Tiada masa depan di Malaysia punca doktor berhenti dari KKM

Tiada masa depan di Malaysia punca doktor berhenti dari KKM

Persepsi tiada masa depan dan hala tuju laluan kerjaya dalam negara, selain sistem tawaran perkhidmatan kontrak menjadi antara faktor graduan perubatan atau doktor pakar keluar daripada perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan berhijrah ke luar negara.

Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU), Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah, berkata golongan itu tertarik untuk berkhidmat di luar negara berikutan tawaran gaji dan laluan kerjaya lebih jelas dengan ada yang membina kerjaya di beberapa negara seperti Singapura, Australia, United Kingdom dan Ireland.

Beliau berkata, penghijrahan mereka bukan disebabkan faktor kewangan atau peluang kerja semata-mata, sebaliknya mungkin turut didorong faktor seperti tekanan emosi dan psikologi, bosan dengan persekitaran kerja tidak positif atau terpaksa menanggung beban kerja bukan klinikal.



“PADU memandang serius isu penghijrahan doktor kontrak, doktor tetap dan pakar perubatan ke luar negara yang berlaku di negara ini, malah perkara sedemikian turut terjadi di serata dunia.

“Kita sering mendengar luahan dan menerima aduan lebihan kerja kerana kemasukan pesakit yang tinggi, kekurangan tenaga kerja sehingga memaksa ramai untuk berhijrah ke sektor swasta atau ke negara lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Jafri berkata, perlu ada kajian menyeluruh untuk memahami isu penghijrahan doktor dan ia perlu diadakan secara berkala untuk melihat fenomena itu dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, permasalahan sebenar dalam kalangan semua pihak terbabit perlu dikenal pasti secara terperinci bagi membolehkan cadangan penyelesaian dibentangkan berdasarkan data kajian diperoleh.



Katanya, rombakan perkhidmatan yang lebih besar dalam KKM mungkin perlu dilaksanakan untuk meningkatkan pengambilan petugas khususnya doktor, doktor pakar dan kakitangan paramedik.

“Kami juga mencadangkan penggunaan Sistem Maklumat Penjagaan Kesihatan diperkasakan bertujuan memudah cara perkhidmatan yang diberikan melalui pengumpulan, perkongsian dan penggunaan maklumat.

“Sistem ini diharap dapat membantu melancarkan lagi urusan perkhidmatan secara optimum bagi memudahkan pelbagai kerja di hospital dan skim insurans kesihatan nasional turut perlu ditambah baik untuk memberi perlindungan perubatan penuh bagi semua keperluan perubatan,” katanya.

Dr Jafri berkata, penghijrahan golongan doktor dan kakitangan perubatan tempatan ke luar negara adalah kerugian besar bukan saja dari aspek wang, namun juga modal insan kepada negara.



Katanya, PADU menyedari isu berkenaan tidak boleh diselesaikan secara bersendirian oleh KKM, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara integrasi membabitkan semua kementerian berkaitan lain.

Sementara itu, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berhubung jawatan tetap doktor kontrak membabitkan tawaran 4,914 jawatan tetap iaitu 4,263 jawatan untuk pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian, dan 316 bagi pegawai farmasi tahun ini.

Katanya, ini satu langkah besar ke arah yang betul bertujuan menyelesaikan masalah jawatan tetap doktor kontrak.

“PADU turut menyambut baik usaha KKM yang akan menyelesaikan isu penghijrahan pegawai perubatan ke luar negara menerusi pelbagai perkongsian dikemuka dan diterima pelbagai pihak berkepentingan menerusi pelan Strategi Sumber Manusia Untuk Kesihatan (HRH).

“Pelan HRH ini yang dimulakan menteri kesihatan sebelumnya mencadangkan penyelesaian dalam pelbagai domain pengambilan doktor, meningkatkan kualiti latihan mereka dengan laluan kerjaya lebih jelas.

“Justeru, PADU sangat mengharapkan pelan HRH akan merangkumi pembangunan profesional dan bertujuan menangani beberapa isu seperti doktor kontrak, pembangunan sumber manusia dan kemajuan kerjaya jangka panjang,” katanya. BH

Tiada masa depan di Malaysia punca doktor berhenti dari KKM

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kakak Ira Kazar sindir Puteri Sarah

Puteri Sarah fail perceraian pagi ini

Dron pelancong China langgar Menara Merdeka 118

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker