Binatang politik: Yang pasti UMNO bukan katak – Ahmad Zahid


KEMARAHAN UMNO terhadap kenyataan kononnya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr. Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan ‘Kluster Mahkamah’ sebagai binatang politik masih belum pudar walaupun telah beberapa hari berlalu.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi misalnya menyindir, walaupun digelar sebagai binatang yang pasti UMNO bukan katak. Istilah katak tersebut merujuk kehadiran beberapa bekas wakil rakyat UMNO yang ‘melompat’ masuk ke dalam Bersatu selepas parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebahagian pimpinan UMNO dilabelkan sebagai binatang politik oleh pemimpin Bersatu. Kita tidak pasti binatang apa yang disamakan itu, tetapi yang pasti bukan haiwan bergelar katak.

“Mustahil mereka tergamak menyamakan pemimpin UMNO yang setia dengan katak,” kata Ahmad Zahid.

Pada 19 April lalu sebuah portal menerbitkan berita bertajuk ‘Kluster Mahkamah’ ini binatang politik – pemimpin Bersatu’.

Portal berkenaan melaporkan Muhammad Faiz menyifatkan “Kluster Mahkamah” sebagai binatang politik yang mempergunakan Ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.

“Mereka menjadikan wadah ‘Ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya.

Portal itu menyatakan, Muhammad Faiz tidak menamakan secara khusus pihak itu, bagaimanapun istilah “Kluster Mahkamah” biasanya diguna untuk merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan perbicaraan kes mahkamah selepas kejatuhan BN dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun Muhammad Faiz Na’aman menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Kluster Mahkamah Penghalang Penyatuan Ummah”.

Sambil menegaskan tidak pernah berbuat demikian, beliau turut menyifatkan ia sebagai satu fitnah dan tidak benar sama sekali.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberikan nasihat kepada ahli UMNO terhadap fitnah yang dilemparkan kepada parti itu.

“Namun apa perlu UMNO melayan salakan tidak tentu arah itu? Salakan amarah kerana majoriti pemimpin UMNO enggan menggadaikan parti keramat agama, bangsa dan negara ini.

“Fahami ungkapan bermakna al Imam Al Syafie; Katakanlah apa yang kamu inginkan dalam mencela maruahku, maka diamku dari cercaan itu adalah satu jawapan.

“Bukanlah aku tidak memiliki jawapan, Akan tetapi apakah singa perlu melayan salakan anjing?” tulis Ahmad Zahid di Facebooknya.

‘Kluster binatang’ itu yang lompat parti – Muqharabbin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker