Inovasikan kaedah GST ikut keadaan semasa

 

[WAWANCARA] Ketika kerajaan mahu memansuhkan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTR), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali cenderung untuk mengekalkan sistem berkenaan dengan idea menurunkan kadar kepada sifar peratus agar mudah dinaikkan tanpa perlu dibawa ke Parlimen.

Beliau yakin sekiranya sistem cukai itu dilaksanakan semula, kerajaan perlu memastikan pengoperasian dan kaedahnya sudah tersedia dan lebih stabil.

Penentuan kadar juga perlu dikaji semula dan kaedahnya perlu diinovasikan agar bersesuaian dengan keadaan semasa.

Dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Ahad, Dr Noor Azlan yang juga merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) berkongsi pandangan dan cadangan mengenai sistem percukaian negara.

Ikuti wawancara eksklusif yang dikendalikan wartawan Sinar Ahad, Diana Azis bersama jurukamera, Rosli Talib di Kuala Lumpur pada Jumaat.

 

SINAR AHAD: Boleh terangkan peranan Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM).

NOOR AZLAN: Sejak Mac 2020 dengan pembentukan kerajaan baharu, serentak pandemik Covid-19 seterusnya merebak ke krisis ekonomi, kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan pada ketika itu saya diminta untuk mengetuai Sekretariat MTE sebagai Pengarah Eksekutif. Saya juga dilantik sebagai Ahli MTE.

Setelah dua tahun dan menerusi perbincangan, saya mendapat izin untuk pulang ke UKM dan diminta menerajui sebuah institut iaitu Minda UKM yang baharu ditubuhkan.

Ia merupakan sebuah institusi awam yang berfungsi membantu negara untuk terus membangun, maju dan bersifat inklusif.

Institut ini masih baharu ditubuhkan iaitu pada 15 Mei lalu dengan kebenaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan masih di peringkat awal.

Namun demikian, saya terus terlibat dalam perbincangan MTE, maka Minda UKM secara automatiknya terlibat dalam tugasan yang penting untuk negara.

Sebagai contoh isu ayam baru-baru ini, Minda UKM bersama Sekretariat MTE bertemu dengan penternak ayam, melawat ladang dan melihat permasalahan ini dengan lebih dekat dan seterusnya akan ada lagi perbincangan berkaitan perkara yang boleh memajukan negara dalam konteks sains dan teknologi, sumber manusia, mengurangkan jurang antara lapisan pendapatan serta wilayah. Semua ini pasti menjadi teras utama Minda UKM.

Peranan MTE pula merupakan kesinambungan pada 1997 apabila negara menangani krisis kegawatan ekonomi Asia Timur.

Pada ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri telah mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) kemudian tanggungjawab majlis ini berubah mengikut era dan kepimpinan dari masa ke semasa.

Terkini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, kita bincang untuk melihat semula kepada mandat fokus MTE dan penekanan lebih kepada untuk membawa ekonomi ke hadapan. Kita kurang berbincang mengenai isu krisis dan tumpu kepada isu struktur yang perlu ditangani bagi membawa Malaysia ke hadapan, berkait isu alam sekitar, pertanian, banjir dan sebagainya.

 

– Baru-baru ini berlakunya krisis antara Rusia dan Ukraine yang dilihat telah menjejaskan ekonomi dunia. Bagaimana Tan Sri melihat kesannya kepada Malaysia?

Secara mudahnya, hubungan ekonomi antara Malaysia dan kedua-dua negara ini dalam urusan import eksport dan pelaburan tidak banyak, tetapi Rusia merupakan pembekal tenaga yang penting kepada Eropah. Eropah merupakan rakan dagangan besar untuk Malaysia.

Apabila Eropah terjejas maka Malaysia kena tempias. Serentak dengan itu berlaku Covid-19 di China, yang mana telah membuat polisi sifar Covid dan menutup wilayah Shanghai.

Apabila China membuat keputusan itu, ia telah merencatkan rantaian pembekalan dunia. Ini bermakna, pelabuhan tidak dibuka, bekalan tak masuk, Malaysia terjejas kerana jadi laluan penting.

Saya terjemahkan perkara ini sebagai ‘doest it tell us more than that?’ Adakah ia juga memaklumkan kepada kita mengenai kebergantungan Malaysia kepada sumber luar negara.

Ini bagi saya, apabila isu semasa hilang, adakah perbincangan ini akan diteruskan? Dulu pada 2008 ketika harga minyak naik, kita bincang mengenai keselamatan makanan, lepas itu hilang. Sekarang Rusia-Ukraine, lepas ini apa pula? Bagi saya penting untuk kita bincang mengenai isu struktur.

 

– Ketika ini dunia sedang berdepan dengan krisis makanan dan Malaysia tidak terkecuali. Apakah kesan situasi ini kepada ekonomi rakyat dan bagaimana kita mampu bertahan?

Antara kesan langsung apabila bekalan berkurangan, harga akan meningkat. Itu ‘simple law’ dalam ekonomi.

‘Supply’ kurang, permintaan masih ada dan kebetulan sekarang sedang musim perayaan. Ada isu permintaan yang terpendam.

Pelancongan dendam, contohnya sudah dua tahun orang tak boleh keluar melancong, buka sempadan, orang dah mula keluar.

Apabila dibenarkan mobiliti (pergerakan), maka secara automatik beberapa dimensi ekonomi juga bergerak.

Bererti bekalan telah berkurangan, tetapi permintaan meningkat, maka harga akan meningkat.

Saya kira apa yang berlaku pada hari ini isu utama adalah dalam konteks kos sara hidup rakyat dan orang akan tumpu kepada makanan. Tetapi jangan lupa ada tiga komponen utama yang sebenarnya pokok dalam kos sara hidup.

Saya harap kerajaan dapat menumpukan kepada tiga komponen ini iaitu makanan, perumahan dan pengangkutan.

Peratusan rakyat Malaysia yang berbelanja banyak adalah untuk tiga perkara ini iaitu antara 60 hingga 70 peratus purata daripada ‘basket’ perbelanjaan mereka.

Kos sara hidup ‘terasa’ dengan perbelanjaan, jadi lebih kurang 60 hingga 70 peratus tidak kira golongan B40 hingga T20 akan gunakan pendapatan mereka untuk belanja tiga komponen ini.

Jika mahu kurangkan kesengsaraan rakyat dalam isu kos sara hidup, tumpulah kepada tiga komponen itu, barulah ‘material’. Sekarang kita menifestasi isu harga makanan.

Kalau saya boleh nak anjurkan, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hanya tumpu kepada tiga perkara ini dahulu sebagai keutamaan.

Yang lain juga penting seperti pendidikan dan kesihatan tetapi desakan adalah kepada tiga perkara itu. Kerajaan perlu memberi lebih tumpuan khusus kerana ia bukan isu baharu, sudah lama. Kita mahu ada kerangka yang menyeluruh bagaimana untuk tanganinya.

Siapa yang nak tangani dan apa ukuran boleh dibaca sebagai petunjuk prestasi yang kita berjaya tangani isu ini.

Kerajaan tahu situasi ini, cabaran kita lebih kepada menangani isu ini hingga akhirnya, maksudnya melaksanakan tindakan dengan perekonomian yang betul dan sewajarnya serta membawa kepada penyelesaian yang sustainable (mampan). Kalau setakat bagi bantuan, ia hanya bantuan bukan penyelesaian. Bagaimana di hujungnya nanti? The end goal bagaimana?

 

– Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjangkakan kerajaan perlu menampung subsidi lebih tinggi bagi 2022. Apa yang perlu dilakukan bagi memastikan kerajaan terus mampu untuk memberikan subsidi kepada rakyat?

Kita tangani secara sustainable, maksudnya apabila kita memperkenalkan subsidi, ia adalah bantuan sementara, ia tidak menyelesaikan apa-apa masalah hanya meringankan masalah sama ada kepada pengguna atau penternak.

Kalau kita lihat kepada fiskal kerajaan, kita ada pendapatan dan perbelanjaan. Kerajaan perlu pastikan perbelanjaan mesti menjamin ‘fiscal sustainability’, kekuatan fiskal.

Jadi inilah yang Menteri Kewangan bincangkan, jumlah subsidi meningkat, yang besar ialah emolumen, subsidi dan bekalan.

Keputusan untuk rasionalisasikan subsidi telah dibuat ketika Datuk Seri Najib (Perdana Menteri), iaitu subsidi bersasar.

Bila kerajaan mahu ubah subsidi penternak kepada rakyat yang memerlukan, itu bersasar, lebih baik daripada ‘blanket’, kalau tidak, semua orang termasuk yang berpendapatan tinggi juga dapat harga ayam yang murah, itu tidak betul.

Penting untuk rakyat beri ruang kepada kerajaan memikirkan cara terbaik supaya fiskal terjamin.

Saya tidak kata semua subsidi mesti dihapuskan, namun rasionalisasikan subsidi bererti memastikan subsidi yang diberi oleh kerajaan adalah cekap, bermaksud tujuan yang betul, sampai kepada orang yang betul dan ia tidak memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara.

Maka ia tidak boleh jadi selamanya subsidi, tidak boleh subsidi kepada semua orang dan pembayarannya mesti cekap dan pergi kepada orang yang betul.

 

– Pada pandangan Tan Sri, dengan peningkatan subsidi ini adakah sudah tiba masa untuk kerajaan melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST)?

Tanggungjawab untuk membayar cukai perlu diterjemahkan dengan betul, bahawa ianya tanggungjawab semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh beremosi.

Malaysia sudah beralih kepada negara kompleks dari segi cara hidup. Keperluan perkhidmatan awam dan infrastruktur yang lebih baik, dituntut oleh semua orang.

Maka kita perlu melihat kaedah percukaian ini lebih cekap, adil dan sesuai dengan kedudukan negara sekarang.

Ketika kita perkenalkan GST, konsep dan kerangka percukaiannya jauh lebih baik daripada tidak ada, cuma isu perlaksanaan, ketika permulaannya tidak dinafikan banyak isu timbul, sepatutnya kita boleh teruskan.

Ketika itu saya lebih cenderung untuk mengekalkan GST, turunkan kadar kepada sifar, jadi kita boleh naik semula pada kadar yang sesuai.

Kalau hapuskan, kena dibawa ke Parlimen semula. Isu GST tidak ramai orang tahu, malangnya ia bertembung dengan perbalahan politik dan itu dijadikan pertaruhan untuk jadi kerajaan.

Kita kena pastikan ia adil dan tidak membebankan serta buktikan kepada rakyat, walaupun ambil banyak, mereka akan dapat banyak. Rakyat akan dapat menikmati dan menyaksikan implikasinya. Bagi saya ada kewajaran untuk dibincangkan.

 

– Jika GST dilaksanakan, apa kriteria dan penambahbaikan yang perlu dibuat berbanding perlaksanaan sebelum ini?

Bagi saya kita kena pastikan sistem pengoperasian sudah cekap dan bersedia. Benar sesuatu perubahan mengambil masa dan ketika itu sudah stabil, kesan ke atas harga juga sudah stabil.

Keduanya ialah penentuan kadar dan sekiranya dirasakan enam peratus itu tinggi, jadi ambillah kadar yang lebih sesuai. Boleh berinovasi, contohnya tetapkan kadar berbeza mengikut negeri seperti di Amerika Syarikat. Mungkin kita tidak boleh buat namun kenapa tidak kita cuba fikirkan.

 

– Apakah kelemahan yang Tan Sri lihat pada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada masa ini dan jangkaan kutipan GST sekiranya dilaksanakan?

Kita boleh lihat dalam laporan kewangan, kutipan GST pada 2017 ialah RM44 bilion, pada 2021 SST lebih kurang dalam RM28 bilion. Kalau mahu kerajaan menyediakan kemudahan, perkhidmatan, membangunkan infrastruktur dengan lebih baik, kerajaan mesti ada hasil. Jangan anggap mesti bagi tunai kepada rakyat. Bagi bantuan tunai kepada rakyat kena berhati-hati, takut rakyat terbiasa dengan kebergantungan kepada kerajaan, akhirnya menjerat diri sendiri.

Saya lebih gemar jika kerajaan gunakan konsep ‘conditional transfer’ iaitu pemindahan bersyarat, sasar kepada produktiviti dan bebas bantuan. Sebagai contoh, beri bantuan kepada kumpulan sasar dengan syarat mereka harus belajar di Kolej Komuniti dalam bidang pendawaian elektrik. Apabila tamat pengajian, kerja di bangunan kerajaan dalam masa tiga tahun, selepas itu bimbing untuk buat di bangunan swasta. Jadi kejayaan kerajaan dinilai melalui berapa ramai penerima telah berjaya keluar daripada menerima bantuan, bukan makin ramai penerima.

– Bercakap tentang bantuan tunai yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), adakah jumlah itu perlu ditingkatkan?

Saya faham pemberian tunai adalah sesuatu yang menggembirakan, tetapi saya tetap merasakan kepada kumpulan yang dianggap produktif mesti diikat kepada produktiviti. Tetapi kalau warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) yang kita tahu keupayaan mereka terhad, boleh berikan tunai.

Apabila beri bantuan, kita mahu cara mudah iaitu beri secara ‘blanket’, tidak kira tinggal di mana.

Dua perkara akan berlaku (jika ubah) iaitu bebanan subsidi kerajaan akan berkurangan, orang yang menerima rasa sesuai untuk mereka. Ini ialah ‘micro targeting’. Kita perlu memperkemaskan pangkalan data supaya bantuan yang diberikan bersasar. Sudah tiba masa kerajaan buat ‘zoning’ dalam pemberian subsidi. Tidak boleh sama kerana ia amat merugikan, bila ‘blanket’ akan beri subsidi kepada orang yang tidak sepatutnya dibantu dan tukar kepada indikator yang membawa makna kemanusiaan.

– Berkenaan isu ayam, apa yang Tan Sri boleh simpulkan dan apakah cadangan terbaik dalam memastikan soal menang-menang berkaitan bekalan dan harga?

Saya lebih cenderung kepada mewujudkan pasaran yang adil, atau harga adil, bermaksud adil kepada pengguna dan adil kepada penjual. Kadang-kadang kerajaan terlalu tumpu kepada rakyat, nak beri hidup selesa hingga lupa pengeluar juga rakyat, ada kos yang perlu ditanggung. Jangan buat keputusan yang membantu rakyat tetapi dalam masa sama merencatkan industri.

Kita kena lihat secara menyeluruh. Ada empat konsep iaitu why (kenapa) beri bantuan, who (siapa) bagaimana nak kenal pasti penerima, how (bagaimana) bentuk bantuan dan when (bila) nak mula, bila nak berhenti. Masalah subsidi bila dah mula, susah nak berhenti.

Kita perlu menangani isu ini dengan menyelesaikan masalah dan tidak boleh dalam satu konteks, bila dah selesai tetapi pindah masalah kepada orang lain, itu tidak betul terutama dalam isu ayam kena lihat secara menyeluruh.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Annuar Musa akui ‘ingkar’ pada kehendak Pengerusi BN

Ajal Ketika Tukar Tayar Kereta Pancit, Dua Maut Di Rempuh Lori [VIDEO]

 

Glamor, nama sahaja tak cukup, Norman takkan masuk politik

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker