Lega ayah ditangkap, akhirnya dapat pengajaran – anak dirogol bapa kandung

Lega ayah ditangkap, akhirnya dapat pengajaran – anak dirogol bapa kandung

Muar: ‘Saya lega bila ayah ditangkap, saya geram perbuatan ayah pada saya, saya benci, stress (tertekan) dan kesal. Ayah akhirnya dapat juga pengajaran’.

Itu antara warkah kekecewaan ditulis tiga beradik yang menjadi mangsa rogol dan cabul bapa kandung mereka yang dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menyebabkan suasana menjadi sayu seketika.

Ketiga-tiga adik-beradik itu yang kini berusia 12, 17 dan 18 tahun, menjadi hamba seks bapa kandung sejak 2012 dengan kali terakhir pada Jun tahun ini menyebabkan seorang daripadanya hamil tujuh bulan.

Warkah itu dibaca pihak pendakwaan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat sebelum mahkamah menjatuhi hukuman penjara 702 tahun serta 287 sebatan selepas tertuduh mengaku terhadap semua 34 pertuduhan dikenakan ke atasnya.

Tertuduh berusia 41 tahun yang juga pengait kelapa sawit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca kali kali kedua oleh jurubahasa mahkamah.

Daripada kesemua 34 pertuduhan itu, 20 daripadanya membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (a) dan 14 (b) masing-masing satu dan 10 pertuduhan manakala Seksyen 377D, tiga pertuduhan.

Mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 28 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan; Seksyen 14 (a) dan 14 (b) lima tahun dan tiga sebatan dan Seksyen 377D, dua tahun.

Bagi Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu tambahan seksyen hukuman bagi kesalahan rogol dan amang seksual, tertuduh berhadapan 27 pertuduhan dengan mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, tertuduh sebagai bapa sepatutnya melindungi anak-anak dan bukan melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya tahu kamu menyayangi anak-anak, tapi kenapa kamu buat macam ini? Ini (perbuatan merogol dan cabul) bukan cara kamu sayang pada anak.

“Melihat kepada fakta kes yang dibacakan, mahkamah tak boleh bayangkan. Ini anak, anugerah Allah SWT yang mana kamu sepatutnya melindungi, bukan melakukan sedemikian,” katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Danial Munir memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal memandangkan tertuduh tidak menunjukkan keinsafan terhadap perbuatan dilakukan.

Hujahnya, kejadian berlaku sejak mangsa berusia enam dan tujuh tahun malah terdapat juga elemen paksaan, kekerasan serta ugutan terhadap mangsa.

“Tiada keinsafan terhadap tertuduh malah sanggup mengulangi perbuatan keji itu antara dua hingga lapan kali seminggu,” katanya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam, mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan secara serentak kecuali sebatan.

Ini bermakna, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun serta 287 sebatan namun Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan maksimum sebatan adalah 24 kali.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, kes seumpama ini perlu dijadikan pengajaran pada ibu bapa supaya kejadian sama tidak berulang.

“Laporkan salah laku seksual dan kami sentiasa komited untuk membawa individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya. HM

Lega ayah ditangkap, akhirnya dapat pengajaran – anak dirogol bapa kandung

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Siti Nordiana guna bomoh dalam GV?

Mahathir jawab berdepan kenapa tak suka Khairy

Suhaimi Saad ditidurkan di ICU

Bogel di surau , pasangan dipenjara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker