Doktor pelatih bimbang stigma untuk dapatkan bantuan – MMA

Doktor pelatih bimbang stigma untuk dapatkan bantuan – MMA

Beberapa doktor pelatih yang sedang menjalani latihan siswazah (housemanship) enggan mendapatkan bantuan berhubung tekanan yang berlaku di tempat kerja kerana bimbang dengan stigma, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata doktor pelatih bimbang stigma itu secara tidak langsung akan menjejaskan masa depan mereka, terutamanya jika mereka disahkan mengalami gangguan mental yang serius.



“Tetapi mereka yang mempunyai isu berkaitan tekanan tidak seharusnya takut akan kesan sedemikian.

“Tekanan adalah tindak balas biasa apabila seseorang berasa tidak mampu untuk menghadapi sesuatu situasi. Tidak semua orang tahu cara mengatasi dengan betul dan mereka harus mendapatkan bantuan apabila ia diperlukan,” katanya kepada FMT.

Koh berkata setiap hospital mempunyai jawatankuasa untuk menangani isu yang dihadapi oleh doktor pelatih, sambil menambah perkara itu sudah dimaklumkan ketika sesi orientasi mereka.

“Bagaimanapun, sesetengah doktor sudah pun mempunyai isu berkaitan tekanan sejak di sekolah menengah atau ketika mereka berada di sekolah perubatan. Ramai yang dapat mengatasi tekanan itu namun tidak dapat mengatasinya apabila mula memasuki sesi latihan,” katanya.



Koh berkata setiap doktor pelatih akan diselia oleh pakar dan dibimbing oleh pegawai perubatan dan pegawai kanan pelatih, yang akan bertanggungjawab ke atas mereka.

“Walaupun mungkin terdapat beberapa pegawai kanan pelatih dan pegawai perubatan yang tidak menyokong, majoriti akan membimbing doktor pelatih sepanjang tempoh latihan mereka.”

MMA juga mempunyai talian bantuan bebas tol sendiri, yang dikenali sebagai HelpDoc, untuk membantu doktor pelatih yang tidak mahu menghubungi pegawai kanan mereka atas sebab privasi atau bimbang kesan yang akan berlaku, terutamanya dalam kes melibatkan buli.

“Kami telah membantu lebih 120 kes sejak 2017,” tambahnya.



Seorang doktor pelatih dilaporkan meninggal dunia pada 17 April, hanya tiga minggu selepas dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Pada Disember 2020, kes serupa melibatkan seorang lagi doktor pelatih turut berlaku di mana dia meninggal dunia, tiga minggu selepas meletak jawatan.

Mengikut undang-undang, seorang doktor pelatih perlu menjalani tempoh latihan selama dua tahun di hospital kerajaan sebelum mereka boleh dilantik sebagai pegawai perubatan berdaftar.

Koh menggesa ibu bapa supaya tidak memaksa anak-anak mereka untuk meneruskan kerjaya perubatan, terutamanya jika mereka tidak berminat untuk berbuat demikian pada awalnya kerana ia boleh menambah tekanan mereka.



“Sebagai ibu bapa, mereka harus menyokong profesion yang diminati anak-anak mereka, dan mereka mungkin akan cemerlang. Mengikuti ijazah perubatan menelan belanja yang mahal dan ia memberi lebih tekanan kepada anak mereka untuk menamatkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan,” katanya .

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa kerajaan melaksanakan dasar “toleransi sifar” terhadap keganasan di tempat kerja bagi melindungi pekerja perubatan barisan hadapan.

Ketua Pemuda DAP itu berkata, kejadian membabitkan doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang tidak sepatutnya dianggap sebagai kes terpencil dan ia tidak sepatutnya didiamkan.

“Kementerian kesihatan mesti menyediakan persekitaran selamat buat mereka (doktor pelatih) untuk mendapatkan bantuan. Dalam banyak kes, tiada saluran jelas untuk mangsa bersuara, apabila tindakan diambil (namun) sudah terlambat,” katanya.



Terdahulu Ketua Polis Timur Laut, Soffian Santong mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun katanya, polis tidak menolak kemungkinan untuk mengklasifikasikan semula kes tersebut sekiranya menemui bukti baharu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan pula menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai berhubung kematian doktor pelatih terbabit. FMT

Doktor pelatih bimbang stigma untuk dapatkan bantuan – MMA




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Drama Raya PETRONAS 366 gambaran ketabahan rakyat Malaysia (Video)

Dituduh memondan, Aliff Syukri nak saman pula

Berjuta tonton, saya akan buat konsert pula – Aliff Syukri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker