Ismail harap pembangkang sokong undi perlembagaan

Ismail harap pembangkang sokong undi perlembagaan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata ahli parlimen kerajaan menyokong pindaan perlembagaan esok untuk membolehkan undang-undang antilompat parti digubal pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama Ismail juga berharap pembangkang akan memberikan sokongan mereka.



“Tanpa pindaan kepada Artikel 10, mana-mana undang-undang yang dibentangkan dan diluluskan tak boleh dipakai sebab bertentangan Artikel 10,” katanya kepada pemberita selepas taklimat bersama pemimpin kerajaan di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata, sebelum ini terdapat petunjuk daripada pembangkang bahawa mereka akan menyokong pindaan itu, justeru dia berharap mereka akan meneruskannya.

“Jadi saya haraplah apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” katanya merujuk kepada undian esok.

Menurut salinan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan yang dikongsi Ahli Parlimen, Subang Wong Chen, pindaan Perkara 10 Perlembagaan itu melibatkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.



Ia akan memasukkan subfasal yang membolehkan keahlian parti bagi ahli parlimen dan Adun dihadkan oleh undang-undang persekutuan.

Walaupun pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen, pengenalan sebarang undang-undang yang menggunakan peruntukan perlembagaan hanya memerlukan majoriti mudah.

Peruntukan itu akan membuka jalan kepada penggubalan RUU antilompat parti tetapi ia juga membolehkan undang-undang lain digubal untuk menyekat kebebasan berpersatuan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan sesetengah ahli parlimen dan masyarakat sivil.

Berhubung undang-undang antilompat parti yang akan disusuli pindaan perlembagaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jawatankuasa pilihan dwipartisan akan ditubuhkan, yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang serta ahli akademik.



Jawatankuasa itu akan meneliti dan memperhalusi butiran RUU tersebut.

Ismail berkata kerajaan berhasrat agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan semasa persidangan parlimen pada Julai.

Bagaimanapun, dia menegaskan hal itu bergantung kepada seberapa pantas jawatankuasa itu boleh mencadangkan semakan RUU itu kepada kabinet untuk diluluskan.

Kebebasan berpersatuan kekal



Sementara itu, Ismail menafikan dakwaan bahawa kerajaan cuba melambatkan atau enggan membentangkan RUU tersebut, merujuk kepada isu butiran dalam RUU yang dicadangkan.

Dia berkata RUU pindaan itu akan memasukkan butiran lanjut seperti penjelasan mengenai penggabungan parti dan sama ada mereka yang tidak terpilih dalam pilihan raya boleh bertukar parti.

“Fokus kita sangat jelas iaitu kebebasan berpersatuan masih lagi ada tapi pindaan ini menyentuh tentang membership ataupun keahlian parti politik berdasarkan tindakan ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri.

“Jadi berpersatuan bebas, tidak menjadi halangan tetapi dari segi parti sahaja,” katanya.



Ismail menambah, walaupun pindaan itu melibatkan ahli parlimen dan Adun, anggota kabinet dan ahli Dewan Negara turut memberikan sokongan.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada sama ada speaker Dewan Rakyat akan meluluskan cadangan itu selepas notis dibuat.

“Setakat ini kita masukkan ahli Dewan Rakyat dan Negeri melainkan dipersetujui oleh speaker untuk kita masukkan ahli Dewan Negara.

“Kalau speaker kata tunggu notis 14 hari kita akan buat,” katanya.



Terdahulu pemimpin tertinggi kerajaan berkumpul di Putrajaya petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tertutup untuk membincangkan pindaan perlembagaan yang akan diundi di Dewan Rakyat esok.

Mesyuarat itu sepatutnya dihadiri semua ahli parlimen tetapi hanya segelintir wakil pembangkang yang hadir iaitu daripada DAP dan Warisan. Mk

Ismail harap pembangkang sokong undi perlembagaan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bazar Ramadan 2022: Ini senarai 18 bazar yang terbaik seluruh negara

Bayar atau tak boleh keluar dari Malaysia

‘Tiga beradik’ Juadah Istimewa Menjadi Rebutan Di Bulan Ramadan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker