Penjual dadah kini ketuai solat

Penjual dadah kini ketuai solat

Klang: “Ada yang pandang serong keadaan fizikal (tatu) saya. Namun saya tidak kisah..apa yang utama adalah ikhlas dalam setiap amal perbuatan dilakukan ke jalan Allah SWT,” ujar bekas tokan dadah, Samad, 37, yang kini menjadi imam solat madrasah.

Sehingga kini dia masih memiliki tiga tatu pada betis kiri, lengan kiri dan bahu kiri berbentuk ular, abjad R serta kapal layar.

“Sudah lapan kali saya keluar masuk penjara bermula 2006 kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah heroin dan syabu. Malah saya turut berjinak-jinak menjadi pengedar dadah di sekitar Melaka.



“Ahli keluarga saya pernah cuba memujuk untuk berubah, namun nasihat itu tidak diendahkan malah menjadikan saya lebih liar sebelum diberkas polis,” katanya.

Menurutnya, semasa berada di penjara, dia turut bergaul dengan beberapa banduan yang mendorongnya supaya menambah tatu pada tubuh.

“Sebaik dibebaskan dari penjara pada 2019, ahli keluarga memaksa dan menghantar saya ke Madrasah Darul Solihin dalam usaha mereka untuk melihat saya berubah ke jalan benar,” katanya yang berasal dari Krubong, Melaka.

Menurutnya, dia mula mendekatkan diri kepada Islam dengan membaca al-Quran serta menghafaz surah Yasin ketika dalam proses pemulihan.



“Saya akan bangun awal untuk menunaikan solat Subuh setiap hari disusuli membaca Yasin serta wirid. Saya rasa seronok dengan ilmu agama dipelajari hingga kini mampu menjadi imam kepada penghuni madrasah serta ahli keluarga.

“Jika saya tidak berada di sini (madrasah), saya pasti masih menetap di sel penjara. Saya nekad menjadikan madrasah ini tempat terakhir saya di dunia dan mahu mencurahkan bakti kepada pusat ini dengan kudrat yang ada,” katanya yang bekerja sebagai buruh di kawasan berhampiran madrasah berkenaan.

Ditanya mengenai tatu pada tubuh badannya, Samad memaklumkan sudah merujuk perkara itu kepada pakar.

“Saya sudah merujuk perkara ini kepada guru dan mereka memaklumkan ia tidak perlu dibuang jika proses membuang tatu berkenaan membawa kepada kemudaratan kesihatan. Namun saya memang ada keinginan untuk menghilangkannya,” katanya.



Bekas ketua kongsi gelap syukur sempat berubah

Klang: “Saya sia-siakan hidup selama 30 tahun dengan keluar masuk penjara. Sudah tiba masanya kini saya berubah mencari keredaan Tuhan,” ujar seorang ‘tahi dadah’ dan ketua kongsi gelap Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50.

Dia adalah antara puluhan penghuni di Madrasah Darul Solihin, di sini, yang kini mahu berhijrah dan mengubah hidup 360 darjah.

Menceritakan semula sejarah hitam dalam hidupnya, Ahmad berkata, dia sudah tiga kali menghuni penjara dan pusat pemulihan kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah heroin serta syabu sejak berusia 25 tahun.

“Ketagihan dadah menyebabkan saya terbabit dengan jenayah mencuri motosikal. Malah, saya turut menyertai aktiviti kongsi gelap sebelum menubuhkan kumpulan sendiri yang bergerak sebagai samseng kaki pukul,” katanya ketika ditemui di madrasah berkenaan di sini.

Ahmad berkata, rasa megah dan mahu digeruni menyebabkan dia aktif dalam kegiatan kongsi gelap yang giat melakukan jenayah peras ugut, pengedaran dadah dan mendapatkan wang perlindungan.

“Malah, saya dan anak buah rata-rata berusia 40-an tidak teragak-agak mencederakan sesiapa termasuk membelasah pesaing.

“Namun apabila saya ditangkap dan berada dalam penjara, kumpulan kongsi gelap itu berada dalam keadaan terumbang-ambing tanpa ketua sebelum terbubar,” katanya.

Beliau yang berasal dari Teluk Gong di sini, berkata, atas nasihat berterusan ahli keluarga, dia dicadangkan supaya mendalami ilmu agama dan berubah ke arah kebaikan.

“Nasihat itu ternyata menyentuh hati saya untuk berubah selepas pintu hati saya terbuka untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya yang mempunyai lima anak berusia antara 16 hingga 26 tahun.

Menurutnya, dia terlebih dahulu diasingkan selama sebulan ketika memasuki madrasah itu bagi memastikan dirinya benar-benar berubah.

“Jujurnya, saya pernah rasa tertekan ketika berada di sini kerana ‘dikurung’ selama sebulan selain terpaksa membuang rasa ketagihan dadah. Namun lama-kelamaan saya mula menerima proses itu secara semula jadi dengan mengamalkan zikir serta menunaikan solat bagi mengatasinya.

“Apabila berada di sini, saya mendapat segala ilmu, zikir dan dapat menunaikan solat berjemaah bersama rakan lain menyebabkan saya rasa dekat dengan Tuhan.

“Disebabkan itu, saya mahu pastikan ilmu agama diperolehi di sini disampaikan kepada anak-anak supaya mereka juga sentiasa menunaikan solat. Saya tidak mahu mereka mengikut jejak langkah saya,” katanya.

Curi duit ibu RM15k buat beli dadah

Klang: Tergamak melarikan wang tunai RM15,000 milik ibu kandung semata-mata mahu membeli dadah syabu untuk ‘disedekahkan’ kepada rakan-rakan karib.

Itu antara tindakan liar remaja berusia 16 tahun dikenali sebagai Daniel yang kini menjadi penghuni Madrasah Darul Solihin, di sini, sejak 2019.

Menceritakan semula kejadian itu, Daniel berkata, dia mula terjerumus dengan penyalahgunaan dadah seawal usia 12 tahun akibat terpengaruh dengan rakan-rakan yang menghisap dadah syabu.

“Susulan itu saya sering mengambil (curi) duit ibu yang juga seorang peniaga untuk membeli dadah.

“Tidak cukup dengan itu, saya mencuri wang milik ibu berjumlah RM15,000. Semua wang itu digunakan untuk membeli dadah sebelum ‘dihadiahkan’ kepada rakan-rakan.

“Saya gunakan semua wang itu untuk membeli syabu. Selepas kejadian itu, saya menghilangkan diri selama tiga hari kerana menyedari ‘diburu’ ibu,” katanya.

Daniel yang juga anak bongsu daripada lima beradik berkata, dia melarikan diri ke rumah rakannya di Sijangkang, Kuala Langat, sebelum ditemui ibunya beberapa hari kemudian.

“Ibu yang tidak membuat laporan polis berhubung kes itu (kecurian wang) bertindak menghantar saya ke madsarah ini secara paksaan. Mulanya saya memberontak dan curi melarikan diri.

“Saya juga enggan mendengar nasihat serta arahan diberikan tenaga pengajar sebagai tanda protes tidak mahu berada di sini. Namun, kesungguhan tenaga pengajar untuk mendekati saya menyebabkan hati saya tersentuh,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hampir tiga tahun berada di madrasah itu, dia mempelajari mengenai adab dan ilmu agama yang membantunya berubah untuk menjadi insan lebih baik.

“Kini saya sudah mula menyesuaikan diri dengan tempat serta persekitaran baharu untuk saya berubah menjadi orang yang lebih baik.

“Malah saya mahu mengejar cita-cita membuka bengkel motosikal suatu hari nanti,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana ahli keluarganya berterusan memberikan sokongan supaya dia terus berubah menjadi insan yang baik.

“Saya juga bersyukur kerana meskipun saya adalah antara individu paling muda berada di madrasah ini, namun penghuni lain sentiasa memberi dorongan. Saya amat menghormati mereka yang diibaratkan seperti keluarga sendiri,” katanya. HM

Penjual dadah kini ketuai solat
Penjual dadah kini ketuai solat


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Lizzy bikin panas lagi

Dah halau dari Rembau, jangan halau dari KKM pula – Khairy

Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker