Langgar peraturan kuarantin, lelaki maut ketuk ketampi 300 kali


SEORANG lelaki Filipina yang didapati melanggar peraturan kuarantin meninggal dunia selepas diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak 300 kali oleh polis sebagai hukuman, dakwa keluarga mangsa.

BBC melaporkan, Darren Manaog Penaredondo didakwa ditahan oleh pihak berkuasa semasa membeli air selepas pukul 6 petang waktu tempatan di wilayah Cavite, Khamis lalu.

Dia kemudiannya pengsan keesokan harinya dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Cavite dekat pulau Luzon sedang menjalani perintah berkurung ketat dalam usaha kerajaan menangani penularan Covid-19.

Ketua Polis General Trias City, Marlo Solero berkata, tiada hukuman fizikal dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan perintah berkurung melainkan diberikan nasihat oleh pihak berkuasa.

Katanya, jika anggota penguatkuasa didapati mengenakan hukuman, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan tindakan itu.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa, Adrian Lucena mengumumkan kematian Penaredondo di Facebook.

Dakwanya, Penaredondo dan beberapa individu lain didapati melanggar peraturan perintah berkurung dan diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak 100 kali secara serentak.

Jika gagal katanya, mereka perlu mengulangi latihan itu sekali lagi dan kumpulan itu akhirnya menyelesaikan denda tersebut setelah melakukan 300 kali ketuk ketampi.

Kata abangnya, Penaredondo pulang ke rumah pada pukul 6 pagi Jumaat dalam keadaan kesakitan.

Rakannya, Reichelyn Balce berkata, Penaredondo mengalami kesukaran untuk bergerak sepanjang hari Jumaat itu.

“Sepanjang hari itu, dia sukar berjalan dan hanya merangkak. Namun saya tidak memandang serius perkara itu kerana dia mendakwa hanya sakit badan biasa,” katanya.

Keesokan harinya dia pengsan dan berhenti bernafas. Balce kemudiannya meminta tolong jiran untuk membantu Penaredondo namun mangsa mati tidak lama kemudian.

Sementara itu, Datuk Bandar General Trias City, Ony Ferrer berkata, beliau telah mengarahkan ketua polis Bandar melakukan siasatan menyeluruh.

Katanya, kejadian itu merupakan satu penderaan dan beliau telah berhubung dengan keluarga Penaredondo.

Awal bulan ini, Human Rights Watch memberi amaran pesalah peraturan perintah berkurung di Filipina telah dianiaya.

Dakwanya, terdapat kes yang mana polis dan anggota penguatkuasa tempatan mengurung pesalah di dalam sangkar anjing ketika pesalah lain dipaksa duduk di bawah terik matahari. Utv

Warga Filipina belasah lelaki hingga patah 7 gigi dicekup

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker