Tanpa perlu menunggu UMNO, MIC kehadapan usul resolusi pengampunan Najib

ALOR GAJAH: Kesemua Badan Perhubungan MIC negeri yang selesai mengadakan persidangan perwakilan sejak 13 Oktober lalu mengusulkan resolusi pengampunan dan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, perwakilan parti menyuarakan perkara itu sebagai tanda menghargai jasa Najib yang terbukti banyak membantu pembangunan kaum India di negara ini.

Jelasnya, resolusi itu seterusnya akan dibawa ke Perhimpunan Agung MIC Ke-77 untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung bulan depan.



“Kita ada resolusi berkenaan Datuk Seri Najib, ini adalah satu resolusi yang telah dibawa di semua perhimpunan konvensyen negeri-negeri. Bermula dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang selepas itu di Pahang, Kuala Lumpur, dan Selangor.

“Semua merayu kepada Perdana Menteri supaya membawa isu pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat pengampunan kepada Datuk Seri Najib atas jasa-jasa beliau dan juga jasa keluarga beliau telah memimpin negara. Kerana ini dibawa oleh semua negeri, Datuk Seri Najib boleh dikatakan pemimpin yang paling menolong kaum keturunan India.

“Memberi lebih kurang RM900 juta untuk sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) dengan bangunan-bangunan yang moden, dalam semua aspek memanglah kita ini terhutang budi kepada Datuk Seri Najib,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan MIC Melaka di A’ Famosa Resort di sini, hari ini.

Setakat hari ini, sebanyak sembilan Badan Perhubungan MIC negeri selesai mengadakan mesyuarat kecuali Terengganu, Kelantan, Perak dan Sabah.



Pada 31 Mac lalu, Najib gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman.

Sehubungan itu, ruang dan peluang untuk Najib bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. terkubur.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 yang mana Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan; Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan; Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan menyokong.

Ketua panel tersebut iaitu Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker