Jersi ‘Last Dance’ Jordan terjual RM50.12 juta

Jersi ‘Last Dance’ Jordan terjual RM50.12 juta

Jersi 'Last Dance' Jordan terjual RM50.12 juta
JERSI Jordan yang dipakai ketika aksi ketiga Final NBA 1998. -FOTO Reuters

New York: Jersi Michael Jordan yang dipakai ketika aksi ketiga Final NBA 1998 terjual pada harga AS$12.26 juta (RM50.12 juta) dalam lelongan pada Selasa, sekali gus memecahkan rekod memorabilia milik legenda bola keranjang itu.

Jersi berkenaan dipakai Jordan pada musim keenam dan terakhirnya memenangi kejuaraan NBA bersama Chicago Bulls dalam kempen terakhirnya yang dikenali sebagai ‘Last Dance’.

Jersi itu ditawarkan oleh usahawan Rob Gough dan dilelong menerusi Joopiter, rumah lelong digital milik Pharrell Williams.

Harga berkenaan memecahkan rekod terdahulu memorabilia Jordan yang mencatat AS$10.091 juta (RM41.25 juta) bagi jersi yang dipakai dalam aksi pertama final yang sama.

“Jarang ada objek dalam sejarah sukan yang melambangkan kehebatan sehebat jersi Michael Jordan dalam aksi ketiga Final NBA 1998,” kata Joopiter dalam catatan lelongan dalam talian bagi jersi itu yang dianggarkan bernilai antara AS$10 juta (RM40.88 juta) hingga AS$15 juta (RM61.32 juta).


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Terima Kasih TPM, Jalan Kampung Parit Keroma Dinaik Taraf


“Dipakai ketika The Last Dance, ia menandakan kemuncak sebuah era yang mengubah bola keranjang menjadi fenomena budaya global. Hari ini, ia berada dalam kelompok artifak sukan paling penting yang pernah ditawarkan di pasaran.”

Walaupun mencipta rekod baharu bagi memorabilia Jordan, harga jualan jersi itu hanya kira-kira separuh daripada jumlah tertinggi yang pernah dibayar untuk barangan sukan yang dipakai dalam perlawanan menerusi lelongan.

Rekod berkenaan masih menjadi milik jersi yang dipakai Babe Ruth pada Siri Dunia 1932 ketika dia melakukan home run yang dikenali sebagai ‘called shot’, yang terjual pada harga AS$24.12 juta (RM98.61 juta) pada 2024.

Jersi ‘Last Dance’ Jordan terjual RM50.12 juta


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan Hukum Berdasarkan Rakaman Tular, Tunggu Fakta – Armand Azha

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker