Boikot dosa dan maksiat yang paling utama untuk umat Islam?
Boikot dosa dan maksiat yang paling utama untuk umat Islam?
Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
Taufan al-Aqsa atau perang Hamas-Israel belum berakhir. Keprihatinan umat Islam sedunia memuncak dengan pelbagai cara seperti kempen kutipan dana, kempen soladiriti dan kesedaran, bacaan Qunut Nazilah dan boikot produk yang berkait rapat dengan Israel.
Perlu diakui kempen boikot produk mampu memberi kesan kepada kelangsungan pergerakan pihak musuh. Ia termasuk dalam pencegahan mungkar dengan tangan, suara dan hati nurani.
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa antara kalian yang melihat sebarang kemungkaran berlaku maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa). Jika dia tidak mampu (mengubahnya dengan tangan) maka ubahlah dengan lidah (suara dan advokasi).
Jika dia tidak mampu (mengubahnya dengan lidah), maka ubahlah dengan hati jantungnya dan ia adalah iman yang paling lemah. (Sahih Muslim, 70)
Tanpa sedar ketika Hamas dan Israel berperang sengit, segelintir umat Islam di Malaysia turut berperang dalam isu boikot sesetengah produk berasas makanan yang memakai huruf ‘M, N dan S’ sebagai jenamanya.
Perang boikot ini sedikit sebanyak turut memangsakan umat Islam Malaysia yang terlibat mencari rezeki melalui syarikat tersebut.
Umat Islam perlu mengelakkan diri daripada terjerumus dalam lembah ekstrem ketika menjalani kempen boikot. Antaranya, ekstrem memasukkan semua pekerja muslim dalam syarikat terbabit sebagai musuh Islam kerana terlibat bersubahat dengan Zionis Yahudi yang membunuh umat Islam di Gaza.
Aduhai! Janganlah celupar sedemikian. Isu ini kompleks dan elakkan berfikir secara mudah separa masak sebegini.
Para pekerja itu cuma orang biasa yang mencari rezeki demi menyara hidup keluarga. Saya pasti, jika yang mencari rezeki melalui syarikat tersebut adalah ibu, bapa atau ahli keluarga kita, sikap kita akan berubah menjadi lunak.
Pelbagai hujah akan digali untuk mempertahankan ‘sumber’ rezeki mereka itu. Inilah yang dikata, haram apabila terkena pada orang, harus apabila tertimpa kepala sendiri.
Satu pihak pula lantang melaung kebencian dengan kekejaman Zionis Yahudi, tetapi mulut yang sama tidak putus menghisap asap rokok daripada syarikat yang turut tersenarai menyokong Zionis Yahudi.
BOIKOT DENGAN ILMU
Ringkasnya, boikotlah dengan ilmu bukan emosi. Ambil kira juga pandangan sesetengah ilmuwan yang mengutarakan pandangan agar boikot bersasar dijalankan kepada syarikat yang terang-terangan menjurus kepada kerosakan fizikal dan mental seperti produk rokok serta hiburan melampau.
Para ilmuwan yang menyarankan strategi tersebut bukan bercakap kosong sebaliknya menilai dengan timbangan ilmu syarak yang mereka miliki.
Bahkan cinta mereka kepada saudara Islam di Gaza mungkin jauh lebih tinggi berbanding sesetengah kita.
Jika syarikat terbabit ada banyak sumbangan kepada umat Islam Malaysia melalui zakat, sumbangan kemasyarakatan, peluang kerja kepada orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya maka fikirlah berkali-kali teknik dan kesan boikot kita.
Saya sendiri tidak makan pun produk Syarikat ‘M, N dan S’, namun saya menahan diri daripada mencela para pekerja muslim dalam syarikat terbabit. Bertindaklah dengan cermat agar tiada umat Islam dizalimi, baik yang di Gaza atau yang mencari rezeki di Malaysia.
Hayati kecermatan tindakan yang Nabi SAW sarankan dalam hadis yang bermaksud: Seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain. Tidak patut bagi seorang muslim menzalimi atau membiarkannya (ditindas musuh). Sesiapa yang membantu saudaranya, Allah akan membantunya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim (yang lain), Allah akan melapangkan kesusahan (nya) pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup sebarang aib seorang muslim (yang lain), Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. (Sahih al-Bukhari, 2262).
Di sebalik boikot ini, saya berpandangan boikot yang lebih utama umat Islam Malaysia adalah boikot dosa dan maksiat. Sedar tak sedar, banyak dosa dan maksiat yang menjerat umat Islam di Malaysia.
Bahkan di seluruh dunia berpunca daripada budaya bukan Islam yang mungkin dipromosi golongan Zionis Yahudi.
Lihat sahaja produk rokok, vape dan berbagai platform hiburan yang ada. Ia tetap ditelan dan dilanggani sesetengah umat Islam sepanjang masa. Boikot produk sebegini jauh lebih penting bersama boikot bermusim seperti sekarang.
Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW lama dahulu kepada para sahabat melalui sabdanya yang bermaksud: Kalian akan mengikut jejak langkah orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun pasti kalian akan menurutinya juga.” Kami (Para sahabat mengagak dengan berkata; adakah yang Tuan maksudkan itu) orang Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka?)”. (Sahih al-Bukhari, 3197).
Tambah menarik, hadis ini yang menjadi asas kepada kajian al-Marhum Dr. Salah Abdul Fattah al-Khalidi melalui buku beliau Isra’iliyyat Mu’asarah atau Isra’iliyyat Moden.
Dalam tradisi ilmu tafsir dan hadis, Isra’iliyyat bermaksud sebarang pengaruh atau riwayat yang berasal daripada sumber ahli kitab, Yahudi serta Nasrani yang meresap masuk ke dalam kitab tafsir al-Quran atau ilmu-ilmu Islam.
Isra’iliyyat ada tiga kategori; yang diterima secara harmoni, ditolak secara tegas dan tidak jelas serta tergantung statusnya. Perbincangan mengenai topik ini sangat luas dan tidak mungkin diulas dalam ruang kecil ini.
Melalui karya di atas, al-Marhum Dr. Salah merumuskan akar dan falsafah Isra’iliyyat telah menyebar serangannya kepada pelbagai bidang hidup manusia seperti politik, ekonomi, peradaban, sosiologi, ilmu pengetahuan, institusi keluarga dan sebagainya.
Ia seiring firman Allah yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad serta umat Islam) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (al-Baqarah 2:120).
Lalu bagaimana kita mahu meneruskan boikot dosa serta maksiat bersama boikot produk Israel sepanjang masa tanpa perlu menunggu ‘musim mati syahid’ penduduk Palestin?
Ia akan berkesan dengan mendalami ilmu Islam yang sahih agar kita mampu selamat daripada cengkaman halus tanpa sedar Zionis Yahudi yang sentiasa mahu merosakkan umat Islam.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Boikot dosa dan maksiat yang paling utama untuk umat Islam?
Baca Artikel Menarik:
- Kapak 200,000 tahun ditemukan di AlUla
- Dah saya hodoh – Tom
- Ada gelar Missclyen ‘anak haiwan’, ‘anak hantu’
- Harga makanan, hotel Langkawi ‘cekik’ darah
- Doktor Israel sokong Zionis bom semua hospital di Gaza
- Ketua Dewan Ulama PAS biadab – Anwar
- Malaysia tak iktiraf keputusan unilateral Washington – Anwar
- Memang marah, tapi jangan melulu boikot – Fazura
- Anwar selar pemimpin dunia tidak mampu usahakan gencatan senjata di Gaza
- Jangan hukum saya pro-Israel kerana hadir APEC – Anwar
- Apakah Jordan bersedia berperang dengan Israel?
- Sajat pertahan diri menari separuh bogel di Australia
- Penyewa mental tinggal rumah kotor, rosak
- Anak halau ibu yang membesarkannya semenjak 2 tahun
- Pengganas Israel teruskan pembunuhan, tidak peduli dengan kematian 10 ribu rakyat Palestin
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Boikot syarikat pro Israel di Malaysia sehingga mereka lakukan ini