Seorang pekerja putus tangan dalam kemalangan di kilang Top Glove

Seorang pekerja asing kehilangan pergelangan tangan dalam satu kemalangan yang berlaku di tempat kerjanya di kilang Top Glove di Ipoh.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang berkata kejadian tersebut berlaku pada Khamis.

“Dari maklumat yang kami terima, tangan pekerja itu terperangkap di putaran tangki berus sarung tangan syarikat itu, sehingga pergelangan tangannya terputus.



“Melihat kepada kejadian yang serius ini, kami berpendapat adalah menjadi tugas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut,” kata setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Veeriah berkata dia ingin tahu apakah syarikat sarung tangan getah itu telah melaksanakan tugas wajibnya dalam mematuhi piawaian keselamatan.

Dia berkata sistem perlindungan seperti sistem amaran seharusnya ada untuk mengelakkan kemalangan dan siasatan harus dilakukan mengenai perkara itu.

“Pada pandangan kami jika ada sistem suis pengasingan ‘sensory’ yang berfungsi, kehilangan anggota badan dapat dielakkan,” kata Veeriah.



Top Glove yang mengesahkan kejadian pada jam 5.45 pagi itu berkata, pekerja tersebut dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam mematuhi polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, syarikat itu berkata ia telah menetapkan langkah yang wajar bagi memastikan pekerjanya selamat daripada bahaya dan kecederaan.

“Top Glove meyakinkan pihak berkepentingan dan orang ramai bahawa keselamatan dan kebajikan pekerja yang berterusan adalah menjadi keutamaannya,” katanya.

Syarikat senaraian awam itu pada masa ini mengendalikan 46 kilang di Malaysia, Thailand dan China serta menggaji kira-kira 21,000 pekerja.



Pada masa ini syarikat berkenaan menghadapi sekatan daripada Kastam Amerika Syarikat atas tuduhan terbabit dalam buruh paksa.

Ia berkaitan bayaran yuran pengambilan pekerjaan kepada ejen pekerja asing yang dilihat membawa kepada perhambaan hutang dan buruh paksa.

Top Glove mengembalikan sebanyak RM160 juta daripada bayaran tersebut kepada pekerja mereka dengan harapan AS akan menarik balik larangan import produknya.

Syarikat itu mencatat keuntungan bersih suku tahunan sebanyak RM1.29 bilion pada bulan Ogos, meningkat 18 kali ganda berbanding suku yang sama tahun lalu, disebabkan lonjakan permintaan global sarung tangan getah dalam menghadapi wabak Covid-19.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker