Wanita mangsa ‘Macau Scam’ rugi hampir RM500,000

Seorang wanita yang merupakan pesara kerajaan berusia 70-an, kerugian hampir RM500,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket “Macau Scam”.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan Ahmad Azizul Mohamed berkata, kejadian berlaku selepas mangsa diperdaya dengan taktik penyamaran suspek sebagai kakitangan pos laju dan pegawai polis.

Beliau berkata, pada pertengahan Julai lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyatakan bahawa bungkusan (parcel) kononnya yang dipos sampai di Sabah.

“Suspek kemudian mengatakan bungkusan itu mengandungi kad pengenalan mangsa dan beberapa keping kad ATM bank milik mangsa didapati terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.



“Mangsa kemudian dihubungkan dengan beberapa orang suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis termasuk pegawai penyiasat kes jenayah pengubahan wang haram tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Azizul berkata, selama seminggu mangsa dan suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat kes berhubung setiap hari bagi tujuan siasatan dan sepanjang dalam tempoh tersebut, mangsa diminta mendedahkan semua akaun bank dimilikinya.

“Suspek kemudian meminta mangsa memindahkan semua wang miliknya di Tabung Haji (TH) dan ASNB ke 1 akaun bank mangsa sahaja atas alasan keperluan siasatan kes sulit yang sedang dijalankan oleh suspek selain turut meminta mangsa membuat kad ATM baharu.

“Mangsa yang terpedaya terus mendedahkan butiran kad serta nombor pin kad ATM berkenaan kepada suspek,” katanya



Beliau berkata, bagaimanapun pada awal bulan ini, mangsa yang membuat semakan dengan pihak bank mendapati beberapa pengeluaran berjumlah RM496,000 dilakukan oleh suspek tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan dengan sebat serta denda,” katanya. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker