Bantu suspek ‘scam’ lari, 2 rakyat Malaysia dipenjara di Singapura

Bantu suspek ‘scam’ lari, 2 rakyat Malaysia dipenjara di Singapura

Dua rakyat Malaysia dipenjara setahun oleh Mahkamah Daerah di Singapura selepas mengaku salah membantu sepasang suami isteri yang dikaitkan dengan kes penipuan barang mewah bernilai SGD32 juta (RM103 juta) untuk melarikan diri dari republik itu.

Mohamed Alias, 40, dan Mohamad Fazli Abdul Rahman, 38, mengaku salah membantu rakyat tempatan, Pi Jiapeng dan isterinya warga Thailand Pansuk Siriwipa untuk meninggalkan Singapura secara haram. Mohamed Alias dan Fazli bekerja di syarikat logistik sama di Malaysia.



Menurut laporan Straits Times, seorang kenalan Fazli yang hanya dikenali sebagai “Anson” menghubunginya sekitar 3 Julai, memintanya mencari pemandu untuk menyeludup keluar dua orang dari Singapura ke Johor menerusi Pusat Pemeriksaan Tuas pada 4 Julai.

Fazli bersetuju melakukannya dengan bayaran RM16,000, dan mendapatkan khidmat Mohamed Alias, pemandu lori yang kerap membuat penghantaran dari Malaysia ke Singapura, juga dengan bayaran upah.

Pada 4 Julai, dia memandu lori bernombor pendaftaran Malaysia ke sebuah lokasi simpanan di Ang Mo Kio untuk membuat penghantaran, sebelum Pi dan Pansuk pergi ke situ dan menaiki kenderaannya.

Ketika menghampiri Pusat Pemeriksaan Tuas, Mohamed Alias mengarahkan pasangan itu menyorok di bahagian belakang kenderaan itu. Mereka berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, dan Mohamed Alias menghubungi Fazli sebaik mereka memasuki Johor.



Mohamed Alias kemudian menurunkan Pi dan Pansuk di satu jejambat sebelum pasangan itu diambil pemandu lain yang tidak dikenal pasti.

Fazli menerima RM16,000 daripada Anson pada 5 Julai, dan menyerahkan RM11,000 kepada Mohamed Alias. Bagaimanapun, mereka akhirnya dijejak polis dan Mohamed Alias ditahan pada 14 Julai manakala Fazli pula 15 hari kemudian.

Ketika rayuan bagi meringankan hukuman, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam bela berkata mereka mempunyai tanggungan keluarga di Malaysia.

Pi dan Pansuk, kedua-duanya berusia 27 tahun, didakwa gagal menghantar barangan mewah bernilai SGD32 juta kepada pelanggan. Pasangan itu dilaporkan menipu mangsa untuk mempercayai mereka membeli jam tangan dan beg tangan mewah, tetapi tidak menghantar barangan berkenaan.



Pi yang berasal dari China pada mulanya ditahan polis Singapura pada 27 Jun. Pasportnya dirampas, dan dia dilepaskan dengan jaminan SGD15,000 (RM48,000) pada keesokannya.

Pansuk pula membantu siasatan polis, dan telah menyerahkan pasportnya pada 30 Jun. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dapat dijejak polis dan meninggalkan Singapura pada 4 Julai menyebabkan waran tangkap dan notis merah Interpol dikeluarkan terhadap mereka.

Pasangan itu ditahan di Johor Bahru pada 11 Ogos sebelum didakwa di mahkamah Singapura sehari kemudian. FMT

Bantu suspek ‘scam’ lari, 2 rakyat Malaysia dipenjara di Singapura




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu dan anak terbabas dalam lubang kabel bawah tanah di Jalan AU3 Setiawangasa [VIDEO]



Enam wanita gedik berjoget tiba-tiba ditelan bumi [VIDEO]

Pelakon ditipu artis veteran tuntut RM8.58 juta



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker