BAM masih ‘kilang’ terbaik lahirkan jaguh badminton

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) merupakan tempat terbaik untuk melahirkan jaguh badminton bertaraf dunia dan belum ada sejarah mana-mana permain yang berjaya melakukannya di luar persatuan itu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, jika Lee Zii Jia beranggapan masih akan berjaya jika berada di luar BAM, maka beliau perlu membuktikan keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk badminton negara.

Ikuti bual bicara dengan Mohamad Norza dalam program ‘Bersama Johan Jaaffar’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.



Program itu dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

JOHAN: Zii Jia baru-baru ini mendapat restu BAM untuk bergerak secara profesional, bagaimana BAM boleh sampai kepada keputusan itu?

MOHAMAD NORZA: Memang saya setuju kemelut antara Zii Jia dan BAM baru-baru ini amat hebat. BAM adalah sebuah organisasi yang besar dan mempunyai 15 ahli gabungan termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Zii Jia muncul juara Piala All England pada 2021 selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.
Zii Jia muncul juara Piala All England pada 2021 selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

 



BAM wujud sudah lama, kita mempunyai proses aturcara atau governance yang perlu kita patuhi. Dalam proses-proses itu, kita juga lihat balik semua keputusan yang kita buat sebelum ini. Bila council bermesyuarat, ada perbincangan kerana Zii Jia adalah aset terpenting kita lahirkan.

Bila saya pegang BAM, orang selalu tanya siapakah lepas Chong Wei? Saya masih ingat lagi masa itu, orang mungkin kata 10 tahun, 15 tahun baru ada pengganti. Bila lahirnya Zii Jia ia semacam memberi bayangan bahawa proses pembentukan pelapis itu berjaya.

Bagi seorang yang kita latih sejak umur 13 tahun sukar untuk kita lepaskan. Keputusan kita pada mulanya berasaskan apa yang pernah kita buat kepada pemain yang lain iaitu perlu melalui tempoh dua tahun penggantungan. Namun bila rayuan itu dibuat, kita telah buat keputusan berlandaskan fakta yang kita ada.

Sudah tentu isu membabitkan Zii Jia ini mendapat perhatian yang luar biasa dan banyak pandangan pro dan kontra tentang keputusan BAM ini, apa reaksi Tan Sri dalam soal ini?



Bila kita buat keputusan penggantungan itu, kita melihat ia mendapat perhatian seluruh negara. Kita lihat maklum balas, rakyat juga merupakan stake holder kepada organisasi ini. Perbincangan juga dibuat dengan keluarga Zii Jia, keputusan itu akhirnya dibuat secara harmoni demi kepentingan negara.

Apakah ada tekanan daripada mana-mana pihak dalam membuat keputusan ini?

Bagi saya tekanan sudah tentu datangnya dari pelbagai pihak terutama netizen dan ahli politik. Sebagai organisasi yang mempunyai hierarki dan organisasi sendiri, telah mendapat mandat untuk menyelesaikan perkara ini selepas mendapat rayuan tersebut.

Kenapa BAM tidak putuskan awal, maksudnya setelah sekian banyak perdebatan panas dan hangat seolah-olah BAM ini berpusing 180 darjah dalam hal ini?



Kalau kita tengok keputusan sebelum ini, ada pemain kita kenakan penggantungan dua tahun, mereka rayu dan kita lihat semula keputusan tersebut dan akhirnya rayuan diterima.

Kita nak tunjukkan bahawa sebuah organisasi yang mempunyai kredibiliti ada proses yang perlu dilalui. Kita harus gunakan segala proses dan akhirnya kita buat keputusan tertakluk kepada rayuan yang dibuat dan maklum balas yang diterima.

Apakah Zii Jia adalah pemain terbaik yang kita ada sekarang?

Kalau kita lihat dari segi ranking dunia, Zii Jia berada di tangga ke-7 dunia. Harus diingat beliau dapat nombor tujuh terbaik dunia dalam usia yang begitu muda. Bagi satu aset yang muda, tentu sahaja kita melihat dia perlu dibimbing.



Kita lihat Datuk Lee Chong Wei berada di BAM selama 19 tahun sehinggalah menjadi legenda badminton. Saya pernah nasihatkan Zii Jia, perjalanan anda masih jauh lagi.

Chong Wei telah melalui proses yang sangat panjang dalam tempoh 19 tahun dengan BAM, dia telah melalui latihan yang ketat dan luar biasa. Beliau akui terpaksa bangun seawal jam 4 hingga 5 pagi untuk berlatih. Apakah orang muda seperti Zii Jia juga sepatutnya melalui proses yang sama dengan Chong Wei?

Pertama kali bila umumkan peletakan Zii Jia, saya juga telah memberi bayangan bahawa institusi BAM ini tidak statik. Cabaran hari ini berbeza dengan cabaran dahulu. Ini adalah price of success. Kalau kita lihat Chong Wei, kita bersama-sama beliau ketika susah dan senang.

Saya ingat lagi ketika kita bantu untuk membela beliau dalam kes doping dahulu termasuk isu masalah kesihatan, sebab itu kita dengan Chong Wei bertahan sehingga beliau bersara sebagai pemain.



Namun hari ini kita juga sedar di luar sana, the price of success I have to made another engine call profesional and independence engine. Bermula selepas Olimpik Rio 2016, bila Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, regu kita yang berjaya memenangi pingat perak, saya tawarkan mereka kebebasan kerana dia sudah berjaya harumkan nama negara.

Apa masalah kebebasan dengan disiplin dalam konteks sukan yang memerlukan latihan yang luar biasa seperti badminton ini?

Setelah Olimpik memberi lima pingat emas, banyak negara yang tidak ada dalam radar badminton meletakkan pelaburan, keadaan menjadi begitu kompetitif. Bila jadi begitu ia memerlukan persediaan di peringkat tertinggi.

Kalau tengok di akademi badminton Malaysia, kita mempunyai kemudahan terbaik di dunia dengan kemudahan 18 gelanggang termasuk dua gelanggang untuk kajian dan pembangunan. Kita ada kemudahan gimnasium terkini, ada sokongan daripada sains sukan, pakar pemakanan dan semua lengkap.

Kalau nak berjaya pada peringkat tertinggi, seseorang pemain itu harus fokus. Kalau tengok Piala Sudirman, Malaysia dapat pingat gangsa, kesemua pasukan kita adalah di bawah 23 tahun proses itu berlaku. Kami mahukan mereka yang berumur 25 tahun ini capai impian mereka. Bila mereka menang, kita tak ambil wang kemenangan itu malah kita bantu lagi apa yang mereka perlukan.

Kalau dilihat kita ada pelbagai kemudahan latihan, malah Zii Jia dilatih sejak umur 13 tahun, namun beliau masih mahu keluar dari BAM, mengapa?

Dia sendiri mengatakan selepas semua bantuan diberikan oleh BAM, beliau masih tidak dapat memenuhi tuntutan keadaan yang begitu kompetitif.

Tekanan bukan sahaja menjadi ketujuh terbaik dunia dan pemain perseorangan nombor satu Malaysia, beliau sebenarnya memerlukan satu keadaan yang lain untuk capai impiannya.

Zii Jia bersama keluarganya bertemu Mohamad Norza baru-baru ini bagi mencari titik persefahaman berhubung tindakan pemain badminton nombor satu negara itu meninggalkan BAM baru-baru ini.
Zii Jia bersama keluarganya bertemu Mohamad Norza baru-baru ini bagi mencari titik persefahaman berhubung tindakan pemain badminton nombor satu negara itu meninggalkan BAM baru-baru ini.

 

Beliau juga ditawarkan RM1 juta setahun oleh BAM, itupun beliau menolak. Apakah tarikan di luar terlalu besar hingga membolehkan beliau membuat keputusan agak dramatik itu?

Saya tidak berniat ulas tentang rundingan dan perbincangan kita buat untuk buat keputusan itu.

Namun Zii Jia memberi keyakinan kepada kita bahawa sebagai seorang pemain terbaik perseorangan negara, dia akan teruskan tradisi serta menjadi pengganti Chong Wei, dan atas kepentingan negara, kita telah merestui hasrat beliau untuk keluar dari BAM.

Dalam beberapa permainan katakanlah tujuh yang terakhir, nampaknya prestasi Zii Jia tidak begitu baik, betul?

Saya kurang bersetuju kerana kalau kita lihat dia hanya kurang bernasib baik dalam Terbuka Thailand. Selepas itu beliau telah mengenal pasti kelemahan dan memberikan keputusan terbaik pada Kejohanan Terbuka England selepas empat tahun penantian.

Sukan Sea di Filipina adalah prestasi terbaik dalam tempoh 14 tahun, Zii Jia dan S Kisona memenangi pingat emas serentak bagi perseorangan lelaki dan wanita, dan regu menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Ketika itu Zii Jia baru berusia 23 tahun dan pencapaian itu adalah luar biasa dan kita perlu menyokong beliau untuk menjadi yang lebih baik.

Adakah selepas ini pemain lain juga boleh mengikut jejak langkah Zii Jia? Maksudnya adakah BAM akan memberikan kelonggaran dan tidak akan berlakunya sebarang double standard dalam isu ini?

Bila saya katakan tadi kita mempunyai akademi berkelas dunia, saya telah reengineering kita punya pembangunan remaja.

Buat masa ini, kita ada lebih 70 pemain remaja sepenuh masa daripada umur 13 hingga 18 tahun dengan BAM. Mereka ini home schooling (bersekolah di rumah). Maksudnya cikgu yang datang ajar mereka dan selain daripada itu, main dan tidur mereka hanya badminton. Adik-adik ini memerlukan pelaburan semula.

Maksudnya, bagi mereka di peringkat senior yang bermain dan dapat menarik penajaan, duit itu akan pergi kepada pembangunan remaja di samping turut disalurkan peruntukan kepada 15 negeri. Jadi proses pembangunan sedang berlaku dengan sangat teliti.

Sebab itu kita mahukan pemain kita sedar tanggungjawab tersebut supaya apa yang dulu mereka rasai pada umur 13 hingga 18 tahun itu, mereka perlu didik dan jaga supaya kita kekal melahirkan pelapis kita.

Chong Wei ada mengatakan BAM masih tempat yang terbaik untuk mana-mana potensi pemain badminton. Seorang lagi pemain negara, Tan Boon Heong turut menyatakan kebimbangan terhadap Zii Jia yang mungkin akan menghadapi lebih banyak tekanan untuk memenangi kejohanan bagi memuaskan penaja. Apa komen Tan Sri?

Saya setuju 100 peratus tentang BAM tempat terbaik dan tidak ada sejarah lagi yang menunjukkan bila pemain bermain dekat luar, dia akan dapat kejayaan itu.

Mungkin Zii Jia beranggapan bahawa beliau akan berjaya dan beliau harus membuktikan keputusan dibuat kedua-dua pihak ini adalah baik untuk badminton negara kerana di akademi ini, macam saya katakan tadi ada teknologi terkini, sains sukan, jurulatih bertaraf dunia dan segala keperluan untuk pemain sekurang-kurangnya menghadapi 10 ke 11 kejohanan setiap tahun dengan penajaan penuh BAM.

Jadi saya merasakan bahawa apa yang dikatakan itu adalah living proof iaitu Chong Wei dan pemain legenda lain yang telah dihasilkan melalui sistem BAM.

Apakah model ini sekarang akan diguna pakai terhadap bakal pemain lain yang memiliki potensi luar biasa dan mereka pun mahu bekerja di luar kerangka BAM. Apakah ini model terbaik pada pandangan Tan Sri?

Walaupun kita terima banyak kritikan, satu perkara yang kita tidak boleh nafikan iaitu daripada 13 medal diperoleh kontinjen Malaysia dalam Olimpik, sejak Barcelona 1992 hingga Tokyo 2020, sembilan adalah daripada badminton, dua basikal dan dua lagi daripada sukan terjun. Itulah signifikannya badminton dalam sukan negara.

Sebab itu bila kita bercakap tentang sama ada ‘enjin’ ini boleh membuahkan hasil yang sama, ia masih belum boleh dilihat lagi. Namun macam saya katakan tadi, kita tidak statik. Sebab itu kita benarkan sekiranya keadaan profesional menarik minat banyak sektor swasta untuk melabur ke atas mereka dan kuatkan sistem kelab. Saya tiada masalah dengan liberalisasi badminton di Malaysia kerana ia adalah baik untuk industri sukan ini.

Kita tahu badminton adalah salah satu sukan paling popular di Malaysia selain bola sepak. Pada pandangan Tan Sri, adakah pembinaan sistem pemain pelapis di bawah sana itu mencukupi untuk melahirkan lebih banyak lagi Chong Wei dan sebagainya?

Bila kita bercakap tentang Chong Wei, selama 10 tahun kita bersembunyi di belakang seorang legenda. Ada bagus dan ada tidak bagus. Tanggungjawab saya adalah memastikan institusi menjadi seperti kilang yang konsisten menghasilkan pemain berkelas dunia.

Sepanjang tempoh tersebut, kalau ada legenda, bagus. Tapi kita mesti ada satu legasi atau sistem yang bukan sahaja menghasilkan pemain acara perseorangan lelaki, tetapi juga perseorangan wanita, beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campuran. Sebab itu saya katakan kita perlu percaya kepada proses dan kalau kita lihat balik contoh yang saya berikan, dulu mungkin kita dengar satu nama sahaja.

Tapi hari ini, contohnya kita ada S Kisona (perseorangan perempuan); Siti Nurshuhaini Azman (perseorangan perempuan), Pearly Tan dan M Thinaah (beregu perempuan); Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki) serta Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See (beregu campuran). Jadi nama ini semua bawah 25 tahun dan akan menceriakan badminton tiga ke lima tahun akan datang.

Jadi mana yang kata proses kesinambungan itu kita tidak teruskan? Kita teruskan, cuma pendekatan kita ialah membina satu ekosistem pusat berprestasi tinggi yang akan sentiasa melahirkan pemain. Untuk pemain legenda, macam saya katakan tadi datang mungkin satu dalam 10 tahun. Tapi saya mahu lahirkan pemain berkelas dunia secara konsisten.

Negara dilihat selalu hanya terlepas sedikit peluang untuk nak dapatkan emas Olimpik dalam badminton. Agak-agak Tan Sri, dalam tempoh dua ke tiga tahun ke depan, adakah kita akan dapat melihat emas pertama dalam Olimpik?

Selalu saya katakan tanggungjawab terbesar saya sebagai Presiden BAM adalah pertama siapa selepas Chong Wei, kedua bila kita boleh dapatkan juara dunia dan ketiga bila kita akan dapat emas Olimpik.Kalau lihat dari segi kedudukan Malaysia di peringkat dunia, kita mungkin di kedudukan keenam atau ketujuh.

Kita bercita-cita untuk kembali kepada zaman kegemilangan iaitu ketiga teratas sebagai satu pasukan. Kedua kita akan berusaha bersungguh-sungguh kerana bila kita di Olimpik, setiap negara dibenarkan menghantar maksimum dua pemain bagi setiap kategori. Kita masih hanya mampu hantar satu wakil bagi setiap acara. Jadi sasaran saya ialah untuk pastikan kita ada dua wakil bagi setiap acara badminton di Olimpik. Dengan itu, peluang dan kemungkinan untuk kita dapat emas lagi tinggi.

Ada harapan untuk kita menang emas pada Olimpik 2024?

Kita memang sasar Paris 2024 untuk kita dapatkan pingat emas pertama. Kita masih di peringkat awal dan perlu melalui proses kelayakan dalam tempoh dua tahun lagi. Usaha mencapai sasaran itu adalah melalui mereka yang saya sebutkan tadi di kesemua lima acara dan ia termasuk Zii Jia.

Tan Sri juga adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Pencapaian kita di Tokyo tidak begitu memuaskan. Berdasarkan kayu ukur Tan Sri, ke mana kita nak pergi selepas ini dalam konteks penyertaan kontinjen ke Olimpik?

Pertama dalam konteks BAM, ketika mana kita terpaksa melalui situasi once in a hundred years iaitu pandemik yang telah menyebabkan keadaan sukan jadi tunggang langgang dan kacau bilau. Dalam keadaan itu, ada antara persatuan yang terpaksa memotong elaun atlet. Ada yang terpaksa kurangkan penyertaan dalam kejohanan.

Tapi perkara itu tidak berlaku di BAM. Kalau kita tengok akhir tahun lepas, pemain ikut serta di sembilan kejohanan. Kita lindungi dan jaga mereka. Sebab itu saya beranggapan kalau dari segi konteks keseluruhan, isu pengurangan elaun dan peruntukan itu harus diperbetulkan dan diperbaiki secepat mungkin kerana dalam kesukaran kita ingin mencari pingat emas, kita tidak boleh meletakkan atlet kita dalam keadaan tertekan kerana kurangnya kejohanan dan elaun.

Jadi saya fikir, persekitaran atlet mesti ditambah baik. Kalau dengan persekitaran yang dulu pun kita dapat satu perak dan gangsa, jadi bagaimana kita nak dapat hasil lebih baik dengan persediaan yang kurang. Jadi saya beranggapan bahawa kesinambungan itu perlu ada.

Kita boleh dikatakan bukan negara sukan. Apakah itu juga yang menghalang usaha kita untuk melahirkan atlet berkelas dunia?

Saya berharap kita tidak boleh sentiasa mengatakan kita bukan negara sukan. Kita mesti membawa diri ke arah itu kerana negara sukan adalah juga sebuah negara yang mempunyai ekonomi sangat kuat.

Bila kita jadi negara sukan, ia secara tak langsung akan turut memelihara kesejahteraan mental kekayaan negara. Kita juga beranggapan bahawa kerajaan ataupun sektor swasta harus meletakkan lebih banyak penglibatan dan dana supaya kita boleh mengangkat sukan negara.

Jadi, kita harus meletakkan sukan di kedudukan yang akhirnya nanti akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada negara.

Adakah Tan Sri berpuas hati dengan sistem pembangunan sukan di sekolah sehingga boleh melahirkan orang seperti Zii Jia dan Chong Wei?

Saya rasa banyak lagi kita perlu lakukan kerana ibu bapa di luar sana mesti meletakkan anak mereka untuk ke sukan sebagai satu karier, bukan sebagai pilihan terakhir.

Kalau setakat ini, saya lihat jaringan keselamatan untuk atlet masih belum ada lagi. Ketika pandemik ada atlet kita berada dalam keadaan susah, terpaksa jual macam-macam dan sekarang ini peruntukan pula dikurangkan. Bila jaringan keselamatan ini tidak ada, ibu bapa tidak akan meletakkan anak kecil mereka sebagai satu karier dan kita perlu ubah perkara itu.

Kalau ada satu seruan ataupun harapan Tan Sri sebagai Presiden MOM dan Presiden BAM kepada Perdana Menteri, apakah harapan Tan Sri?

Harapan saya ialah untuk Perdana Menteri memberi balik program yang mungkin sebelum ini tidak ada ataupun dikeluarkan dalam bajet baru-baru ini supaya kita dapat ‘merejuvenasi’ sukan negara secara keseluruhan.

Ini kerana dalam ketika mana kita menghadapi Covid-19, atlet-atlet ini kita telah kumpulkan mereka jauh daripada keluarga tapi bila sekarang ini, kerana kekangan peruntukan, kita terpaksa lepaskan. Saya rasa itu tidak membantu usaha ‘rejuvenasi’ sukan kita.

Kita perlu ‘rejuvenasi’ semula sukan supaya kita dapat melahirkan sebuah negara yang sihat, maju dan gembira.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker