Pengakuan PAS

Pengakuan PAS

oleh Mohsin Abdullah

Pengumuman PAS (menerusi Ketua Pengarah Pilihan Raya Muhammad Sanusi Md Nor) bahawa parti itu akan bertanding 80 kerusi Parlimen pada PRU15 mengejutkan. Maksud saya “surprising” bukan “shocking”.

Sebab? Tentulah menyusuli pengumuman itu pertanyaan: Bersatu tanding berapa kerusi kalau PAS dah ambil 80? Umno pula berapa? Kalau Umno berbaik semula dengan PAS dalam Muafakat Nasional berdasarkan ‘minat berterusan’ PAS memikat Umno tetapi pada masa sama nampak menyakiti parti pimpinan Zahid Hamidi itu.

Tentulah semua atau sekurang-kurangnya urusan dengan Bersatu mengenai pengagihan kerusi sudah dibereskan, betul tak? Jika tidak, masakan ketua pengarah pilihan raya PAS sendiri mengumumkan di hadapan ratusan jika tidak ribuan pemimpin, perwakilan dan penyokong pada muktamar di Kota Sarang Semut, secara langsung atau maya.

Kata Sanusi lagi, PAS akan bertanding 80 kerusi, yakni separuh daripada yang ditandinginya pada PRU14, di mana ia sudah disenaraikan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat. “Mana-mana kawasan yang tidak capai KPI akan digugurkan dan diganti dengan kawasan lain yang didapati ada peningkatan prestasi baik dari segi persiapan jentera mahupun keperluan keperluan lain untuk menghadapi pilihan raya.”

Semua yang disebut di atas saya petik Harakahdaily yang melaporkan Sanusi berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohad Noor, Kompleks PAS Kedah.

Oleh itu, sememangnya sah Sanusi berkata seperti yang dilaporkan kerana Harakahdaily selaku media rasmi PAS tidak mungkin memutar belit kenyataan dan ucapan pemimpin PAS.

Lantas berdasarkan apa yang diumum Sanusi di khalayak di muktamar parti – jika berubah pun kawasan yang tidak capai KPI akan diganti dengan kawasan lain. Ertinya 80 kerusi kekal ditandingi PAS. Yang mungkin berubah kawasan bukan jumlah.

Tidak salah kalau pengumuman yang dibuat Sanusi 4 Sept lalu dilihat direstui Presiden Hadi Awang dan saf kepimpinannya yang semuanya hadir di atas pentas ketika ketua pengarah pilihan raya berkata apa yang beliau kata.

Lalu diulangi: Berapa kerusi Bersatu (parti yang mengepalai Perikatan Nasional) tanding PRU15 ini? Di mana PAS tanding dan di mana pula Bersatu? Kerana kedua-dua parti Melayu-Islam pastinya mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu-Islam. Tidak perlu jadi ahli sains politik untuk merumuskan itu dan tahu betapa penting dan sensitifnya isu pengagihan kerusi.

Selesai muktamar, media menemui Sanusi untuk penjelasan lanjut. Beliau beritahu sebenarnya sasaran PAS tanding 80 kerusi Parlimen belum dibincangkan bersama rakan gabungan Perikatan Nasional.

Kata beliau, pembahagian kuota bagi kerusi yang ditandingi akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan. Mungkin beliau terlupa dan terlepas pandang faktor ini ketika membuat ucapan penggulungannya di muktamar tempoh hari.

Sehari selepas muktamar iaitu 5 Sept 2022 Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik media mengesahkan partinya belum memuktamadkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi.

Menurut beliau segala keputusan berkenaan kerusi yang ditandingi PAS akan dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat parti. Kata Tuan Ibrahim lagi, “itu (80 kerusi) bukan jumlah kerusi kami bertanding. Itu kerusi yang kami pantau. Jumlah kerusi akan kami bincang di peringkat parti. PN belum putuskan kawasan parti bertanding. Bagaimana pun setiap parti akan buat pemantauan kerusi yang kami rasa kami boleh menang.”

Bercakap mengenai kerusi yang PAS “rasa boleh menang”, Sanusi pada ucapan penggulungannya mensasarkan menang “sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen.

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera PIlihan Raya PAS sempena muktamar berkata, “kita mesti bekerja bersungguh-sungguh supaya kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi Parlimen,” menurut laporan Harakahdaily.

“Menang sekurang-kurangnya 40,” kata Sanusi, “menang tidak kurang 40,” kata Amar. Bagi saya, itu bermakna PAS mesti atau mahu bertanding lebih 40 kerusi untuk menang “sekurang-kurang” dan “tidak kurang” 40 kerusi .

Apa yang dikatakan Sanusi menerusi ucapannya amat menarik. Kata beliau, sekiranya PAS menang 40 kerusi Parlimen, tidak ada mana-mana parti yang dapat membentuk kerajaan persekutuan “tanpa melibatkan sama PAS sebagai gabungan.” Sekali lagi saya memetik Harakahdaily.

Pada hemat saya, ini bermakna PAS tidak ada masalah membantu mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan asalkan “usaha” menubuh kerajaan membabitkan PAS. Dalam lain perkataan, PAS mahu jadi “penentu” atau “king maker”.

Hasrat menjadi “king maker ” bukan sesuatu yang baharu untuk PAS. Pemimpin parti sudah lama dan kerap bercakap mengenainya. Dengan hujah terbaharu melalui Sanusi, jelas hasrat jadi “king maker” masih dipegang kuat PAS masih membara.

Bagi ketua Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, dengan mensasarkan menjadi “king maker” PAS boleh mengugut kerajaan yang dibentuk.

“Itu satu pendekatan merbahaya kerana akan memberi ugutan. Umpamanya (dengan menjadi) ‘king maker’ maknanya kami (PAS) nak jawatan menteri dan kedudukan,” kata Anwar yang juga presiden PKR. Suka Anwar atau tidak, setuju atau sebaliknya terpulang.

Namun secara am, lazimnya pihak yang menabur budi (memberi pertolongan serta bantuan) akan menjangka dianugerah sesuatu daripada pihak yang menerima budi yang mereka hulur.

Dalam politik, tabur budi jarang dilakukan semata-mata untuk dapat pahala. Mungkin bukan jarang-jarang tetapi tidak pernah terjadi. Ini realiti. FMT

Pengakuan PAS


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dah bagi Signal Pun Kena Tendang (Video)

Saya tak sekeji dakwaan Puteri Balqis

Ayda Jebat kahwin kerana harta Nabil?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker