Sol oh Sol!

Sol oh Sol!

oleh Ronasina

Sudah masuk minggu kedua nampaknya kita masih tidak habis-habis lagi mengomen, menyibuk, menyampuk dalam isu ‘Sol’. Rata-rata kita cukup ikut rapat kisah ini dengan penuh minat. Kita tertunggu-tunggu dengan penuh debaran apa akan jadi kepada mereka esok dan hari-hari seterusnya? Aduh! Mengapa saya tahu akan hal ini?

Itulah penangan kita hidup di zaman ini, zaman media sosial. Semua perkara sudah bukan lagi rahsia. Semua tentang kita telah kita pamerkan di media sosial, termasuklah saya sendiri. Apa saya makan, ke mana saya pergi saya tunjuk di media sosial. Media sosial hari ini menjadi sebuah medan mengumpat yang lebih luas dan boleh disertai bersama oleh seluruh penduduk dunia serentak. Kalau dahulu kita mengumpat dengan jiran sebelah rumah di tepi tingkap sahaja, atau mengutuk rakan sepejabat pada waktu makan, kini kita beramai-ramai boleh masuk campur di media sosial. Bila-bila masa siang atau malam.

Macam kisah Sol ini, warganet tidak mensia-siakan ruang disediakan di media sosial. Orang perempuan membelasah Sol dan membela isteri pertamanya. Yang lelaki mempertahankan Sol. Namun ada juga perempuan yang membela Sol dan mengutuk si isteri pertama. Isteri muda tak usah cakaplah, ‘masak’ kena hentam, teruk kena kecam!

“Tak guna punya lelaki! Mentang-mentanglah kaya boleh senang-senang aja kahwin lain!” Marah mereka terutama warganet perempuan.

“Menyesal aku tonton filem dia, bagi dia kaya dia bantai pergi kahwin lain!” Marah mereka lagi.

“Ah! Dia mampu apa salahnya,” bela warganet lelaki di media sosial. Iyalah, di media sosial beranilah jawab. Kalau di depan isteri diamkan ajalah nanti tercetus pula pergaduhan.

Kita kecam! kecam! kecam! Pedulikan perasaan mereka. Biar mereka rasa. Siapa suruh cari fasal? Kenalah! Kata kita.

Jujurnya sebagai seorang yang pernah juga menjadi mangsa kecaman dan dibuli oleh warganet, saya turut bersimpati dengan Sol, dengan isteri baharunya dan juga isteri pertamanya. Walaupun mungkin mereka boleh bertahan dan buat-buat pekak tetapi percayalah sakitnya sampai ke ‘dalam’! Kasihan mereka. Bagaimana tekanan psikologi dihadapi anak-anak mereka yang masih kecil. Kalau iya pun, berilah peluang mereka bernafas sedikit di minggu kedua ini. Ini tidak. Balun semacam!

“Masalahnya kenapa yang empunya diri pun sibuk nak buat video, nak muat naik di media sosial hal-hal mereka, perkembangan terkini mereka?” Pintas warganet untuk menghalalkan keterlibatan mereka dalam hal ini sambil meletakkan tanda pagar (hashtag) ‘sekadar mengeruhkan keadaan’.

“Bukan sahaja diri mereka sendiri bercakap akan hal-hal yang sepatutnya boleh diselesaikan sesama mereka di dunia nyata tanpa membabitkan kita, malah orang tua mereka pun sama memuat naik luahan mereka, buat apa?” sungut seorang kakak yang semeja dengan saya dalam sebuah majlis kenduri kahwin baru-baru ini.

“Biarlah, itu sudah jodoh. Takdir dan ujian Tuhan kepada mereka. Kita tak payahlah sibuk!” Kata si suami di sebelahnya.

“Ah, lelaki! Bila bab nikah kahwin mulalah guna agama. Takdirlah, jodohlah, ujianlah! Lelaki boleh kahwin empatlah, sunnah Nabi lah! Tapi masa mula-mula nak menggatal sebelum kahwin tu ikut perangai siapa?” Balas isteri.

Saya mengisyaratkan dengan jari telunjuk di mulut kepada si suami supaya tidak payah memanjangkan perbualan nanti selera makan saya terpotong. Lagipun bab-bab berkahwin lebih dari satu ini keras dalam al-Quran. Ayat al-Quran meletakkan ‘dua, tiga dan empat’ dahulu dalam bab kahwin tetapi hujungnya ‘jika tidak mampu berlaku adil, kahwinlah satu sahaja’. Tegas, kan? Bab adil inilah yang payah. Kalau isteri pertama diberitahu awal dan dia mengizinkan, itu adalah keadilan pertama. Kalau sembunyi-sembunyi bermakna telah menganiaya isteri pertama itu. Eh, eh! Kenapa saya menulis seperti turut sama menyibuk ni? Saya sokong siapa?

Bukan apa. Kisah rumahtangga Rasulullah SAW pun saya pernah baca. Rasulullah walaupun Siti Khadijah sudah lama meninggal dunia dan berkahwin dengan wanita-wanita lain tetapi Siti Khadijah tetap dikenang oleh baginda sebagai isteri pertama yang terbaik. Lambang isteri yang agung. Manakala kisah-kisah lain pula ada menceritakan bagaimana isteri-isteri Rasulullah tetap juga mencemburui Aisyah. Namun, cemburu itu memang sifat wanita. Cemburu bukan bermakna Rasulullah tidak berlaku adil tetapi cemburu menandakan sayang. Ha, begitu!

“Apa, lelaki tidak cemburukah? Ya Tuhan! Manusia jenis apa kita yang lelaki ni kalau tidak ada sifat cemburu bila nampak pasangan kita bercakap dengan lelaki lain dengan mesra?” Tingkah seorang ‘abang’ di hadapan kawan-kawannya di sebuah warung nasi campur ketika saya dan isteri berhenti makan tengah hari di situ tiga hari lepas. Lelaki pun berbincang tentang Sol juga? Waduh! Saya menggelengkan kepala.

Begitulah kita. Sejak dahulu sebelum datangnya internet dalam hidup kita, kisah rumah tangga selebriti hanya ditonton di ruangan gosip pada majalah hiburan sahaja. Kalau kisah seseorang artis itu tak ada di dalam majalah hiburan kita tak akan tahu apa yang berlaku. Ruang untuk tahu sangat sempit. Kemudian zaman berkembang, masuk pula era rancangan gosip-menggosip yang dibawakan kepada kita di kaca televisyen. Menurut seorang kawan dengan jenaka sinisnya, “jika hendak tengok betapa gahnya majlis perkahwinan artis tontonlah rancangan Nona, nanti tak lama kemudian tontonlah pergaduhan mereka pula di rancangan Melodi!”. Itulah hakikatnya pendidikan tidak rasmi (non-formal education) kita selama kita dibesarkan di negara ini selain hal-hal berkisarkan politik yang masih juga dalam ruang-lingkup isu remeh dan gosip.

Dalam kisah tular ‘soap-opera’ Sol kahwin di Siam yang sudah masuk beberapa episod ini ataupun kalau ia sebuah filem entah berapa puluh juta ringgit entah kutipannya, saya bertanya kepada diri sendiri siapakah yang mendidik kita dari awal untuk melayan semua ini dan siapa pula yang bertanggungjawab mengheret kita untuk sama-sama ‘done into scene’? Apakah yang ingin kita isi dalam hidup kita sehari-hari? Benda-benda macam inikah? Apakah faedahnya kepada kita? Kenapa kita terus juga hendak melayan sehingga episod-episod mereka semakin menjadi-jadi dan mengganggu hidup kita? Silap-silap hidup kita pula berantakan dek terlalu menyibuk tak ketahuan hala. Tak bolehkah kita menahan diri daripada menyibuk?

Sebaliknya pula tak bolehlah juga kita nilaikan mentaliti seseorang hanya kerana mereka ikut rapat kisah Sol ini. Ada cikgu yang ikut, ada ustaz atau ustazah ambil bahagian dalam hal ini, ada ahli politik, ahli korporat atau sesiapa sahaja di bandar dan juga di kampung membincangkannya. Takkanlah mereka duduk dalam satu kategori yang sama iaitu kaki sibuk, kan? Masing-masing melihatnya dari sudut yang berbeza. Saya sekadar berbaik sangka, takut juga tulisan saya ini dikecam oleh mereka nanti. He! he! he!

“Macam itulah, dik!” sungut encik Din, pemilik warung nasi campur tersebut kepada saya membuatkan saya tersentak dan tersedar yang saya telah memasang telinga mendengar gosip di meja sebelah. “Sekarang ni barang-barang mentah untuk niaga pun makin mahal. Ikan kembung sekilo pun dah nak cecah RM20. Berapa ringgit saya nak jual? Dengan harga gas memasak, sewa kedai, gaji pekerja lagi. Jual mahal karang pelanggan marah. Sebab itulah kalau adik tengok sekitar sini banyak kedai makan yang tutup, mereka jual menu yang sedap seperti daging salai tapi daging sekarang harga sekilo berapa? Kalau disalai makin kecut dagingnya, nak jual berapa harga sesenduk? Nak tak nak macam saya ni, cari menu yang mudah dan murah sahajalah, berniaga makin susah sekarang. Modal semakin mahal, untung makin mengecil,” bebel encik Din lagi.

“Saya faham encik Din. Masalah harga barang makin naik ini bukan masalah baharu. Sejak zaman Barisan Nasional, masuk Pakatan Harapan kemudian Perikatan Nasional sehingga hari ini kerajaan perpaduan, masalah ini tak pernah selesai malah semakin parah. Tapi buat masa ini kita tangguh dahulu isu ini, ya? Kami sedang membincangkan isu Sol. Isu Sol ini lebih penting sekarang tahu? Ia boleh membantu kita semua hidup sejahtera di samping membantu pertumbuhan ekonomi sebanyak 30%. Nanti dah reda isu Sol, kita bincang semula, okey?” Jawab saya tapi cuma dalam hati. FMT

Ronasina adalah nama pena Mohd Affandi Ramli

Sol oh Sol!

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wajah cantik, nasi lemak laku keras

Puteri Sarah sindir Syamsul

Zahid dah beritahu sedia untuk bertarung – Khairy

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker