Malaysia desak Israel undur, bayar pampasan penuh kepada Palestin

Malaysia desak Israel undur, bayar pampasan penuh kepada Palestin

Malaysia tampil di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) malam tadi, memperjuangkan hak Palestin yang ditindas Israel melalui hujah bersandarkan norma perundangan antarabangsa dan hak asasi manusia.

Mewakili negara di hadapan panel 15 hakim pada prosiding di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague, Belanda itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.



Lebih 50 negara sudah dan dijadual mengemukakan hujah sehingga Isnin depan di ICJ, yang diminta oleh Perhimpunan Agung PBB (UNGA) untuk mengeluarkan pendapat yang tidak mengikat mengenai kesan undang-undang pendudukan.

Terdahulu pada Isnin lalu, Malaysia memulakan tindakan perundangan antarabangsa ke atas Israel dengan memohon Pendapat Nasihat ICJ berkaitan kesan perundangan akibat dasar dan amalan Tel Aviv di Palestin, termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Pendapat Nasihat adalah proses penting bagi memperoleh nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman PBB, selaras Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

Pada prosiding di Peace Palace malam tadi, Mohamad yang diiringi Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berhujah Malaysia bertegas bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri seperti dinyatakan ICJ dalam Pendapat Nasihatnya.



“Kewujudan rakyat Palestin tidak lagi menjadi isu. Malaysia menekankan prinsip bahawa persoalan penentuan nasib sendiri bukanlah perkara dua hala antara negara. Ia merujuk kepada norma perundangan antarabangsa, yang menghasilkan obligasi ‘erga omnes’ (hak dan obligasi kepada semua),” katanya.

Dalam teks ucapan diedarkan di sini, Mohamad berkata, Malaysia juga bertegas bahawa PBB dan semua negara ada kepentingan undang-undang dalam prinsip perlindungan hak berkenaan, berdasarkan empat teras, iaitu elemen substantif dalam hak untuk menentukan nasib sendiri.

Elemen pertama, hak rakyat terhadap integriti wilayah seperti disahkan ICJ di Chagos (Kepulauan Chagos di Lautan Hindi), iaitu ‘hak ke atas integriti wilayah bagi yang tidak berkerajaan sendiri, manakala kedua elemen kedua, hak rakyat terhadap perpaduan wilayah dan perlindungan keutuhannya.



“Seperti didapati ICJ, perubahan komposisi demografi Wilayah Palestin adalah pelanggaran hak untuk penduduk menentukan nasib sendiri. Ketiga, rakyat punya hak untuk kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber asli sebagai sebahagian daripada hak untuk menentukan nasib sendiri.

“Perhimpunan Agung (PBB) menyifatkan kedaulatan kekal itu sebagai komponen asas hak untuk menentukan nasib sendiri dan mengisytiharkan pelanggaran hak rakyat untuk kedaulatan ke atas kekayaan dan sumber asli mereka, bertentangan dengan semangat dan prinsip Piagam PBB,” katanya.

Elemen keempat, hak menentukan nasib sendiri ialah kebebasan untuk rakyat meneruskan pembangunan ekonomi, sosial dan budaya mereka.

“Menurut Perhimpunan Agung, ini adalah aspek asas prinsip persamaan hak dan penentuan nasib sendiri rakyat seperti termaktub dalam Piagam PBB,” katanya menambah, hak untuk menentukan nasib sendiri adalah norma perundangan antarabangsa untuk semua.



“ICJ mengesahkan perkara ini berulang kali dan menarik perhatian bahawa kesan daripada pelanggaran serius hak untuk menentukan nasib sendiri, mengakibatkan pelanggaran serius norma perundangan antarabangsa,” katanya.

Katanya, dasar dan amalan Israel yang menggerakkan usaha menubuh, memudah cara dan mengembangkan penempatan dalam wilayah diduduki dengan infrastruktur berkaitan dan undang-undang diskriminasi, sama dengan cubaan pengilhakan secara undang-undang dan hakikat.

“Pemindahan orang awam Israel ke wilayah yang diduduki adalah pelanggaran Artikel 49, perenggan 6, Konvensyen Geneva Keempat 1949 dan adalah satu jenayah perang mengikut Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, melanggar integriti wilayah Palestin dan hak untuk tentukan nasib sendiri,” katanya.

Dasar dan amalan Israel untuk merubah komposisi demografi wilayah diduduki, hujahnya, termasuk dengan meroboh rumah, hadkan kebebasan termasuk sekatan, pengepungan dan pemindahan di Semenanjung Gaza, melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa.



“Ia juga melanggar perpaduan dan integriti rakyat Palestin. Dasar dan amalan merampas tanah untuk dijadikan penempatan, kawalan semua sumber air di Tebing Barat dan kawalan penyediaan air di Semenanjung Gaza, pemberian lesen untuk pengekstrakan minyak dan gas serta operasi kuari dalam wilayah diduduki turut melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia bertegas bahawa Israel mesti menghentikan pelanggaran yang berterusan, bermakna ia mesti menghentikan semua dasar dan amalan, seterusnya berundur serta-merta dari wilayah diduduki.

“Kedua, Israel mesti menjamin perkara itu tidak berulang dan ketiga, ia mempunyai kewajipan untuk menawarkan pampasan penuh,” katanya menegaskan Israel antara lain juga mesti membatal atau memansuhkan semua langkah perundangan dan peraturan yang menekan di wilayah diduduki.

Terdahulu malam kelmarin, BERNAMA melaporkan, Kementerian Luar dalam satu kenyataan, memaklumkan Malaysia kesal atas kegagalan Majlis Keselamatan (UNSC) menangani situasi genting di Semenanjung Gaza.



Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing, terutama serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis itu ialah Majlis Keselamatan PBB melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta-merta.

“Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik ini ialah melaksanakan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin. Malaysia mengulangi gesaan supaya Palestin diiktiraf anggota penuh PBB,” menurut Wisma Putra.

Kelmarin, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan veto terhadap draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera, kali ketiga terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Oktober lalu.

Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi yang diusulkan Algeria itu, manakala Britain berkecuali. BH

Malaysia desak Israel undur

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rindu slogan ‘Najib turun, ringgit naik’ – Akmal

Emma difitnah bertukar pasangan untuk seks

Marissa tanpa mekap dilabel ‘Muka Awam’

Ali Puteh bayar duit Hidayah, jumpa Hamzah lepas 4 tahun

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker