PM sampaikan Pengumuman Khas 11 pagi ini

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan Pengumuman Khas Darurat di negara ini, 11 pagi ini.

Pengumuman Khas Darurat itu akan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM, BERNAMA TV, TV3 dan Astro Awani.

Muhyiddin dijangka mengumumkan perintah darurat itu yang bakal dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini, berkuatkuasa.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan dua halaman memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan.

Kenyataan sama turut menyebut, baginda yang menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara, semalam selama 45 minit juga memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker