Lembah Klang, Melaka beralih ke Fasa 3 PPN Jumaat ini

Lembah Klang, Melaka beralih ke Fasa 3 PPN Jumaat ini

Lembah Klang dan Melaka akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pada masa yang sama Kedah pula akan memasuki Fasa 2.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri berkenaan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah kini berada dalam Fasa 2, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak pula berada di Fasa 3, manakala Negeri Sembilan dan Labuan di Fasa 4.

Serentak dengan peralihan itu, katanya mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membuat ketetapan untuk membuat beberapa kelonggaran.

“Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4.

“Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani prevent test menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya.

Ismail juga mengumumkan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Okt ini.

“Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4.

“Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton dan penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Katanya, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun beliau berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” katanya.

Lembah Klang, Melaka beralih ke Fasa 3 PPN Jumaat ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buat kerja, jangan bagi alasan – Tok Mat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker