Pengharaman kedai nombor ekor di Kedah mungkin ada kaitan PRN Melaka

Pengharaman kedai nombor ekor di Kedah mungkin ada kaitan PRN Melaka

Keputusan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS untuk mengharamkan kedai nombor ekor dipercayai ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang sedang berlangsung, kata penganalisis.

Mereka memberitahu Malaysiakini bahawa ketika pengumuman itu semalam, bertepatan dengan PRN Melaka dengan PAS dan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) bersaing kerusi majoriti Melayu.

“Persoalannya kenapa tak diumumkan pada 6 bulan lepas, atau setahun yang lalu, maka tindakan ini dilihat sebagai tindakan bermotif politik untuk menarik undi PAS khususnya dan Bersatu dalam Perikatan Nasional yang amat dahagakan sokongan undi Melayu bagi membolehkan PN memenangi PRN Melaka,” kata Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Penganalisis sosiopolitik itu diminta pandangannya mengenai pengumuman Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

Sanusi berkata kerajaan negeri tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor yang dikeluarkan oleh majlis tempatan.

Sanusi dilaporkan berkata langkah itu bertujuan untuk menangani gejala sosial yang disebabkan oleh perjudian, seperti keruntuhan institusi keluarga.

Awang Azman percaya bahawa pengumuman itu, bagaimanapun, mungkin menjejaskan gabungan PN.

“Namun tindakan ini tentu popular di kalangan penyokong PAS sahaja dan tidak ada jaminan mendapat sokongan dan diterima oleh Melaka, kerana pengundi Melaka lebih moderat dan biasa hidup serta memahami hakikat negara yang mempunyai penduduk majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

“Konsep toleransi sudah lama berlangsung dan ini menyebabkan tindakan MB Kedah dijangka tidak banyak mengubah hayunan undi di Melaka.

“Malah ini menyebabkan rakan komponen PN seperti Gerakan, malah penyokong parti-parti mca dan mic juga menjadi berbelah bahagi dan tidak selesa kerana pada dasarnya sama satu kabinet kerajaan di persekutuan.

“Tindakan ini di sebaliknya diharap cuba meningkatkan undi PN khususnya PAS, namun secara paradoksnya dijangka menjadi isu yang menjadi liabiliti dalam kempen PRN Melaka kepada PAS dan PN,” katanya.

Oh Ei Sun, seorang felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, percaya bahawa PN mungkin meminggirkan prospek memenangi kerusi majoriti Cina dan memutuskan untuk memberi tumpuan untuk mendapatkan sokongan Melayu-Islam.

“Akhirnya, pilihan raya Melaka akan diputuskan mengikut kecenderungan mengundi antara ketiga-tiga gabungan itu oleh pengundi Melayu-Islam,” katanya.

“Pengundi Cina dalam apa-apa situasi mungkin tidak mengundi BN atau PN, dan empat kerusi majoriti Cina itu boleh diketepikan daripada pengiraan politik yang berkaitan oleh BN dan PN.

“Sebaliknya, PN pasti berfikir bahawa dengan mengenakan larangan itu di Kedah, ia boleh mengukuhkan reputasinya berhubung pengurusal hal agama dan sekali gus merangsang potensi penyokong Melayu-Islam untuk keluar mengundi, sekali gus meningkatkan prospek kemenangannya,” katanya. Mk

Pengharaman kedai nombor ekor di Kedah mungkin ada kaitan PRN Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Siakap kayangan, usahawan nyaris terkena

Restoran siakap kayangan ada 4 hari lagi jawab notis

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker