Siti Saleha anggap kemenangan sebagai pengubat hati

Siti Saleha anggap kemenangan

Seraut wajah cukup tenang, namun, tiada siapa tahu ‘gelodak’ yang membenam di jiwa si jelita, Siti Saleha.

Kini, segala-galanya bagaikan debu yang berterbangan. Nikmat rumah tangga hanya dikecapi seketika, namun, ia bukanlah pengakhiran buat sebuah kebahagiaan.



Jauh di sudut hati, wanita kacukan Melayu Inggeris itu mengharapkan panas hingga ke petang, namun, siapa sangka hujan di tengah hari.

Nyata, di sebalik senyuman manis terukir, namun berlubuk sengsara di sanubarinya, lalu mengejutkan ramai apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor bagi sebutan kes perceraian pada 13 Oktober lalu.

Berita perceraian Siti Saleha, 31, dan suami, Ahmad Lutfi Azhar, 35, selepas empat tahun melayari bahtera rumah tangga cukup mengejutkan ramai, apatah lagi, mereka dikenali sebagai pasangan bahagia.

Ketika ini, timbul pelbagai persepsi termasuklah Siti Saleha dan Ahmad Lutfi didakwa sudah tidak tinggal sebumbung, selain dikatakan wujud ‘orang ketiga’ menjadi punca keretakan rumah tangga.



Namun, aktres yang dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, minggu lalu, terus mengunci mulut biarpun dihambat seribu persoalan.

Sambil merenung jauh, pemilik nama Siti Saleha Mohd Baharum itu mengakui, “Saya reda atas takdir yang tertulis.

“Jujurnya, tiada pasangan yang berkahwin untuk bercerai. Saya juga tidak menjangka ini boleh berlaku dalam kehidupan rumah tangga, tetapi ia tetap berlaku.

“Siapa saya untuk menolak takdir yang tertulis? Apa pilihan yang saya ada, selain reda dan bangkit perlahan-lahan demi memperjuangkan hidup.



“Ketika ini, segala-galanya masih tergantung apabila sebutan kes perceraian masih berjalan. Saya juga masih memegang status ‘isteri orang’,” katanya kepada BH Online.

Aktres yang melonjak populariti menerusi drama Nora Elena, Jika Masih Ada Rindu dan 7 Hari Mencintaiku itu menganggap kemenangan ABPBH 34 bagaikan satu rahmat besar.

“Ia menjadi penyelamat untuk saya terus mempertahankan prinsip tidak berkongsi soal peribadi. Umpama ditutup pintu soal peribadi, dibuka pula dengan kisah kemenangan ini.

“Saya tahu ramai rakan wartawan ingin tahu punca dan apa yang berlaku pada rumah tangga saya. Mohon maaf, saya bukan berniat menyusahkan atau berteka-teki.



“Namun, jawapan saya tetap sama. Sudah takdir, tiada jodoh antara kami, selebihnya biarlah menjadi rahsia yang terpendam. Saya menghormati tugas wartawan, namun, saya tidak mahu berterusan membicarakan soal ini, cukuplah…

“Bukan mahu berlagak baik, tetapi biarlah ia kekal menjadi rahsia tanpa perkongsian secara mendalam. Lagipun, saya enggan membuka aib sesiapapun,” katanya.

Wanita kelahiran Basildon, England itu berkata, hatinya sedikit terubat apabila menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular buat kali ketiga.

“Ketika berada pada tahap paling bawah, namun, Allah hadirkan kemenangan ini sebagai pengubat duka.



“Malah, ia menjadi kekuatan buat saya berdepan dengan seribu kemungkinan yang bakal diharungi pada masa depan.

“Saya bersyukur terus mendapat sokongan peminat dan kelab peminat, Team Siti Saleha yang amat disayangi,” katanya yang begitu anggun persalinan merah jambu rekaan Alia Bastamam pada malam kemuncak ABPBH 34.

Siti Saleha berkata, kejayaan yang dilakar tidak sesekali membuatkannya terus berada pada zon selesa. Sebaliknya, ia menjadi ruang memperbaiki kekurangan yang sentiasa ada.

“Saya menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular atas kapasiti drama 7 Hari Mencintaiku, tahun lalu.



“Tuah watak Mia Adriana, saya dapat mempertahankan kemenangan menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2 pula dalam ABPBH 34.

“Sejujurnya, saya tidak sabar menanti sambungan drama ini untuk musim ketiga yang dijangka memulakan penggambaran awal tahun depan.

“Kita nantikan apa pula konflik rumah tangga yang bakal diharungi Mia dan Khuzairi lakonan Shukri Yahaya dalam sambungan musim ketiga,” katanya.

Bintang yang diangkat sebagai pemenang trofi Asian Model, Asia Model Festival 2020 di Seoul, Korea Selatan itu berkata, dia tetap selesa menjadi selektif dalam memilih watak dan karya.

“Nyata, percaturan saya menjadi selektif dalam memilih watak amat berbaloi. Sekarang, saya hanya perlu memastikan kekal relevan dan konsisten.

“Kita tahu kemunculan ramai bakat baharu, namun, saya anggap sebagai persaingan sihat, bukan ancaman.

“Bagi saya, biar wajah tidak selalu keluar di kaca televisyen, sekali muncul meninggalkan impak besar,” katanya yang kini mula menceburi sukan tenis sebagai riadah menghilangkan tekanan.

Diusik persoalan masa depan, Siti Saleha akui, dia tidak mampu menjangkakan apa yang berlaku termasuk soal pengganti.

“Saya harus lalui ujian yang belum selesai ini terlebih dahulu. Seterusnya, nak terus fokus dalam kerjaya seni.

“Soal lain termasuk membuka pintu hati dengan lelaki pada masa depan, biarlah ia datang tanpa provokasi.

“Setiap manusia inginkan kebahagiaan dan ingin hidup berpasangan. Bagi saya, hidup solo juga boleh bahagia jika kena pada caranya,” katanya yang sibuk dengan penggambaran drama Love In Lockdown.

Selain trofi Pelakon TV Wanita Popular, Siti Saleha pernah diangkat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH 27 dan ABPBH 28. BH

Siti Saleha anggap kemenangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Isteri Fizo, cantik dan bijak – Netizen

PN kalah di PRN Melaka kifarah atas kesombongan Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker