Jet J-16D ancaman baharu Taiwan

TAIPEI – Kerahan jet J-16D ke zon pertahanan udara Taiwan pada minggu ini menandakan kemunculan pertama pesawat perang baharu berteknologi tinggi China, kata Taipei hari ini yang menambah, senjata gangguan elektronik kapal terbang itu menjadi ancaman baharu terhadap pulau tersebut.

Rakyat Taiwan hidup di bawah ancaman penaklukan berterusan oleh China. Beijing melihat pulau pemerintahan sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan akan merampasnya walaupun terpaksa menggunakan kuasa tentera.

Suku terakhir 2021 menyaksikan peningkatan mendadak pencerobohan China ke atas zon identifikasi pengenalan udara Taiwan (ADIZ) dengan pencerobohan terbesar berlaku pada 4 Oktober tahun lalu apabila 56 pesawat perang China memasuki zon tersebut

Kelmarin dan semalam menyaksikan 52 pesawat tentera China memasuki zon berkenaan.

Antara pesawat China itu adalah dua jet J-16D yang menurut Taipei, adalah kali pertama pihaknya melihat pesawat canggih itu beraksi.

Jet baharu itu diperkenalkan pada satu pertunjukan udara di China pada September tahun lalu, demikian menurut media rasmi Global Times.

Jet J-16D dilengkapi dua pod penyesak, dua pod perang elektronik dan dua peluru berpandu.

“Jet ini berupaya memusnahkan radar untuk menjejaskan pertahanan udara musuh. Keupayaan penyesak radarnya juga boleh membuka jalan kepada serangan susulan.

“Pesawat ini menjadi ancaman baharu terhadap sistem pertahanan udara Taiwan,” kata penganalisis pertahanan Taiwan, Shu Hsiao-huang. – AFP


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Nabila Huda dituntut bayar ganti rugi RM900,000 dan mohon maaf dalam 7 hari

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker