Menteri nafi Khazanah akan suntik RM5 bilion kepada Malaysia Airlines

Tidak ada peruntukan daripada Khazanah Nasional Bhd untuk Malaysia Airlines Bhd sebanyak RM5 bilion, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Malah Ahli Lembaga Pengarah Khazanah itu turut berkata tiada perbincangan diputuskan oleh sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu.

“Sebagai ahli Lembaga Pengarah Khazanah ini kali pertama saya dengar laporan (Khazanah akan suntik RM5 bilion kepada MAS).

“Saya tidak pernah dengar dakwaan itu, sama ada daripada Pengerusi MAS ataupun CEO Khazanah yang mereka akan suntik peruntukan kepada MAS.



“Jika itu berlaku, ia terpulang pada syarikat berkenaan dan setahu saya Kementerian Kewangan tidak membuat peruntukan untuk memasukkan duit kepada MAS,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), hari ini.

Media semalam melaporkan bahawa Khazanah sedang mengkaji untuk menyuntik dana sehingga RM5 bilion kepada Malaysia Airlines Bhd.

Ia bertujuan membantu syarikat penerbangan nasional itu menghadapai kesan penularan Covid-19 yang menyaksikan penurunan ketara penumpang perjalanan.



Laporan itu berkata, perbincangan sedang berlangsung dengan Khazanah, yang mana sentiasa menyokong usaha dalam menangani kesan pandemik wabak itu.

Bagaimanapun, jumlah suntikan itu tidak dinyatakan.

Ditanya sama ada kerajaan akan membantu syarikat penerbangan yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19, Tengku Zafrul menjawab: “Tidak ada”. – MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker