Skim pengeluaran awal KWSP hingga RM30,000 dimohon pencarum

Sekumpulan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertimbangkan satu lagi skim pengeluaran awal KWSP sehingga RM30,000.

Mewakili pihak pencarum, Presiden Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) Khairul Anuar Othman berkata pengeluaran awal diperlukan sebagai penyelesaian jangka pendek bagi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Ada di kalangan pencarum ketika ini mempunyai tunggakan pinjaman bank yang perlu diselesaikan. Tidak kurang juga yang hilang pekerjaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dua tahun yang lalu dan baru memulakan pekerjaan serta memerlukan sumber kewangan, ada juga yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan selepas kehilangan pekerjaan.

“Pengeluaran KWSP terbukti akan menggalakkan proses pemulihan ekonomi, kerana pemulihan aliran wang akan berlaku melalui pembelian barang keperluan, pembayaran hutang, pembayaran bil-bil tertunggak, perbelanjaan untuk anak-anak sekolah,” katanya ketika sidang media di Subang Jaya hari ini.

Sekiranya permohonan pengeluaran awal ini diluluskan, ia akan menjadi pusingan kelima pengeluaran awal KWSP dalam tempoh tiga tahun. Pengeluaran awal sebelum ini di bawah skim i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.

Seorang pencarum, yang hanya mahu dikenali sebagai Ann, berkata dia memerlukan wang itu untuk menyelesaikan hutangnya selepas diberhentikan daripada kerjanya sebagai pengurus kanan undang-undang pada Nov 2020.

Daripada pendapatan lima angka setiap bulan sebelum wabak hingga hampir diisytiharkan muflis, Ann berkata pengeluaran awal itu sebagai “pilihan terakhir”.

“Saya sangat bersyukur dengan skim pengeluaran sebelum ini kerana ia sangat membantu saya untuk bayar bil.

“Dengan wang ini saya boleh bertahan dengan bajet yang cukup-cukup makan untuk sekurang-kurangnya lima bulan lagi,” kata penterjemah bebas berusia 52 tahun itu kepada Malaysiakini.

Simpanan asas KWSP menyasarkan sekurang-kurangnya RM240,000 yang diperlukan untuk membiayai persaraan seseorang dari 55 hingga 75 tahun.

Ann, yang mempunyai baki tiga tahun untuk mencapai umur kelayakan persaraan, percaya bahawa pengeluaran itu akan membantunya “bangkit semula”, walaupun ini bermakna dia terpaksa melupakan simpanan persaraannya.

“Saya rasa kerajaan perlu mempercayai kami (untuk menguruskan diri kami ketika waktu persaraan) kerana kami tahu apa yang berlaku dalam situasi kami. Kita akan tahu macam mana untuk bertahan.

“Saya hanya tinggal tiga tahun lagi untuk mencapai umur 55 tahun. Itupun saya akan terus bekerja.

“Bagaimanapun, dengan dana ini kami boleh melepasi halangan yang ada di depan. Saya boleh mengambil pensijilan terjemahan supaya dapat lakukan kerja saya dengan pensijilan,” tambahnya.

Seorang lagi pencarum yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, dia memerlukan wang itu untuk membayar bil perubatan, sewa dan perbelanjaan bulanan.

“Kami telah meminjam daripada ahli keluarga, tetapi akhirnya mereka akan meminta kita berhenti berbuat demikian.

“Bukannya kami tidak cuba mencari kerja, saya sebelum ini seorang akauntan tetapi telah ditamatkan perkhidmatan semasa perintah kawalan pergerakan sewaktu pandemik Covid-19. Saya tidak dapat pekerjaan sejak itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Lina, 50, dia tidak mampu membuat pemeriksaan kesihatan walaupun berisiko tinggi menghidap kanser kerana tidak mampu membayarnya.

“Ia benar-benar menjejaskan saya. Saya harap perdana menteri akan mempertimbangkan permintaan kami,” katanya.

Pada Mac 2022, ketika masih menjadi ketua pembangkang, Anwar menyeru kerajaan ketika itu untuk membenarkan pengeluaran awal KWSP.

Presiden PKR itu pada awalnya keberatan untuk menyokong dasar sedemikian pada masa lalu kerana ia memberi kesan kepada simpanan masa depan rakyat, tetapi mengakui perlunya pengeluaran tersebut kerana keadaan yang sedang terdesak.

Tidak lama selepas itu, Putrajaya mengumumkan pengeluaran pusingan keempat RM10,000 untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, KWSP berkata ia adalah pengeluaran awal terakhir yang dibenarkan.

Bekas timbalan menteri kewangan Mohd Shahar Abdullah memberitahu Dewan Negara pada Ogos tahun lepas bahawa tahap simpanan ahli KWSP adalah rendah, berikutan empat pusingan pengeluaran sebelum ini.

Dia berkata, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada keseluruhan 12.78 juta ahli KWSP berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 setakat Jun 2022.

Azman Abidin, setiausaha politik Anwar Ibrahim yang menerima memorandum ProRakyat hari ini berkata bahawa dia akan menyerahkannya kepada perdana menteri untuk pertimbangan.

“Sebarang keputusan sama ada mempertimbangkan dan meluluskan permohonan ini adalah budi bicara dan kebijaksanaan PM,” katanya.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wajah cantik, nasi lemak laku keras

Puteri Sarah sindir Syamsul

Zahid dah beritahu sedia untuk bertarung – Khairy

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker