalu-alukan kedatangan kami dan pelancong yang lain.

Apa yang menariknya, ketibaan kami disambut jambangan bunga mawar (untuk setiap seorang) daripada pemandu pelancong, Aasif Hussain.



Menurut Aasif, pemberian jambangan bunga antara amalan masyarakat di sana apabila menyambut ahli keluarga mahupun sanak saudara mereka dari perantauan dan ia sememangnya memeriahkan suasana di lapangan terbang.

Selain itu Aasif berkata, untuk faktor keselamatan lebih baik jika pelancong asing ditemani pemandu pelancong tempatan kerana di sesetengah tempat masih terdapat ancaman pengganas, selain pergolakan politik setempat.

Penulis dan rakan dibawa ke hotel sudah sedia ditempah untuk berehat seketika sebelum dibawa menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran terkenal yang terletak di kawasan tanah tinggi.



Istimewanya, selain menyediakan hidangan tempatan enak, restoran itu turut memiliki panorama indah kawasan ibu kota Islamabad.

Seterusnya, usai menjamah sarapan pada hari kedua, kami bertolak ke utara Pakistan, Chilas dan perlu menempuhi perjalanan darat 12 jam melalui Lebuhraya Karakoram.

Perjalanan panjang itu mencabar penulis dan rakan kerana perlu melalui jalan di lereng bukit dan kawasan pergunungan Gilgit-Balistan yang menghubungkan Pakistan dan China.

Kiri dan kanan kami disajikan dengan pemandangan indah gunung-ganang dan perkampungan tradisional di lereng bukit.



Apa yang penulis perasan, kami perlu melalui banyak tempat pemeriksaan tentera ‘check point’ sepanjang perjalanan di lebuh raya itu dan mengikut penjelasan Aasif, ia bagi menjaga keselamatan pengguna Lebuhraya Karakoram dan penduduk setempat.

Kami sempat singgah melepaskan penat seketika di pekan kecil, Bishu yang banyak menjual buah-buahan seperti peach dan aprikot.

Kehadiran kami di pekan kecil itu menarik perhatian ramai kerana kebiasaannya hanya lelaki berurusan di kedai atau pasar sementara golongan wanita di sana tidak mengunjungi kawasan umum.

Kami tiba di Chilas menjelang malam dan berehat sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya.



Tentatif hari ketiga ditunggu-tunggu kerana penulis dan rakan akan melawat Raikot Bridge (Fairy Meadows).

Perjalanan tidak terlalu jauh namun selepas tiba di kaki pergunungan, kami dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda jip ke perkampungan Tattu.

Difahamkan, laluan untuk ke Fairy Meadows antara 10 jalan paling bahaya di dunia dengan lebarnya hanya muat untuk dilalui sebuah jip sahaja.



Ia dibina di altitude tinggi sepanjang 15 kilometer di lereng gunung.

Jalan berbatu kelikir itu membuatkan jip kami bergoncang kuat sepanjang perjalanan, cukup membuat adrenalin penulis dan rakan lain turun naik.

Perasaan cemas, seram, takut dan risau kami diselang seli dengan zikir, masing-masing memegang setiap besi serta tali yang ada untuk kedudukan lebih stabil.

Apa tidaknya, setiap kali berselisih jip lain, pemandu kelihatan tenang untuk bertolak ansur, kerana sebuah kenderaan perlu berada di atas tebing dan sebuah lagi memanjat ke dinding gunung untuk melepasi jalan berkenaan.

Penulis berasa seperti hendak turun daripada jip kerana terlalu gementar namun ditenteramkan rakan yang lain.

Apapun, perjalanan mencabar selama lebih kurang empat jam itu termasuk menunggang kuda berbaloi kerana Fairy Meadows menyambut kehadiran kami seperti memasuki dunia khayalan.

Bagaikan berada di alam fantasi umpama filem Lord of the Ring, kawasan perkampungan itu dikelilingi gunung ganang masih diliputi salji, padang rumput hijau memukau, hutan pine dan seni bina perumahan yang menarik.

Bukan sahaja indah, malah kawasan perkampungan itu begitu mendamaikan hanya sesekali ditemani deruan angin, unggas, hentakan kaki kuda dan teriakan keldai.

Penulis dan rakan bermalam di Chalet Raikot Sarai selama dua malam yang terletak betul-betul menghadap Glacier Raikot dan gunung tertinggi Pakistan, Nanga Parbat.

Antara aktiviti menarik yang pelancong perlu cuba di sini ialah menunggang kuda, trekking di hutan berhampiran dan treking ke base camp Nanga Parbat iaitu kem Beyal.

Namun, pastikan anda ditemani renjer atau pekerja chalet untuk mengelak dari sesat atau terdedah kepada bahaya binatang buas.

Trekking ke kem Beyal contohnya akan mengambil masa lebih kurang dua jam namun tidak terasa kerana di kiri dan kanan menyajikan panorama yang cukup indah.

Kami mengisi sebelah petang dengan berjalan menikmati pemandangan di sekitar kawasan padang rumput, melihat aktiviti penduduk kampung beristirehat dan kanak-kanak yang lincah berkuda.

Kehidupan yang perlahan, sederhana dan tenang masing-masing menikmati musim panas ini sebaiknya.

Suhu sebelah siang di kawasan itu sekitar 15 darjah Celcius manakala suhu di waktu malam ada ketikanya boleh jatuh ke paras negatif walaupun sebelah musim panas.

Apapun, pastikan anda membawa baju sejuk yang sesuai jika bercadang berkunjung ke sini.

Kunjungan ke Pakistan tidak lengkap jika tidak mengunjungi Fairy Meadows, ia dibuka kepada pengunjung bermula April hingga September setiap tahun.

Tidak puas rasanya berada selama tiga hari dua malam di kawasan itu namun kami perlu turun untuk meneruskan perjalanan ke Minnapin pula.

Bagi pembaca yang tertanya-tanya apa istimewanya Minniapin, nantikan perkongsian selanjutnya untuk siaran akan datang! HM

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Enot dedah dakwaan berkahwin dengan pengkid

Rakan pelawak ‘kahwin’ pengkid, Didie Alias sebak

Bukan saya nak buka aib Enot – Didie luah perasaan

Kenapa saya diceraikan – Adibah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker