‘Fahaman saya benar, yang lain sesat’

‘Fahaman saya benar, yang lain sesat’

“Tindakan dia (Suhaini) memberi perumpamaan Allah itu sebagai satu jawatan adalah qiyas yang batil.

“Dzat, sifat dan perbuatan Allah tidak boleh dibandingkan dengan makhluk sama sekali,” kata pakar deradikalisasi serta pemikiran songsang, Dr Zamihan Mat Zin Al- Ghari.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan pengasas ajaran sesat Sihulk, Suhaini Muhammad bahawa fahaman dibawa kononnya Nabi Muhammad adalah Allah adalah benar manakala majoriti umat Islam sesat kerana terbawa-bawa dengan fahaman salah.

Katanya, ajaran Islam berteraskan kepada ajaran tauhid dua kalimah syahadah dan Allah SWT tidak sesekali menyamai atau menyerupai sesuatu makhluk.

Menurutnya, Allah SWT mempunyai dzat, sifat, dan nama-nama terindah serta terlindung daripada sifat kelemahan, kekurangan atau kecacatan.

Beliau berkata, ini berkepada dalil dalam Surah Syura ayat 11 dan Surah Al-Ikhlas ayat empat cukup membuktikan sifat kesempurnaan bagi Allah SWT.



“Huraian beliau (Suhaini) berkaitan makna dua kalimah syahadah juga jelas songsang malah menyesatkan kerana beliau bukan saja tidak mampu memahami serta menghuraikan maksud dua kalimah syahadah, bahkan gagal menterjemah maksud yang jelas Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

“Selain itu, seruannya supaya kita merujuk makna dua kalimah syahadah kepada orang bukan Islam terlalu dangkal serta beliau tiada hujah ataupun dalil bagi memberi justifikasi dakwaannya bahawa Allah itu adalah Muhammad atau Muhammad itu adalah Allah,” katanya.

Zamihan berkata, realitinya, semua dalil al-Quran, sunnah, Ijmak dan Qiyas membuktikan Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba dan pesuruh Allah SWT.

Pada masa sama, beliau berkata, kenyataan ketua ajaran itu (Suhaini) yang mendakwa Allah adalah Nabi Muhammad berdasarkan hujah seruan Allah untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad adalah kenyataan yang buta dan sesat.



“Ini kerana ayat pertama surah al-Isra’ disebutkan Nabi Muhammad SAW hamba Allah SWT manakala dalam surah al-Fath ayat 29 dinyatakan secara jelas Allah sendiri memperakui Muhammad itu pesuruh Allah SWT.

“Begitu juga dalam ayat pertama surah al-Kahfi, Allah secara jelas menyifatkan Nabi Muhammad SAW itu hamba-Nya.

“Kesimpulannya, himpunan ayat suci al-Quran dan hadis membuktikan kepada kita Nabi Muhammad itu manusia istimewa serta terpilih sebagai hamba Allah, nabi dan penutup segala rasul AS,” katanya.

Zamihan menjelaskan ulama sepakat bahawa sesiapa mendakwa Allah adalah Muhammad serta sebaliknya, maka sesungguhnya dia sudah melakukan dua kekafiran.



Katanya, kekafiran pertama kerana mendakwa Allah adalah Muhammad manakala kekafiran kedua ialah apabila dia mendakwa Nabi Muhammad adalah Allah SWT, iaitu dia beranggapan Allah menyerupai makhluk serta mendakwa makhluk adalah Allah SWT.

“Maka, kembali kepada Allah, insaf dan bertaubatlah, henti gunakan lidah untuk menuturkan kata-kata yang sia-sia, sesat lagi menyesatkan dan membawa kepada kufur dan murtad,” katanya.

Konon ajaran lama, cara sampaikan sahaja berbeza

Pengasas ajaran sesat Sihulk, Suhaini Muhammad tampil dengan pengakuan dan dakwaan fahaman dibawa iaitu kononnya Nabi Muhammad adalah Allah adalah benar manakala majoriti umat Islam sesat kerana terbawa-bawa dengan fahaman salah.



Pengakuan dibuat Suhaini menerusi satu e-mel kepada Metro Ahad, baru-baru ini dan menjelaskan secara terperinci berhubung asas ajaran itu serta pendiriannya.

Suhaini mendakwa, ajaran seumpama itu kononnya bukan baharu cuma kumpulannya menyampaikan dengan cara berbeza.

Dia juga mendakwa bahawa fahaman ‘Allah Mujasimah’ iaitu menjisimkan Allah sudah menular ke serata dunia Islam yang memberi anggapan bahawa Allah seperti ‘Dewa Ghaib’.

“Allah terbit daripada perkataan ‘Al Illah’ yang juga nama jawatan tertinggi bagi pentadbir alam ini,” dakwanya kepada Metro Ahad.



Pada masa sama, Suhaini mendakwa bukti Nabi Muhammad itu Allah berdasarkan bacaan selawat iaitu Allah diseru kepada Muhammad sebagaimana nama jawatan diseru kepada individu atau tuan punya jawatan.

Ketika ditanya berhubung dua kalimah syahadah yang menjelaskan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, Suhaini berkata, berbalik kepada dua kalimah syahadah, tiada tuhan kecuali Allah, Muhammad risalah Allah.

“Jika tuan lapangkan fikiran atau bertanya kepada orang bukan Islam maksud ‘Muhammad risalah Allah’, sudah pasti jawapannya ialah Allah itu merujuk kepada Muhammad.

“Tuan (wartawan) jangan tanya diri tuan kerana tuan sudah sebati dengan Allah itu ghaib, sedangkan Allah bukan sesuatu sama ada ghaib atau nyata,” katanya.

Wartawan bertanya mengapa Suhaini begitu berpegang kepada fahaman ini dan dia mendakwa berlakunya pertembungan dengan orang Islam jahil di mana Allah ialah sesuatu yang berlawanan.

“Jadi kami mengambil Allah ialah nama saja dan bukannya sesuatu.

“Apapun, umat Islam yang jahil sukar menerimanya kerana puluhan tahun beriman Allah ialah sesuatu lebih lagi mereka diajar sejak kecil.

“Ia berlaku kepada saya yang mengambil Allah sebegitu sejak kecil hingga umur 40 tahun, saya anggap Allah ialah sesuatu yang ghaib tidak boleh dibayangkan,” katanya.

Bertapak di New Zealand sejak 2020

Pengikut ajaran sesat, Sihulk memilih New Zealand kerana sudah ada rangkaian sejak tahun 2020 lagi serta mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk menjana pendapatan di negara berkenaan.

Mengakui perkara itu, pengasas ajaran, Suhaini Muhammad mendakwa, rangkaian Sihulk di negara itu sudah ada sejak tiga tahun lalu di Rotorua iaitu bandar utara di New Zealand.

“Dakwaan kami dapat suaka tidak benar kerana kami hijrah guna pelbagai visa seperti visa pelawat, visa pekerja, visa usahawan, visa pelajar dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, sumber pasukan keselamatan memaklumkan 150 pengikut Sihulk berada di negara berkenaan.

Kenyataan Suhaini berhubung rangkaian Sihulk di New Zealand menguatkan lagi dakwaan negara itu menjadi pilihan pengikut ajaran terbabit melarikan diri kerana ada peluang untuk menjana pendapatan.

Pada masa sama, pihak keselamatan mengesahkan lebih 50 pengikut di Malaysia menunggu peluang melarikan diri serta menyertai ketua mereka di New Zealand.

Ketika ditanya adakah mereka pulang semula, Suhaini menjelaskan mereka akan terus menetap di negara itu untuk mengelak tindakan pihak berkuasa jika pulang.

“Untuk pulang ke Malaysia, mustahil kerana kami pasti ditangkap terus ke dalam penjara menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma),” katanya. HM

‘Fahaman saya benar, yang lain sesat’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Danny-Fateha, kenal 5 hari, nikah dua minggu akhirnya bercerai

Masya Masyitah tayang paha pulak, siap peluk siapa tu?

Kisah dicintai Azwan Ali, respon Ziana Zain memang ‘deep’

Silap-silap PH/BN yang menang 6-0 atau menang 5-1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker