Pondok dari luar dilihat ‘papa’, di dalam mewah tular sehingga luar negara

Pondok dari luar dilihat ‘papa’, di dalam mewah tular sehingga luar negara

Seorang pemilik kedai makan di sini, tidak menyangka video Tik Tok yang memaparkan pondok miliknya yang dilihat ‘papa’ dari luar, namun mewah di dalam bukan sahaja tular di dalam negara, malah ke Indonesia serta mencapai hampir 20 juta jumlah tontonan.

Video berdurasi tiga minit 13 saat itu pada awalnya menunjukkan bahagian luaran pondok tersebut yang kelihatan sangat buruk dan usang kerana zink berkarat serta dinding papan lapis hampir roboh sehingga mengundang rasa hiba penonton.

Kesedihan serta perasaan simpati itu bagaimanapun bertukar menjadi teruja dan kagum setelah melihat dekorasi bahagian dalam pondok itu dengan tatarias sangat mewah bagaikan hotel lima bintang, diserikan dengan kemasan berwarna emas untuk sinki, tab mandi dan mangkuk tandas.

Baharuddin Mamat, 66, berkata setelah video tersebut tular, dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke kedai makannya sejak dua minggu lepas kerana mereka turut mahu melihat sendiri keunikan pondok tersebut.

“Sejak siap ubah suai dengan kos RM11,000 tiga tahun lepas, memang saya selalu terima pelawaan orang ramai yang ingin bergambar dan merakam video pondok itu untuk dimuat naik ke akaun media sosial masing-masing.

“Namun, ini pertama kali ia menjadi tular di pelbagai portal termasuk di Indonesia dan memberi impak yang sangat kuat kepada perniagaan saya, masakan asam pedas di kedai makan semakin laris dalam tempoh singkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terkenal dengan gelaran Pok Din Lejeng, dia berkata niat asalnya mengubah suai pondok tersebut adalah untuk dijadikan tempat berehat selepas kepenatan bekerja di kedai makannya yang terletak bersebelahan.

“Di sini jugalah tempat saya dan pekerja menunaikan solat, malah saya turut membenarkan pelanggan menggunakannya sekiranya tandas di kedai makan penuh. Ada juga pelanggan wanita yang menukar lampin bayi mereka di sini kerana saya mahukan mereka selesa ketika menjamu selera di kedai makan.

“Pada mulanya, kebanyakan pelanggan seolah-olah berat hati ketika saya meminta mereka menggunakan tandas dan ruangan berehat di pondok tersebut kerana dari luar, ia nampak agak ‘menakutkan’, tapi persepsi itu berubah sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam,” katanya.

Selain tandas mewah dengan rona emas, pondok itu juga mempunyai ruang bacaan, sebuah katil, penyaman udara, sistem audio dan ruang komputer.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata dirinya terhibur membaca pelbagai komen netizen di media sosial dan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus menyediakan yang terbaik kepada pelanggan kedai makannya yang terletak di Jalan Sultan Mohamad di sini.

Menurut Baharuddin, dia tidak akan mengubah suai bahagian luar pondok tersebut kerana mahu keunikan tersebut dikekalkan seperti asal.

“Saya turut berterima kasih terhadap sokongan ramai pelanggan yang datang dari jauh termasuk Johor semata-mata mahu melihat sendiri keunikan pondok ini.

“Sekiranya ia memberi kesan positif kepada industri pelancongan dan peniaga kecil-kecilan yang lain di Terengganu, saya berdoa itu menjadi amal jariah saya dan semoga lebih ramai mendapat inspirasi daripada pondok ini,” katanya. MG

Pondok dari luar dilihat ‘papa’, di dalam mewah tular sehingga luar negara


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bill Gates ramal dunia dilanda pandemik baharu 20 tahun lagi

Najib bidas Kit Siang, balun Mahathir, cakap tidak serupa bikin

Pejuang umum akan ‘perangi’ semua kerusi Bersatu dalam PRU-15

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker