Bersatu terus dibolosi gol sendiri

Bersatu terus dibolosi gol sendiri

oleh Hishamuddin Aun

Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia berharap keputusan menggantung dua Ahli Parlimennya kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai satu pengajaran, maka parti itu ternyata gagal. Daripada asalnya cuma satu, kemudian dua, tiga dan kini empat, ia menunjukkan mereka tidak takutkan tindakan atau apa saja kemungkinan pada ketika parti itu terus dibelakangkan.



Sebarang pendirian menyokong perdana menteri tanpa mengisytiharkan keluar parti tidak membolehkan mana-mana pelakunya hilang status Ahli Parlimen mengikut undang-undang anti-lompat parti. Berbanding parti-parti lain di Dewan Rakyat, Bersatu yang menanggung kesan terbesarnya setakat ini.

Ia bukan satu kegagalan kecil, sebaliknya kegagalan yang mengundang aib kepada kepemimpinannya jika diambil kira Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik berbuat demikian kelmarin dan semalam atas hujah kepentingan rakyat lebih diutamakan.

Bukan juga menghairankan Bersatu Kelantan tidak berlengah untuk menaikkan naratif bahawa Mohd Azizi ditawarkan ganjaran lumayan untuk sokong Anwar. Selagi tiada siasatan menyeluruh dijalankan, naratif itu yang tidak pun berbeza dengan sebelumnya yang harus tidak lebih sebagai cubaan untuk menutup malu.

Selepas seorang demi seorang Ahli Parlimennya beralih sokongan, apa lagi yang parti itu dapat kata?



Malah, apa yang awalnya dianggap janggal dan satu budaya baharu gara-gara adanya Ahli Parlimen dari blok pembangkang di Dewan Rakyat yang menyatakan sokongan terhadap Anwar, kini ia semakin menjadi norma biasa. Selepas ini entah berapa ramai lagi yang akan menuruti jejak yang sama.

Didahului oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan terhadap Anwar pada 12 Okt, pendirian serupa diambil Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang mengumumkannya pada 30 Okt dan seterusnya Mohd Azizi pada Selasa dan Zahari semalam – kesemuanya menawarkan alasan permasalahan rakyat di kawasan mereka sebagai pertimbangan utama.

Hanya kelmarin (Selasa), Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Suhaili dalam parti itu bagi tempoh enam tahun, menyusuli penggantungan empat tahun ke atas Iskandar pada Jumaat lalu. Belum pun kering dakwat pada surat penggantungan kedua-duanya, Azizi dan Zahari pula memilih waktu yang tidak berselang lama untuk mengumumkan pendirian.

Persamaan dalam tindakan keempat-empatnya ialah mereka bersepakat kekal sebagai Ahli Parlimen Bersatu di samping mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar dan inisiatif kerajaan dalam memulihkan ekonomi serta mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat sehingga PRU16, yang jangkaannya pada 2027.



Bolehkah diandaikan surat penggantungan Azizi dan Zahari sedang disiap menggunakan ‘template’ yang sama seperti dua rakan mereka sebelumnya? Bolehkah juga dijangkakan selepas hukuman empat tahun ke atas Iskandar dan enam tahun ke atas Suhaili, penggantungan lebih lama menanti Azizi dan Zahari? Atau mungkinkah ini akan merintis tindakan pemecatan pula? Biarlah kepimpinan Bersatu yang tercari-cari jawapannya.

Pengerusi Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor dilaporkan mendakwa Azizi ditawarkan habuan lumayan sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri – sesuatu yang didakwanya dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam mesyuarat Bersatu Sabtu lalu. Dalam tempoh hanya tiga hari, katanya, Azizi berubah pendirian.

Itu hanya menambah beban Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang Jumaat lalu menyatakan PN masih mengumpul segala maklumat berhubung dakwaan ugutan yang diterima Ahli Parlimennya supaya menyokong kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, sudah timbul cakap-cakap bahawa PAS sedang memerhatikan krisis ini dan meneliti segala kemungkinan, termasuk sama ada ia masih mahu meletakkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) atau mengesyorkan agar jawatan itu diberikan kepada PAS buat sementara waktu sehingga krisis diselesaikan. Ada juga pendapat bahawa jalan paling selamat untuk Muhyiddin ialah menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS dan selesaikan masalah dalaman Bersatu yang kian meruncing.



Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu wartawan di Parlimen bahawa PAS meminta Bersatu menguruskan isu berkenaan, di samping dimaklumkan parti itu sudah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimennya. Kepada kemungkinan ada Ahli Parlimen PAS terdorong mengambil pendirian serupa, Tuan Ibrahim percaya mereka kekal istiqamah dan menjaga maruah parti.

Namun, ia tidak jadi halangan buat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi secara sinis menyoal Ahli Parlimen PN yang lain bila mereka akan mengambil tindakan yang sama, dengan menasihatkan mereka supaya tidak menunggu terlalu lama.

“MP Jeli (Zahari), Tanah Merah (Ikmal Hisham Abdul Aziz), Ketereh (Khlir Mohd Nor), Hulu Terengganu (Rosol Wahid), Sungai Besar (Muslimin Yahaya) dan Langkawi (Mohd Suhaimi Abdullah) bila lagi? Jangan tunggu lama-lama. Kapal lama semakin tenggelam. Welcome aboard,” katanya.

Semalam pula, tersiar satu laporan bahawa kira-kira seminggu selepas mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, Suhaili sudah dijamin peruntukan daripada kerajaan perpaduan. Menerusi catatan di Facebook, Suhaili berkata beliau hadir ke pejabat Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Wilayah Persekutuan untuk menguruskan peruntukan itu semalam dan peruntukan itu akan disalurkan terus ke pusat khidmatnya tidak lama lagi.



Laporan itu dengan sendirinya menempelak ketua whip PN Takiyuddin Hassan yang Jumaat lalu berkata PN tidak akan meneruskan perundingan berkaitan peruntukan sama rata wakil rakyat kepada pembangkang. Alasan beliau ialah selepas beberapa kali berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, kerajaan meminta beberapa jaminan selain mahukan pembangkang menulis surat kepada kerajaan seolah-olah memohon peruntukan tersebut.

Pendek kata pembangkang mahukan peruntukan itu tapi mereka enggan memohonnya. Dengan kata lain, peruntukan itu dianggap sesuatu yang kerajaan terhutang kepada mereka. Anwar dalam reaksinya meminta pembangkang untuk terus berbincang dengan Fadillah.

Senang cakap bola kini dikembalikan ke kawasan mereka. Terserah kepada PN dan Bersatu untuk bermain secara bertahan yang setakat ini menyaksikan mereka dah bolos empat kali oleh gol sendiri atau hindar daripada berlarutan. FMT

Bersatu terus dibolosi gol sendiri
Bersatu terus dibolosi gol sendiri



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Orang kanan mahu Peja letak jawatan ketua PN N Sembilan

Harap anak kau tak jadi sundal – Che Ta

Kegagalan Iron Dome , roket buat U-Turn sehingga bedil hospital di Tel Aviv (Video)

RM500 juta dibelanjakan untuk publisiti semasa pentadbiran Muhyiddin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker