Calon pilihan raya umur 18?

KADANG-kadang keterujaan untuk melakukan sesuatu boleh membutakan.

Sesuatu tindakan baik mana pun niat dan kejadiannya harus dilihat secara teliti.

Ini kerana sesuatu yang penting kadang-kadang bukanlah datang dari hasilnya sahaja.

Tetapi keseluruhan aspek yang membawa kepada penghasilan itu juga harus diperhatikan.

Sebab itu novelis terkenal Ernest Hemingway menyarankan ‘sebelum bertindak, dengar dan sebelum buat, fikir’ yang barangkali ketika ini sesuai digunakan dalam isu menurunkan had kelayakan umur menjadi calon pilihan raya dari 21 tahun kepada 18.

Untuk rekod enam negeri berikut iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sudah meminda perlembagaan negeri masing-masing yang membolehkan 18 tahun sebagai umur minima untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.

Cumanya ia amat paradoks kerana ketika undang-undang ini wujud, had umur layak mengundi pula masih kekal pada usia 21 tahun.

Persoalannya kenapa tiba-tiba muncul balik isu ini.

Pelaksanaan Undi 18 pun masih belum lagi bermula dan tengah kelam kabut, tiba-tiba kalut pula mahu meminda had kelayakan umur bertanding dalam pilihan raya pula, aduhai.

Apakah disebabkan tekanan popular maka keputusan itu perlu diambil?

Bukan niat untuk menentang ataupun tidak pro kepada orang muda. Kerana yang lebih baik dilakukan sekarang ini ialah memperkasa dan memperluaskan persediaan terhadap perkara yang sepatutnya dalam konteks politik orang muda.

ASAH BAKAT

Kita faham keterujaan selepas berjaya menurunkan had umur mengundi sebelumnya.

Tulisan-tulisan saya dalam kolum ini sebelumnya pun sudah membahaskan hal tersebut. Sepertimana sebelumnya saya kuat menyokong dan melihat undi 18 sebagai sesuatu yang positif terhadap pendemokrasian.

Malah turut marah ketika ada usaha oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menunda pelaksanaannya.

Namun saya juga tekankan kepentingan terhadap persediaan terutamanya meneliti dan memperkasakan sistem pendidikan, kaedah pemahaman serta cara mendedahkan orang muda tentang politik dan pentadbiran, sekurang-kurangnya di peringkat yang paling asas.

Hal ini yang paling penting dalam aspek undi 18 tersebut.

Benar banyak negara maju sudah lama menurunkan had kelayakan mengundi.

Tetapi berapa ramai mereka yang di bawah umur 30 tahun, apatah lagi yang berumur 18 menjadi calon pilihan raya, menang dan menjadi sebahagian daripada cabang pembuat dasar negara tersebut?

Menjadi calon, apatah lagi kemudiannya wakil rakyat dan ahli legislatif bukan sekadar bertanding dan menang pilihan raya semata-mata.

Bertanding dalam pilihan raya bukanlah pentas menguji populariti dan mencari glamor macam program realiti. Tetapi ia adalah suatu pertanggungjawaban dan amanah.

Untuk itu, ia harus melalui satu proses persediaan bagi menggilap bakat, mengasah pemikiran dan mengutip pengalaman.

Selepas itulah baru mereka diberi peluang dan ruang untuk naik ke tahap berikutnya.

Kerana yang bakal kita pilih nanti adalah wakil rakyat, bukannya ketua kelas, pengerusi persatuan ataupun presiden kelab.

Apa akan jadi kalau mereka ini menang dan terpilih ke cabang legislatif tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan, apatah lagi kefahaman mendalam tentang aspek perundangan dan tadbir urus negara yang kompleks dan rumit?

Adalah lebih baik orang muda dididik dengan ilmu dan konsep asas sistem pentadbiran negara, amalan demokrasi dan pelaksanaan pilihan raya serta tanggungjawab sivik mereka sebagai warganegara.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Calon pilihan raya umur 18?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupa-rupanya Kamal Adli

Resepi Crab Rangoon Viral Gila

Gerai nasi dagang tak menang tangan lepas viral, 2 jam ‘sold out’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker