Gelaran buruk adalah tindakan terkutuk mewarisi akhlak Jahiliyah

Gelaran buruk adalah tindakan terkutuk mewarisi akhlak Jahiliyah

Di dalam Islam budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukanlah tindakan yang betul, malah ia amat keji dan hanya menjadi mainan individu yang dipimpin oleh emosi. Walau apa pun sebab dan latar belakang seseorang, elakkan diri dari menghambur kata hinaan dan cacian kepadanya. Terlalu banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.

Ia bukan dapat menyelesaikan masalah, tetapi hanya memburukkan keadaan dan menjatuhkan air muka si penggelar bukan mereka yang digelar. Tiada kebaikan yang boleh tersebar daripadanya kecuali kepuasan peribadi pihak penggelar yang kononnya untuk menegakkan hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing sahaja.



Teguran Allah terhadap mereka yang memberi gelaran buruk, memperkecil, mengejek dan memperlekehkan sesama manusia dizahirkan melalui ayat 11 dari surah al-Hujurat. Di sebalik teguran Allah dalam ayat ini, terdapat asbabun nuzul yang boleh menjadi ibrah bagi kita umat Islam.

“Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum (lelaki) mencemuh kaum lelaki yang lain kerana boleh jadi mereka (yang dicemuh) lebih baik dari mereka (yang mencemuh) dan jangan pula perempuan-perempuan (mencemuh) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dicemuh) itu lebih baik dari perempuan (yang mencemuh).

Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11).

Berkisah al-Hujurat



Asbabun Nuzul dari ayat ini disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tirmizi. Dalam satu kisah ketika di Madinah, Baginda s.a.w. ada memanggil seorang sahabat yang mempunyai banyak gelaran dengan salah satu gelarnya yang ternyata tidak disukainya. Salah seorang sahabat lalu berkata,

“Sesungguhnya nama yang engkau pakai untuk memanggilnya itu tidak disukainya.”

Selain itu terdapat satu lagi kisah berkenaan seorang sahabat Baginda s.a.w. yang bernama Thabit Ibnu Qais Ibnu Syammas. Beliau merupakan seorang yang pekak dan tuli. Walau bagaimanapun, beliau gemar menghadiri ceramah-ceramah agama yang diadakan Baginda s.a.w.

Setiap kali hadir dalam majlis ilmu tersebut, para sahabat yang lain akan memberikannya tempat duduk yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w. supaya dia dapat mendengar segala butir bicara Baginda s.a.w. dengan jelas dan nyata.



Pada suatu hari ketika beliau sampai di masjid, tempat yang biasa didudukinya telah pun diambil orang lain. Beliau pun melangkah selangkah demi selangkah menuju ke hadapan untuk tetap sampai di tempat yang paling hampir dengan Baginda s.a.w.

Walau bagaimanapun langkahan kakinya tidak disukai oleh para sahabat yang lain kerana beliau melangkah di atas belakang dan kepala jemaah. Dalam setiap langkahannya beliau berkata, “lapangkanlah, lapangkanlah, berilah ruang.”

Namun ia tidak diendahkan oleh sahabat-sahabat yang lain, sehingga ia tetap melangkah dan akhirnya sampai di hadapan dan terus duduk. Apabila beliau duduk, seorang sahabat di sebelahnya pun berkata, “Ini tempat saya dan saya lebih berhak duduk di sini.”

Thabit tidak memperdulikan kata sahabat itu dan bertanya kepada lelaki itu,



“Siapa kamu?”

Jawab lelaki itu, “Saya si fulan anak kepada si fulan.”

Thabit berasa tidak puas hati dengan jawapan lelaki itu lalu bertanya lagi sambil menyebut nama ibu lelaki itu dengan panggilan yang memalukan di zaman jahiliyah.

“Kamu anak kepada perempuan si fulan binti si fulan itukah?”



Tatkala mendengar pertanyaan Thabit tadi, lelaki itu pun tertunduk malu. Dia malu kerana gelaran itu amat mengaibkan ibunya. Selepas itu maka turunlah ayat 11 dari surah al-Hujurat yang melarang untuk memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak elok atau yang tidak disukainya.

Panggilan yang indah

Selain itu, dalam hadis seperti yang diriwayatkan dari Jabir juga menunjukkan Rasulullah tidak menyukai memanggil dengan gelaran Ya Muhajirin dan Ya Ansar. Hadis itu berbunyi,

“Kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu peperangan. Sejumlah besar orang Muhajirin menyertai Nabi s.a.w dan di antara mereka ada seseorang yang gemar bergurau. Dia bergurau dengan seorang hamba Ansar, sehingga dia sangat marah. Mereka memanggil kawan-kawannya. Orang Ansar berkata, “Bantu aku wahai orang Ansar”



Sebaliknya Muhajirin itu juga berkata,

“Bantu aku wahai Muhajirin” Nabi s.a.w. keluar dan berkata,

“Apa yang terjadi dengan orang-orang ini sehingga memanggil-manggil dengan seruan jahiliyah?” Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, “Ada apa?” Maka Nabi diberitahu tentang pertengkaran yang terjadi antara orang Muhajirin dan Ansar itu. Nabi s.a.w. bersabda,

“Hentikan. Ini panggilan syaitan.” Abdullah bin Ubay (pelindung dan pemimpin golongan orang-orang munafik) berkata,

“Orang-orang Muhajirin menentang (kami): tunggulah hingga kami kembali ke Madinah, orang-orang yang lebih terkemuka (dari kaum kami) akan mengusir orang-orang terhina.” Mendengar ucapan itu, Umar berkata,

“Ya Rasulullah! Kita bunuh saja orang jahat ini (Abdullah bin Ubay),” Nabi s.a.w. bersabda

“Tidak! jangan sampai orang-orang berkata Muhammad membunuh para sahabatnya.” (HR Bukhari).

Adapun begitu, jika gelaran buruk itu membawa maksud menerangkan sifatnya bukan dengan niat mengaibkannya, ia dibenarkan. Hujah ini bersandarkan kepada sabda Nabi s.a.w.

Dari Aisyah, ia berkata, “Saudah meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. pada malam Mudzalifah, ia adalah seorang wanita gemuk dan lamban, lalu beliau mengizinkannya.” (HR Bukhari).

Sesungguhnya di zaman Rasulullah s.a.w. terdapat gelaran-gelaran yang diberikan Baginda s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Ini tidak lain bagi memuliakan mereka dan menunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka dengan Baginda s.a.w.

Antara sahabat yang mendapat gelaran dari Baginda s.a.w. adalah Singa Allah atau Singa Rasul yang diberikan kepada Hamzah bin Abdul Muttalib atas keberaniannya berjuang di jalan Allah. Abu Hurairah (bapa kucing) yang diberikan kepada Abdul Rahman bin Saqr, Humairah (pipi merah) kepada isteri tercinta Aisyah r.ha. Saifullah (pedang Allah) kepada Khalid al-Walid. Wallahu a’lam Utv

Gelaran buruk adalah tindakan terkutuk mewarisi akhlak Jahiliyah
Gelaran buruk adalah tindakan terkutuk mewarisi akhlak Jahiliyah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Diserbu ketika berbogel dalam kereta punca remaja kemalangan

Siapa menantu yang Anwar sebut – Puad

Zarina Anjoulie ‘hancur’, padam gambar tunang

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker