Diana sedang cari pasangan

Diana sedang cari pasangan

TATKALA mendengarkan lagu Bersama Dengan Rindu dendangan pelakon, Diana Danielle baru-baru ini, membawa fikiran melayang dan berfikir sejenak mengenai jalan cerita di sebalik karya ciptaan Ezra Kong itu.

Berkesempatan bersua dengan pelakon dan penyanyi berusia 32 tahun ini, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkongsi transisi perjalanan karier seninya daripada pelakon, kepada penyanyi dan juga cerita di sebalik single baharunya itu.



“Lagu Bersama Dengan Rindu berkisar mengenai patah hati, kehilangan dan rasa rindu. Namun, ia tidak ada kena mengenai dengan yang hidup, atau yang sudah tiada,” katanya.

Menjawab ringkas, Diana diajukan lagi persoalan mengenai kaitan antara lagu itu dengan kisah hidupnya yang nampaknya, ada sedikit kemiripan.

“Lagu ini sudah dirakamkan sejak tahun lalu. Namun, apabila nak dilancarkan, ia tak dapat diteruskan untuk menjaga sensitiviti situasi pada ketika itu, di mana, saya sedang berdepan dengan masalah keluarga.

“Takkan saya nak lancarkan pada waktu itu. Memang boleh dan mungkin akan ‘meletup’, tapi saya bukan jenis begitu.



“Video muziknya pula dirakamkan pada Januari lalu dan sepatutnya dilancarkan pada Mac. Untuk video muzik, tak terlalu sukar sebab lakonan bukanlah hal yang asing buat saya. Untuk menjiwai lagu itu juga mudah.

“Kalau ada yang kaitkan kisah hidup saya dengan jalan cerita dalam video muzik itu, mungkin itu semua kebetulan sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk album, bagi melebarkan lagi sayap karier muziknya, Diana berkata, berkemungkinan, ia akan hadir dalam tahun hadapan.

“Untuk album, mungkin tahun hadapan kerana kita perlu keluarkan dahulu beberapa lagu, yang kemudian akan dikumpulkan dalam satu album.



“Mengenai konsep album, ia akan menampilkan pelbagai genre. Akan ada lagu Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Jadi, buat masa sekarang, kami masih rakamkan beberapa lagu lagi,” katanya.

Terbuka untuk berduet dengan mana-mana penyanyi tempatan, Diana berkongsi mengenai ‘jatuh hati’nya kepada lagu yang sedang popular, Malampagi.

“Kalau ada yang nak berduet dengan saya, saya terbuka. Antara penyanyi yang saya sukakan karyanya adalah Saixse yang sekarang sedang popular dengan lagu Malampagi,” katanya.

Ditanya mengenai karier lakonan, Diana berkata, tumpuannya kini lebih kepada cabang kerjaya baharu ini iaitu sebagai penyanyi, namun, tidak menolak tawaran lakonan sekiranya ada yang bersesuaian.



“Sebenarnya, kalau kalian perasan, saya hanya berlakon setahun sekali sahaja sejak beberapa tahun lalu. Sebabnya, saya memang nak ‘berpindah’ daripada karier sebagai pelakon, kepada penyanyi.

“Kalau saya banyak berlakon, ia sedikit sebanyak akan mengganggu perancangan yang dibuat untuk karier muzik saya. Jadi, saya ambil peluang itu, fokus 100 peratus untuk mulakan sesuatu yang baharu ini.

“Kalau nak katakan bahawa saya mulai bosan untuk berlakon, saya takkan pernah bosan. Saya takkan tolak kalau ada tawaran lakonan yang menarik. Saya pun nak ada anugerah daripada karier lakonan juga,” katanya.

Tambahnya, dia tidak pernah berpegang dengan jalan mudah dan singkat untuk meraih sesuatu kejayaan.



“Saya tak percaya, akan ada jalan mudah dalam kehidupan. Ini adalah single pertama dan tentunya, akan ada banyak lagi rintangan di masa akan datang di samping persepsi orang ramai yang mana, kita perlahan-lahan perlu wujudkan rasa yakin itu.

“Saya ada masalah gemuruh di pentas. Tapi, mujurlah pasukan pengurusan menenangkan saya. Sama juga seperti berlakon. Mungkin orang tak nampak sebab kita berada di set. Tapi, sebenarnya, takut juga setiap kali nak berlakon.

“Kena marah dengan pengarah, orang panggil dan beri gelaran ‘kayu’, dilabel sebagai pelakon yang jual muka sahaja. Macam-macam lagi. Tapi, saya anggap semua itu sebagai proses.

“Bila dah lama, satu nanti, rasa takut itu akan hilang. Saya nak proses itu mematangkan saya,” katanya.



Bercerita lanjut mengenai muzik dan kehidupannya, Diana punya kisah mencuit hati ketika zaman kanak-kanak.

“Dulu, saya tak bernaung di bawah mana-mana label dan tak ada sokongan. Keyakinan saya untuk bergelar penyanyi pun, tidaklah seutuh keyakinan saya sebagai pelakon walaupun saya dah cuba banyak kali. Mungkin kali ini, saya takkan berputus asa.

“Sejak kecil, memang saya akan ‘paksa’ orang untuk mendengar saya menyanyi. Kalau kawan-kawan mak saya datang ke rumah pun, dia akan maklumkan kepada mereka bahawa saya nak buat persembahan.

“Sebenarnya, saya nak lebarkan karier nyanyian ini sejak dahulu lagi. Namun, mungkin belum masanya. Sekarang, kita dapat lihat ada pelbagai platform tersedia dan tak hanya sekadar kena ada di platform utama,” katanya.

Berkongsi mengenai hala tujunya dan sejauh mana dia ingin melangkah sebagai penyanyi, Diana tidak menolak sekiranya ada peluang untuk dia dan karyanya beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya dah tak kisah mengenai kejayaan, tetapi, lebih fokus kepada kepuasan, bagaimana pendengar akan sukakan sesuatu karya itu dan apa mesej yang mereka akan dapat daripadanya. Itu yang saya mahukan.

“Kalau ada peluang untuk melangkah sehingga ke AJL, kenapa tidak? Saya dah lama berada di dalam industri ini. Jadi, saya tahu, banyak benda boleh berlaku kalau kita betul-betul fokus. Jadi, kita sama-sama lihat nanti. Tapi, tak adalah saya terlalu mengharap,” katanya. HM

Diana sedang cari pasangan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10, gegar segala gegar

Jangan tayang suami kalau takut disondol – Che Ta

Saya bukan orang ketiga antara Nafiez dan Fify – Neera

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker