Rawatan Apa Perlu Guna Ganja? Jangan Salah Langkah, Banyak Dakyah Mengarut Atas Alasan Perubatan



Rawatan Apa Perlu Guna Ganja? Jangan Salah Langkah, Banyak Dakyah Mengarut Atas Alasan Perubatan

PERDEBATAN mengenai kewajaran dadah digunakan sebagai perubatan kembali rancak diperbincangkan apatah lagi selepas komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman didakwa atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Ada pihak bersetuju bahan terlarang itu dibenarkan penggunaannya sebagai ubat merawat pesakit manakala ada pula berpendapat sebaliknya kerana bimbang ia disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lantang bersuara mengenai perkara ini menyatakan undang-undang pengharaman perubatan kanabis sudah lapuk selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan bahan itu daripada senarai narkotik.

Bagaimanapun kata Syed Saddiq, meluluskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan bukan tugas mudah.




Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan masih hebat diperbincangkan.

Sementara itu, bercakap daripada segi perubatan, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, selain daripada ketagihan, penyalahgunaan ganja juga telah dibuktikan melalui kajian-kajian perubatan berupaya mendatangkan masalah psikologi dan mental terhadap penggunanya.

Kata Dr Suhazeli, semakin lama penyalahgunaan itu berlaku, kesan kesihatan mental juga akan menjadi lebih teruk.

“Bukan setakat kesihatan diri terjejas, tetapi kajian-kajian menunjukkan penyalahgunaan tersebut bakal mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.

“Perkara sebeginilah yang menjadi kebimbangan di pihak ahli perubatan, ganja lebih banyak merosakkan nusa bangsa berbanding manfaat yang mungkin ada tetapi sedikit,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya.




Dr Suhazeli berkata, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh National Academies of Sciences, Engineering and Medicine (NASEM USA) dari Centers of Disease Control and Prevention (CDC) dan Food and Drug Administration (FDA) menyimpulkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja.

Perkara ini turut disokong oleh badan terkemuka lain seperti the National Institute on Drug Abuse, the National Cancer Institute, the National Highway Traffic Safety Administration, the Alaska Mental Health Trust Authority, the Arizona Department of Health Services, the California Department of Public Health, the Oregon Health Authority, the Colorado Health Foundation dan the Washington State Department of Health.

1. Chronic Neuropathic Pain

Kanabis berguna untuk mengawal sejenis penyakit sarat yang dikenali sebagai chronic neuropathic pain di mana dalam keadaan ini, ganja perubatan hanyalah sebagai rawatan tambahan kepada ubat-ubatan dan rawatan sedia ada yang telah pun terbukti berkesan.

Dr Suhazeli berkata, ganja perubatan bukanlah sebagai rawatan pertama dan ini bermakna, hanya jika rawatan utama tidak boleh mengawal masalah, maka sebagai pilihan akhir ganja boleh diberikan.

“Namun penggunaannya wajib dengan penyeliaan pakar perunding berpengalaman dalam rawatan ini. Pesakit mesti dipantau rapi kerana jika timbulnya kesan sampingan seperti ketagihan atau penyalahgunaan dadah, maka rawatan itu perlu dihentikan,” katanya.




2. Melegakan muntah

Kegunaan kedua ganja perubatan adalah untuk melegakan muntah yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi. Premis kesihatan dan perubatan moden sudah terdapat banyak ubatan dan rawatan lain untuk masalah muntah.

Bagaimanapun, ganja perubatan hanyalah pilihan akhir sekiranya kaedah lain tidak berkesan.

3. Mengurangkan spastik, ketegangan otot

Ganja perubatan dapat mengurangkan spastik atau ketegangan otot disebabkan penyakit multiple sclerosis namun ia bukanlah rawatan utama.

Sementara itu, Dr Suhazeli berkata, pihak FDA juga meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome).

Manakala di United Kingdom, Kanada, beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®).




“Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai.

“Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza kebenaran halalkan bagi tujuan kajian perubatan,” katanya.

Perkara paling membimbangkan adalah ia digunakan untuk tujuan salah sekiranya ia dibenarkan.

Ganja Perubatan vs Ganja Rekreasi

Bercakap lebih lanjut mengenai perkara itu, Dr Suhazeli berkata, sesetengah pihak memperjuangkan ganja sebagai entiti perubatan dengan dalil bahawa ganja tersebut terdapat sedikit komponen kebaikan daripada sudut perubatan.

Tetapi jelasnya, masyarakat perlu mengambil pengajaran bersama bahawa kesan yang serius boleh berlaku jika Malaysia menghalalkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja.

“Kita boleh melihat sendiri kesan negatif yang besar kepada negara-negara yang telah menghalalkan ganja perubatan tersebut. Statistik daripada penjualan ganja secara rekreasi di Amerika Syarikat telah meningkat dengan banyak melebihi daripada peningkatan penjualan kerana tujuan perubatan,” katanya.

Laman web rasmi Marijuana Business Daily menunjukkan, penjualan ganja rekreasi pada tahun 2017 (AS$2.6-AS$2.9 bilion; RM11.6 bilion) dan 2018 (AS$3.8-AS$5.0 bilion; RM20 bilion) melebihi daripada penjualan kerana perubatan; tahun 2017 (AS$2.5-AS$3.2 bilion; RM12.8 bilion) dan tahun 2018 (AS$2.9-AS$3.8 bilion; RM15.2 bilion).

“Sedangkan pada tahun 2013 dipermulaan ganja perubatan diluluskan penanaman, pemprosesan dan penjualan adalah $0 bagi ganja rekreasi,” ujarnya.

Permintaan terhadap ganja untuk tujuan rekreasi semakin bertambah setiap tahun. Jangkaan jualan ganja rekreasi pada tahun 2019 dan mendatang melebihi berkali ganda daripada jualan ganja tujuan perubatan.

Terdapat beberapa negara di dunia sudah membenarkan penanaman ganja di rumah.

Perkara ini katanya amat membimbangkan kerana sebagaimana diketahui umum pengambilan ganja secara rekreasi akan merosakkan fizikal, mental dan sosial masyarakat.

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya yang berumur 12 tahun dan keatas telah mendapatkan rawatan disebabkan oleh ketagihan terhadap ganja.

Didapati 10 peratus daripada mereka yang menyalahguna dadah berunsur ganja mempunyai ketagihan yang teruk ke atas penggunaan tersebut.

Kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripadanya adalah penyalahgunaan dadah berunsur ganja.

Justeru, keadaan ini menunjukkan masalah ketagihan terhadap ganja adalah serius di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Desakan daripada kumpulan-kumpulan yang ingin menghalalkan penggunaan ganja bakal mendatangkan masalah serius yang akan menyebabkan kerugian terhadap negara.

“Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah begini bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental masyarakat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan yang baru,” jelasnya.-mSTAR

Rawatan Apa Perlu Guna Ganja? Jangan Salah Langkah, Banyak Dakyah Mengarut Atas Alasan Perubatan

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Anak angkat celah mana?, Nurulhidayah nafi dakwaan warganet

Biawak Bengal Di Rogol, Empat lelaki Ditahan

Peniaga ‘Mee Tonggek’ Boleh Berniaga Semula Dengan Syarat



Leave a Reply

Your email address will not be published.