Antara air mata Rosmah, kambing hitam dan gelaran First Lady of Malaysia

SHAH ALAM – Episod tiga hari pembelaan diri dalam kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membuatkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjadi tumpuan rentetan gugurnya air mata isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Malah Rosmah dalam prosiding tiga hari itu juga didakwa menjadi kambing hitam dan pada hari ketiga pada Khamis, pihak pendakwaan mempersoalkan gelaran First Lady of Malaysia terhadap dirinya.

Pada hari pertama, pembelaan dalam kes Rosmah akan membuktikan isteri bekas Perdana Menteri itu dijadikan kambing hitam dalam kes projek solar hibrid membabitkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak, sedangkan bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor merupakan dalang sebenar kes projek solar berkenaan.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang membacakan pernyataan pembukaan kes di Mahkamah Tinggi pada Selasa berkata, pendakwaan ke atas anak guamnya adalah suatu pendakwaan terpilih.

Beliau berkata, ia juga berniat jahat dan mala fide kerana individu yang bertanggungjawab dan dalang dalam kes itu, yang meminta dan menerima wang seperti yang dinyatakan dalam tiga pertuduhan tersebut adalah Rizal.

“Tindakan pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Rizal dan kemudian memilihnya sebagai saksi pendakwaan ke-21, jelas menunjukkan bahawa satu perjanjian telah dibuat dengan Rizal.

“… dan Rizal selaku saksi utama terpaksa memberi keterangan palsu di mahkamah untuk memerangkap dan mengaitkan anak guam saya dengan tiga pertuduhan itu,” kata Akberdin pada hari pertama prosiding pembelaan diri Rosmah bagi tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Akberdin berkata, sekiranya Rizal tidak bekerjasama dengan pihak pendakwaan untuk menuduh Rosmah dengan keterangan palsu, maka pendakwaan akan meneruskan dakwaan ke atas Rizal dengan pertuduhan-pertuduhan baharu.

Beliau berkata, Rizal pada awalnya turut didakwa bersama-sama Rosmah telah mempergunakan kedudukannya dan menggunakan nama anak guamnya sehingga kebanyakan tindak-tanduknya adalah di luar pengetahuan Rosmah, demi mencapai kehendak dan matlamat peribadi dan politik Rizal, tanpa pengetahuan Rosmah.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sementara itu, Akberdin berkata, Rosmah juga dijadikan kambing hitam oleh pihak-pihak lain yang tidak kompeten dalam pentadbiran kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan ketika itu yang bersekongkol dengan pihak Jepak Holdings Sdn Bhd.

Hari kedua pembelaan pula menyaksikan Rosmah mengalirkan air mata selepas gagal mengawal emosinya ketika perbicaraan kes rasuah terhadapnya.

Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi prosiding bela diri kes tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi prosiding bela diri kes tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata, tindakan sepatutnya diambil terhadap lima saksi pendakwaan tetapi itu tidak berlaku.

Beliau mendakwa ini “demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum”.

Rosmah yang memberi keterangan bersumpah berkata, saksi berkenaan sebaliknya telah dipanggil memberi keterangan terhadapnya sedangkan beliau tiada sebarang jawatan dalam kerajaan atau kuasa untuk meluluskan sebarang projek.

Lima orang yang dimaksudkannya adalah bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamad dan Alias Ahmad, bekas pembantunya Rizal Mansor, serta Pengarah Urusan Jepak Holding Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

“Ini adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu ‘malicious and selective prosecution’ (pendakwaan yang jahat dan selektif) terhadap saya,” katanya dengan suara serak.

Bagaimanapun, beliau kembali bertenang dan meneruskan keterangannya kepada mahkamah.

Rosmah turut memohon maaf kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan kerana luahan emosi itu.

“Minta maaf, banyak perkara yang telah saya lalui,” katanya kepada mahkamah.

Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Rasuah itu didakwa diterima melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hari ketiga pada Khamis, semasa pemeriksaan balas di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram menyoal siasat tertuduh mengenai apakah isteri-isteri Perdana Menteri sebelum Najib dikenali sebagai wanita pertama Malaysia.

Rosmah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia (FLOM) dan menafikan satu bahagian diwujudkan khusus untuk beliau di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Malah beliau berkata, gelaran itu untuk ‘tujuan pentadbiran’.

Antara air mata Rosmah, kambing hitam dan gelaran First Lady of Malaysia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Rosmah menangis ketika perbicaraan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker