UMNO dan Pas kini umpama pasangan suami isteri yang mahu ‘bercerai talak tiga’

Hasrat kita mahu melihat penyatuan orang Melayu dan Islam dapat direalisasikan menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) dipelopori oleh Pas dan UMNO mungkin tidak kesampaian susulan kenyataan pemimpin tertinggi kedua-dua belah parti yang menunjukkan pakatan berkenaan seakan-akan sudah terkubur.

Jika dulu pemimpin kedua-dua parti hari-hari ‘meratib’ dan melaungkan lagu ‘kita mesti memperkukuhkan MN demi menjaga perpaduan masyarakat Melayu/Islam’ selepas UMNO dan Pas kalah teruk dan menjadi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun selepas lebih tiga tahun naratif politik negara sudah berbeza.

Selepas mereka berjaya menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan terbaharu Kerajaan Keluarga Malaysia serta menguasai Putrajaya kini UMNO dan Pas menunjukkan taring sebenar dengan memilih untuk bergasak dan berperang mulut kerana pelbagai alasan.

UMNO memberikan alasan mereka tidak boleh lagi bersama kerana enggan menerima kehadiran ‘madu’ baharunya iaitu PN atau lebih tepat lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam MN.

Sementara, Pas pula meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan meneruskan kerjasama dalam gagasan berkenaan jika UMNO sanggup menerima PN atau lebih tepat lagi Bersatu sebagai ‘madu’ baharunya.

Justeru, ramai penganalisis dan pemerhatian politik melihat kewujudan MN sebagai gagasan kerjasama politik antara dua parti terbesar mewakili orang Melayu dan Islam dan wadah penyatuan ummah berkenaan kini sudah berkubur umpama pasangan suami isteri bercerai dengan talak tiga.

Bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, perkembangan berkenaan adalah sesuatu amat menyedihkan kerana MN sepatutnya menjadi benteng kepada politik orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Beliau yang juga Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, rakyat dapat melihat kerjasama UMNO dan Pas dalam MN yang diwujudkan selepas kedua-dua parti menjadi pembangkang dalam PRU14 mempunyai hikmah tersendiri.

DR MOHD IZANI
DR MOHD IZANI

 

Berikutan itu, kedua-dua parti perlu kembali meja rundingan untuk menghidupkan semula semangat dan matlamat asal penubuhan MN iaitu demi penyatuan ummah dan menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.

Mohd Izani berkata, pepecahan dan keretakan hubungan antara kedua-dua parti dalam MN bermula apabila Pas secara rasmi menyertai PN pada Ogos 2020.

“Apabila wujud orang ketiga (Bersatu) maka hubungan Pas dan UMNO dalam MN menjadi semakin renggang sehingga hampir terkubur sekarang,” katanya.

Mohd Izani berkata, UMNO dan Pas kini umpama ‘pasangan suami isteri sudah bercerai’ dan membawa haluan hidup masing-masing.

Mohd Izani juga berpandangan sebab utama UMNO menolak penyertaan Bersatu ke dalam gagasan MN adalah kerana tujuan utama Bersatu ditubuhkan adalah untuk menggantikan UMNO.

Beliau berkata, ia sama juga menjadi sebab kenapa Pas tidak dapat menerima penyertaan Parti Amanah Negera (Amanah) dalam MN kerana parti berkenaan diwujudkan untuk menggantikan Pas.

Malah, beliau berkata, Pas juga pernah menyatakan hasrat untuk menggantikan UMNO dalam PRU-14 namun misi mereka gagal.

Justeru, Mohd Izani melihat saranan Pas supaya UMNO menerima penyertaan PN/Bersatu dalam MN adalah tidak realistik kerana mereka sendiri enggan menerima peryertaan Amanah dalam gagasan berkenaan.

“Perkara itu umpama cakap tidak serupa bikinlan. Kalau Pas nak bercakap pasal perpaduan ummah mereka sepatutnya boleh menerima kehadiran Amanah. Kenapa bila cakap soal penyatuan Pas hanya menyuruh orang ramai (UMNO dan Bersatu) berbaik-baik.

“Janganlah semata-mata mahu menjaga hati Bersatu, Pas meletakkan syarat untuk meneruskan hubungan dengan UMNO dalam MN. Jika Pas dan UMNO benar-benar ikhlas mahu melihat penyatuan ummah mereka perlu melibatkan semua parti yang mempunyai majoriti penyokong Melayu dan Islam termasuk PKR, Amanah sertai parti lain dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

MATLAMAT MUAFAKAT NASIONAL

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sains Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, juga memberikan pandangan sama bahawa hubungan UMNO dan Pas dalam MN sudah pun berakhir selepas kedua-dua parti memilih bertanding secara berasingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Beliau berkata, hubungan kedua-dua parti juga semakin tegang dan renggang selepas UMNO enggan memenuhi permintaan Pas supaya menerima kemasukan Bersatu ke dalam MN.

DR MOHD AZIZUDDIN
DR MOHD AZIZUDDIN

 

“UMNO meneruskan kerjasama dalam MN hanya dengan Pas sahaja dan tidak dengan parti lain, terutamanya Bersatu. Penyertaan Bersatu ke MN adalah syarat baharu dikenakan oleh Pas untuk mereka meneruskan kerjasama politik. Jika itulah realiti semasa maka saya berpandangan gagasan MN sudah gagal dan terkubur,” katanya.

Ditanya sama ada perceraian antara UMNO dan Pas akan merugikan umat Islam di Malaysia, Mohd Azizuddin berkata, perkara itu tidak berlaku kerana pembentukan MN hanyalah membabitkan kerjasama politik kedua-dua parti.

“Kalau betul UMNO dan Pas benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan umat Islam kenapa mereka tidak libatkan parti lain seperti PKR, Bersatu, Putra, Amanah, Sabah dan Sarawak yang berasaskan kaum Bumiputera. Ini kerana konsep penyatuan Melayu dan Islam ini adalah lebih luas bukan hanya membabitkan parti politik tertentu seperti UMNO dan Pas sahaja,” katanya.

Justeru itu, Azizuddin berkata, perkara itu tidak menjejaskan realiti penyatuan ummah dan orang Melayu dan Islam di Malaysia kerana semua itu hanya sekadar retorik pimpinan tertinggi UMNO dan Pas untuk menagih simpati dan sokongan rakyat semasa mereka menjadi pembangkang selepas PRU14 sahaja.

Mursyidul Am PAS akui akar umbi pilih Muafakat Nasional

“Sekarang bila berpecah macam-macam isu timbul. Jadi bagi saya kenyataan bahawa penubuhan MN adalah demi penyatuan Melayu dan Islam adalah retorik semata-mata demi survival kedua-dua parti politik sahaja kerana ketika itu mereka berada dalam blok pembangkang,” katanya.

Azizuddin berkata, apabila PAS dan UMNO berjaya menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan kembali merasai nikmat berkuasa di Putrajaya serta berasa sudah kuat, maka mereka memilih untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing.

“Pas sekarang lebih selesa bersama Bersatu berbanding UMNO, selain banyak terima bantuan kewangan daripada PN. Jadi kita perpecahan ini berterusan maka MN akan berkubur dalam masa terdekat kerana matlamat asal penubuhannya adalah untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) sahaja,” katanya.

UMNO dan Pas kini umpama pasangan suami isteri yang mahu ‘bercerai talak tiga’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kronologi Berfakta Sanggah Dakwaan Kononnya UMNO Khianati Piagam Muafakat Nasional

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker