Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Dicipta pada 1986, lagu Saya Anak Malaysia dendangan penyanyi menggelarkan dirinya, dR Sam atau Dr Sam Rasputin, cukup sinonim dengan Hari Kebangsaan.



Lagu ‘catchy’ dengan lirik menceritakan liku hidup sambil disulam nilai positif dan semangat cintakan negara, menjadikan lagu Saya Anak Malaysia menonjol serta mudah diingati, malah, malar segar biarpun sudah berdekad diputarkan.

Single ciptaan komposer digelar sifu, Datuk M Nasir dan lirik dihasilkan S Amin Shahab diangkat sebagai lagu patriotik, mengisi corong radio tempatan setiap kali tibanya Hari Kebangsaan dan sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan.

Berpeluang menemuramah dR Sam atau nama sebenar, Salim Ibrahim yang cukup popular dengan irama ‘reggae’, bintang seni berusia 70 tahun ini berbesar hati lagu Saya Anak Malaysia menjadi dendangan ikonik siulan rakyat Malaysia hingga hari ini.

“Alhamdulillah, Allah beri saya ilham menghasilkan lagu ini ketika terbabit dalam pembikinan filem Kembara Seniman Jalanan yang turut dibintangi M Nasir dan Datuk Khadijah Ibrahim.



“Di situlah permulaannya, ketika saya ‘shooting’ filem itu, M Nasir muncul dengan ilham korus lagu itu. Beliau kemudian beri kepada saya untuk dihabiskan. Memori itu saya ingat sampai sekarang.

“Tanggungjawab menghasilkan lirik, saya serahkan kepada sahabat saya, S Amin. Namun, selepas beberapa minggu saya berikan tugas itu, Amin hanya beri kertas kosong sahaja ketika kami hendak mulakan proses rakaman.

“Ketika itu, Amin tanya saya, lahir tahun berapa? Saya jawab 1953 dan dia suruh saya sambung lirik selebihnya.

“Saya kemudian tulis kisah perjalanan saya yang pernah berhijrah ke luar negara sebagai lirik lagu Saya Anak Malaysia,” katanya.



Ketika zaman mudanya, dR Sam melalui kehidupan penuh warna warni dengan menjadi pemuzik jalanan atau ‘busker’ ketika bermusafir di Eropah.

Melalui lagu Saya Anak Malaysia, dR Sam yang berasal dari Negeri Sembilan, meluahkan kecintaan terhadap negara.

dR Sam mengaku rentak single itu ‘berhantu’ dan terus menambat perhatian pendengar, melangkaui generasi.

“Mungkin melodi dan rentak lagu Saya Anak Malaysia yang memberi semangat, membuatkan lagu ini terus digemari selama 37 tahun.



“Namun, semuanya adalah ilham dari Allah, saya hanya sampaikan lagu ini,” katanya.

Tidak lagi aktif menyanyi sejak 1990, dR Sam mencadangkan agar usaha diteruskan untuk menyemarakkan lagu patriotik dalam kalangan generasi muda.

“Saya ada cadangan untuk mencari lagu patriotik yang terus digemari. Anjurkanlah pertandingan menulis lagu dan lirik patriotik. Berikanlah hadiah menarik kepada pemenang supaya dapat menarik ramai untuk menulis lagu seumpama itu.

“Kalau tidak, kita akan terus dibanjiri dengan lagu cinta sahaja. Daripada pertandingan seperti itu, kita akan dapat lihat idea lagu patriotik yang bagus-bagus.



“Namun, sayangnya, tidak banyak pertandingan lagu patriotik dianjurkan sekarang. Hakikatnya, lagu patriotik tidak dimakan zaman di mana ia terus dinyanyikan di sekolah.

“Jadi, dengan cara ini, kita dapat semai perasaan cintakan negara,” kata bapa dua anak ini.

dR Sam bersyukur lagu Saya Anak Malaysia terus mendatangkan hasil dalam bentuk bayaran royalti yang diterimanya, saban tahun.

“Apabila mahu tandatangan bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) atas tujuan tuntutan royalti, saya tanya kepada M Nasir, bagaimana dengan royalti lagu itu.



“Nasir serahkan semuanya kepada saya di mana lagu Saya Anak Malaysia diletakkan atas nama saya.

“Alhamdulillah, lagu diputarkan sejak 1986 dan royalti atas single itu berterusan sampai sekarang. Bolehlah saya gunakan untuk menampung kehidupan sekarang,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terkini dirinya, dR Sam lebih selesa memberi tumpuan kepada kerohanian dan amal ibadat sejak 1990.

“Sekembali daripada mengerjakan ibadat haji, saya putuskan untuk tidak lagi menyanyi. Ketika itu, industri muzik juga sedang ‘down’ (merudum).

“Jadi, kalau mahu menyanyi, saya kena mula dari kosong. Ketika itu, macam-macam pekerjaan saya buat. Namakan sahaja seperti ‘direct selling’, semuanya saya buat. Saya pernah dapat gelaran ‘King of Direct Selling’.

“Namun, sekarang, umur pun sudah lanjut, takkan hendak kejar dunia lagi. Kerja saya sekarang

adalah untuk bawa orang ramai dekatkan diri dengan Allah.

“Saya mahu bawa orang ramai kenal siapa Allah yang menjadikan kita hari ini. Insya-Allah, rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Rakaman video memaparkan dR Sam menyanyi secara spontan pernah meraih perhatian dalam kalangan pengguna TikTok.

Klip video itu memaparkan dR Sam mendendangkan lagu To Love Somebody dendangan asal Bee Gees, di sebuah kafe dipercayai di Ipoh, Perak.

Dalam rakaman video itu, dR Sam menyampaikan lagu berkenaan bersama vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nash sambil dikelilingi rakan tabligh.

Mereka dilihat menyanyikan lagu itu secara bergilir-gilir dengan vokal padu. Rata-rata netizen memuji persembahan spontan kedua-dua penyanyi bertaraf legenda itu.

Bertanya sama ada berkeinginan kembali aktif menyanyi, dR Sam berpegang kepada fokusnya dalam aktiviti dakwah.

“Ketika saya sampaikan ceramah dan dakwah, ada saya selitkan sedikit nyanyian. Tetapi hendak menyanyi di atas pentas, tidaklah.

“Namun, kadang-kadang, ada pihak jemput saya menyanyi. Saya nyanyilah sedikit tanpa ‘minus one’, itupun nyanyi beramai-ramai,” katanya.

dR Sam melancarkan album pertama berjudul Abu Nawas pada 1983 di bawah syarikat rakaman, Polygram. Album itu mengandungi 10 lagu serta diterbitkan M Nasir dan M Verapan. BH

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rita Rudaini dah nikah?

Puteri Sarah mahu saman, ini teguran Yusof Haslam

DSV jangan takbur sangat

Guru benarkan pelajar Hindu pukul pelajar Islam di India

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker