Penternak selamatkan lebih 100 ekor arnab dari mati dalam banjir

ANAK arnab yang dilahirkan akan diasingkan dari induknya selepas berusia dua minggu

MUAR – Tindakan pantas Shahrizan Mansor berjaya menyelamatkan lebih 100 arnab peliharaannya daripada ditenggelami banjir ketika air Sungai Muar melimpah dan naik dengan cepat di Kampung Liang Batu, Lenga di sini pada Ahad lepas.

Menceritakan detik cemas itu kepada Bernama, penternak arnab itu berusia 40 tahun itu berkata, dia dibantu isterinya, Norhafizah Hashim, 37, telah mengangkut kesemua arnab berkenaan ke dalam lori tiga tan dan dipindahkan ke rumah bapa saudaranya di Felda Batu 27 di sini kira-kira pukul 8 malam pada hari kejadian.

“Sejak 31 Disember lepas, kawan-kawan di Segamat beritahu air Sungai Muar berada pada paras bahaya, malah anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga selalu memberi peringatan ketika mereka meninjau di kawasan ini kerana rumah saya (terletak) kira-kira 800 meter dari Sungai Muar.

“Pada 2 Januari, air Sungai Muar naik di laman rumah dengan deras, mujur semua arnab selamat, jika tidak, mungkin saya akan mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM30,000 dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Isnin.

Shahrizan berkata. arnab yang terdiri dari pelbagai baka antaranya Holland Lop, Mix Teddy Bear, New Zealand White, Chinchilla dan Angora itu dipeliharanya sejak awal tahun lepas, malah ada antara haiwan itu mencecah harga ribuan ringgit seekor.

Pengusaha ternakan arnab Shahrizan Mansor, 40, bersama isterinya Norhafizah Hashim, 36, hari ini membersihkan sangkar dan memberi makan arnab peliharaan mereka. -Foto Bernama

Bapa dua anak itu berkata, Sungai Muar pernah didalamkan sebelum ini dan langkah itu telah mengelakkan kampung berkenaan daripada dilanda banjir yang teruk, namun dia tidak menjangka paras air naik dengan sangat pantas hingga ke paras lutut pada Ahad lepas.

Sementara itu, menurut Norhafizah, sebelum Sungai Muar didalamkan paras air pernah naik sehingga paras bumbung pada tahun 2011 serta merosakkan pelbagai hasil tanaman di sekitar rumah mereka.

“Syukur kali ini tidak terjadi seperti 10 tahun lepas, paling melegakan saya dapat menyelamatkan kesemua arnab,” katanya.

Tinjauan Bernama di Kampung Liang Batu pada Rabu mendapati banjir mulai surut, namun terdapat beberapa rumah dan pusat riadah di perkampungan itu yang masih digenangi air meskipun cuaca cerah.

Setakat ini, bacaan di tiga stesen Sungai Muar berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Sungai Muar di Liang Batu dan Sungai Muar di Bukit Kepong.

Muar mencatatkan jumlah mangsa banjir kedua tertinggi di Johor selepas Segamat dengan 1,085 mangsa daripada 330 keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara di daerah ini setakat 4 petang Isnin. – Bernama

Penternak selamatkan lebih 100 ekor arnab dari mati dalam banjir


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Suspek sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker